Pengarang muda perlu berani terbit karya mereka sendiri
DIALOG Pinggir Pena: Masa Hadapan Sastera di Tangan Penulis Muda mempamerkan kesedaran pentingnya pengarang muda membukukan karya mereka sama ada secara persendirian mahupun bersama-sama penulis lain.
Tindakan menghasilkan kumpulan atau antologi cerpen dan puisi diyakini dapat memberi jawapan tuntas kepada dakwaan yang meletakkan pengarang alaf baru tidak memiliki kekuatan sekental penulis sastera sekitar 1980-an dan 1990-an.Penulis muda, Salman Sulaiman, berharap penulis segenerasinya bersedia menyahut cabaran untuk menerbitkan buku dan tidak hanya bergantung kepada wahana penerbitan sedia ada seperti akhbar serta majalah.“Penulis muda perlu memiliki jiwa sasterawan yang sanggup berkorban sepanjang hidup dengan mengusahakan penerbitan buku karya mereka. Tidak sepatutnya ada kebimbangan akan mengalami kerugian,” katanya pada majlis di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, baru-baru ini.Salman turut menasihat penulis muda agar tidak mengambil pusing terhadap tanggapan yang cuba menimbulkan keraguan mengenai kemungkinan buku terutama genre puisi tidak terjual.“Saya sebenarnya berasa tercabar apabila mendengar dakwaan mengenai bahawa penulis segenerasi saya dikatakan tidak bermaya berbanding penulis terdahulu,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sharun Nizal Mohd Noor.Mengenai penulisan karya dalam bentuk blog, Salman melihatnya sebagai wabak yang merebak kepada sesiapa saja yang melayari internet termasuk pelajar dan universiti untuk meluahkan perasaan sehingga membabitkan soal peribadi.“Penulis sewajarnya berasa puas apabila karya mereka disiarkan dalam blog. Sebaliknya mesti membukukan karya mereka sebagai bukti dokumentasi pembabitan. Ditambah pula, tulisan dalam blog lebih bersifat santai,” katanya yang menghasilkan kumpulan puisi Sebelum Menjadi Penakut.
Pegawai Perancang Bahasa Unit Multimedia DBP, Muhammad Fadli Al-Akiti, pula berharap pengarang muda mengambil iktibar daripada sarjana Barat yang mencontohi tradisi ilmu ulama Islam dengan menyelidik fakta sehingga ke akar umbi.“Penulis muda juga perlu mengetahui genre yang mahu dikuasainya kerana pengarang terdahulu memperlihatkan penguasaan mereka. Daripada aspek penguasaan bahasa pula, pengarang perlu mengetahui sekurang-kurangnya dwi bahasa,” katanya yang menghasilkan novel fiksyen sains, Jian.Muhammad Fadli turut menyarankan penulis muda bercampur gaul dengan pengarang tempatan yang berkarya dalam bahasa Inggeris kerana situasi semasa tidak memperlihatkan integrasi antara pengarang dua kelompok terbabit.
No comments:
Post a Comment