Utusan Malaysia 7 Mei 2007 (Gambar saya di dalam surat khabar)
Komuniti sastera maya kuburkan medium konvensional?
Oleh Azman Ismail
Oleh Azman Ismail
Dunia penulis adalah sebuah struktur sosial. Ini membuat seorang pengarang tidak dapat hidup sendiri tanpa sokongan masyarakat dan persekitarannya.
Oleh sebab itu, dunia penulisan sentiasa bergerak dalam dinamika yang tidak terpisah daripada pengaruh berbagai kejadian, tingkah laku serta persoalan yang ada disekitar mereka.
Penemuan berbagai teknologi baru, peristiwa dan pergolakan sejarah, sistem sosial, paradigma atau tantanan baru dalam melihat dunia serta kehidupan adalah hal-hal yang selalu mempengaruhi dunia penulisan.
Jika kita mengikuti perkembangan mutakhir, dunia penulisan sastera di Malaysia dapat dikatakan telah mengalami banyak perubahan.
Bahkan ada yang menyebutnya sebagai revolusi. Muncul beberapa pendekatan dan gaya bukan hanya dalam penulisan karya tetapi cara penyampaian kepada pembaca. Ia tidak lagi terhad dalam bentuk bercetak (konvensional) tetapi juga secara siber (maya).
Kemunculan medium alternatif ini bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh negara-negara maju. Faktor masa, peningkatan teknologi dan komunikasi menjadikannya semakin berkembang.
Di Malaysia misalnya, komuniti e-sastera dianggap sebagai pelopor medium alternatif dalam penulisan kreatif tempatan. Ia sejajar dengan perkembangan teknologi berasaskan internet di negara ini.
Pada asalnya, sastera melalui medium konvensional dalam bentuk cetakan seperti buku mahupun media-media berjaya membangun hegemoninya tersendiri.
Namun, kerana faktor-faktor keterbatasan masa, perubahan perspektif, masyarakat melihat sastera secara maya lebih mudah dan tidak memerlukan tempoh masa yang panjang.
Komuniti-komuniti sastera maya mulai muncul. Memanfaatkan teknologi seperti mailing lis, forum diskusi maya dan kini juga blog, internet menawarkan iklim kebebasan, tanpa tapisan.
Semua orang boleh ‘berkarya’ dan meletakkan tulisan masing-masing di ruang maya dan mengapresiasinya. Sastra maya menjanjikan bahawa hanya masyarakatlah yang akan menilai baik buruknya karya seseorang.
Peranan seorang editor sepertimana kolom sastera di surat kabar, pengkritik sastera atau para sarjana tidak lagi ada untuk memperkatakan sesebuah karya tersebut.
Bakat-bakat Bakat-bakat yang belum diberi kesempatan oleh media cetak tentu adalah yang paling bertuah dengan memanfaatkan media internet untuk menulis atau bersastera. Mereka ini juga menemukan wadah berinteraksi, berkreasi, dan bersuara melalui sastera siber.
Ironisnya, cabaran di Malaysia justru muncul dari dunia sastera sendiri. Sastra maya dengan sifatnya yang bebas itu pernah dianggap oleh beberapa pihak sebagai sekadar untuk menulis tanpa memikirkan mutu.
“Penulisan secara maya terutama blog adalah salah satu alat untuk menarik pembaca mendekati karya-karya sastera atau setidak-tidaknya mengasuh generasi muda untuk menulis.
“Tetapi bagaimanapun, kita tetap memerlukan buku. Karya-karya sastera dalam semua genre yang bercetak kerana nilai psikologi antara buku dan tulisan sastera maya tidak sama,’’ kata Fadli Al-Akiti.
Beliau berkata demikian ketika memperkatakan Masa Hadapan Sastera di Tangan Penulis Muda pada Dialog Pinggir Pena yang berlangsung di Rumah Pena, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Alasan Fadli cukup mudah. Karya-
karya sastera maya mudah dilupakan berbanding tulisan-tulisan bercetak kerana bentuk dan sifatnya.
Ia berbeza dengan karya-karya bercetak dalam bentuk buku yang mudah dibawa dan dapat dibaca dalam tempoh yang lebih lama kerana tiada kesan radiasi dan sebagainya.
Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi panel dialog tersebut, Salman Sulaiman yang berpendapat, penulisan sastera terutama blog merupakan wabak yang boleh mengancam sastera tempatan.
Beliau mempunyai alasan tersendiri. Sastera maya (blog) di Malaysia hari ini cenderung kepada tulisan yang tidak terlalu mementingkan nilai sastera dan fokus untuk pembinaan manusia.
Berjangkit
“Penulisan blog ini semacam wabak penyakit yang berjangkit. Namun, masalahnya karya-karya yang ditulis sering gagal menampilkan apa itu nilai dan fungsi sastera.
“Malah ada karya blog yang sama sekali melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dan atau memuatkan unsur-unsur negatif yang sama sekali terpesong,’’ katanya.
Sementara itu, kedua-duanya menegaskan setiap penulis muda di negara ini perlu mempunyai keberanian dalam berkarya, memasarkan tulisan dan menanggung semua risiko.
Seperti kata Salman, sebahagian besar penulis generasi muda tempatan terlalu takut untuk menghadapi cabaran dunia sastera termasuk kritikan.
“Tidak banyak penulis generasi muda kita hari ini yang berani sama ada dikritik oleh sarjana atau paling ketara ialah terlalu bimbang mereka rugi sekiranya karya-karya mereka tidak laku.
“Kenapa ini mesti dijadikan alasan. Sedangkan kita memerlukan penulis atau pengarang yang berani dan bersedia menghadapi apa jua cabaran. Kita kena buktikan generasi muda hari ini mampu melahirkan karya yang baik,’’ katanya.
Fadli pula melihat keberanian menghadapi risiko dan dikritik merupakan salah satu ciri yang sangat penting untuk menjadi penulis yang berjaya ketika dunia berhadapan dengan globalisasi.
“Untuk menjadi penulis yang berjaya, kita mesti berani dalam semua aspek selain harus tahu apa genre yang hendak dipilih setelah membuat penelitian terperinci.
“Kemampuan menguasai bahasa lain selain Inggeris dan Melayu juga merupakan kelebihan untuk menghasilkan karya-karya terbaik dalam semua genre,’’ tambahnya.
Namun, muncul persoalan yang rumit untuk diselesaikan. Adakah keberanian semata-mata mencukupi untuk penulis-penulis muda kita berjaya ketika cabaran-cabaran lain di sekitar mereka semakin hebat?
Seperti kata Fadli dan Salman, unsur utama yang perlu dimulakan ialah membuat perubahan dalam diri iaitu sedia belajar, bersungguh-sungguh untuk berjaya dan memahami siapa itu pengarang dan apakah sastera?
4 comments:
luahan rasa en. salman yg bengang korang tak datang (sebab sibuk dengan anak atau buat anak kan?):
Sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda! Mengapa saya mesti memulakan catatan kali ini dengan kalimah pedih ini? Ilham untuk kalimah tajuk yang pedih ini tentu saja bermula seawal beberapa ketika sebelum dimulakan majlis Dialog Pinggir PENA dengan judul Masa Hadapan Sastera di Tangan Penulis Muda pada 28 April lalu yang seperti hampir-hampir tidak jadi dan hampir-hampir terbatal.
Saya diminta oleh pihak PENA hadir sebagai salah seorang ahli panel pada majlis dialog tersebut bersama dua orang lagi ahli panel iaitu Siti Hajar Mohd Zaki dan Fadli Al-Akiti. Malah, Siti Hajar juga akhirnya tidak dapat hadir. Tinggal kami berdua sajalah sebagai ahli panel, saya dan Fadli Al-Akiti. Majlis yang sepatutnya dimulakan pada jam 10.30 pagi itu terpaksalah dilambatkan hanya kerana menunggu kelibat penulis muda yang tak muncul-muncul. Yang muncul hanya sekadar beberapa orang. Rekod kehadiran yang sangat mengecewakan. Dan, setelah Siti Hajar sendiri selaku ahli panel menarik diri, majlis kami hari itu langsung tidak disertai oleh insan yang berjantina perempuan. Dari kaum Hawa, memang langsung tidak ada – penulis atau peminat sastera. Saya juga mahu bertanya, ke mana perginya penulis muda wanita Malaysia?
Saya sudah mula gusar, runsing juga kalau majlis itu tidak jadi hanya kerana ketiadaan khalayak. Maka sia-sialah kedatangan saya yang jauh dari Machang semata-mata hanya untuk berdialog dan memberi beberapa penegasan penting kepada teman-teman seangkatan saya, generasi penulis muda. Sia-sialah saya datang jauh dari Kelantan hanya kerana ingin berdialog dengan teman-teman penulis muda tapi mereka tidak ada, langsung tak nampak batang hidung.
Sejak dari Kelantan lagi, saya berkira-kira bahawa bicara saya nanti paling tidak pun akan didengar oleh 20 orang lebih teman-teman penulis muda yang segenerasi dengan saya. Dan saya membayangkan mereka akan mengajukan pelbagai soalan setelah mendengar saya mencabar mereka dengan kertas kerja saya. Aduh, rupa-rupanya sasaran saya jauh meleset. Penulis muda yang saya harapkan tidak ada. Saya tertanya-tanya, pertanyaan itu tidak putus-putus – di atas kereta Lutfi ke PWTC, dalam LRT ke Gombak, di atas bas ke Pinggiran Batu Caves, di atas bas nombor 57 kembali ke KL, dan lebih lama di atas bas transnasional balik ke Kelantan dan sampailah saya tiba semula di Machang petang semalam – ke mana perginya penulis muda Malaysia?
Penulis muda yang saya mahu lihat ada di majlis tersebut bukan kelompok Rahimidin Zahari, SM Zakir, Shamsudin Othman, Ana Balqis, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim, Zaid Akhtar, Nisah Haron, Mawar Shafei atau ramai lagi yang seangkatan dengan mereka. Saya memang langsung tidak kecewa dengan mereka. Mereka sudah menghasilkan banyak buku dan kehebatan mereka berkarya memang sudah diiktiraf dengan pelbagai anugerah. Dan kekuatan mereka memang ternyata telah terbukti. Yang saya mahu lihat muncul pada majlis dialog tersebut ialah penulis-penulis muda yang seangkatan dengan saya, penulis-penulis segenerasi yang kedengarannya agak ramai itu. Tapi, saya sangat kecewa apabila mereka yang saya harapkan, tiada.
Kalau beginilah keadaannya penulis muda Malaysia, bagaimana ingin memartabatkan sastera di masa hadapan? Ya, bagaimana ingin memartabatkan sastera masa hadapan kalau sastera yang sekarang ini pun sudah begini jadinya. Yang buatkan saya sangat kecewa, bagaimana saya yang jauh dari Kelantan boleh saja sampai ke Kuala Lumpur hanya kerana mahu berdialog dan berbicara dengan teman-teman penulis yang seangkatan dengan saya. Saya bukan datang dengan kapal terbang, hanya dengan bas. Saya bukan ditaja tidur di hotel, hanya menumpang di rumah teman penulis senior di Gombak. Jauh sekali untuk dibawa oleh pemandu dengan kereta besar ke tempat penginapan. Tidak ada apa yang istimewanya dengan ahli panel kecil seperti saya. Tapi saya tetap datang juga kerana mahu melihat kegemilangan sastera masa hadapan di tangan penulis muda. Tapi, bagaimana sastera masa hadapan mahu gemilang kalau penulis mudanya tidak ada?
Dan saya mahu bertanya juga, bagaimana penulis muda yang sudah sedia ada di Kuala Lumpur tidak boleh hadir? Dari rumah lagi, saya menganggarkan mesti ramai penulis muda yang datang pada majlis dialog itu kerana berkebetulan pada masa yang sama, berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 – tentu saja ramai penulis yang datang ke majlis dialog sambil singgah ke pesta buku. Begitu yang ada dalam anganan saya. Rupanya tidak. Memang Malaysia sudah tidak ada penulis muda agaknya.
Dan, untuk penulis-penulis muda yang segenerasi dengan saya, yang kelihatannya ramai muncul pada tahun 2000 dan ke atas itu – jawablah tulisan ini kalau anda rasa anda itu penulis muda dan berbuatlah sesuatu untuk sastera Malaysia. Tapi, kalau anda rasa anda bukan penulis muda atau bukan penulis, tak payah jawablah tulisan ini. Kalau nak pergi ke majlis sastera pun sudah tidak ada semangat, tak payahlah mengaku diri sebagai penulis muda. Kalau sudah rasa diri anda itu bukan penulis muda, tak payahlah sahut cabaran ini, tak payahlah terbit buku (teruslah mengaku jadi penulis walau tak ada sebuah buku pun), tak payahlah pergi majlis sastera, duduk diam-diamlah, tak payah buat apa-apalah untuk sastera Malaysia dan tak payahlah buat apa-apa juga untuk sastera masa hadapan. Ya, kalau anda rasa diri anda itu bukan penulis muda, tak payahlah buat semua itu. Duduk diam-diamlah, biarlah sastera Malaysia pupus hancur. Biarlah, bukankah Malaysia sudah ketiadaan penulis muda?
Tunggu, banyak lagi tulisan saya yang perlu kamu jawab wahai penulis muda! Tunggu saja, kalau kamu benar-benar penulis muda dan kalau kamu benar-benar mahu memartabatkan sastera di masa hadapan.
Saya hanya mahu menegaskan sekali lagi atau sejuta kali lagi, dan lagi – sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda!
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
11.56 malam, Isnin.
30 April 2007.
12 Rabiulakhir 1428 H.
saya nampak gambar Fadz. :-)
ya, saya nampak tembam :)
Bagaimana saya nak datang ke sana Encik Salman, setakat ni dengar nama Rumah Pena & segala berkaitan dengan Pena pun akan meloyakan saya. Saya muntah.
Saya pun terlepas mengenai ulasannya & banyak lagi ulasan program sastera sebegini dalam Utusan Malaysia & Berita Harian sebab kebelakangan ini dah tak baca akhbar-akhbar ini lagi, sebab itu pun boleh membuatkan saya muntah.
Saya suka sastera. Saya memang suka sastera dalam bahasa melayu juga. Tapi saya dah lama sedar yang kalau saya baca sastera bahasa melayu masa kini, lagilah saya akan muntah. Muntah darah lagi.
Kadang-kadang muntah itu perlu. Muntah sebagai satu program biologi tubuh. Kalau minum & mabuk pun akan muntah.
Tapi ketiga-tiga muntah di atas saya tidak mahu. Malahan muntah-muntah tersebut bukannya sebab saya mabuk dahulu.
Pendeknya, saya perlu sastera yang memabukkan! Sastera anda semua terlalu bosan untuk membuatkan saya mabuk.
Post a Comment