Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, May 15, 2007

Patani & Tali Leher Hitam



Tajuk: Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954
Oleh: Nik Anuar Nik Mahmud
Terbitan: Penerbit UKM
Tahun: 2006

Sinopsis:

Penulisan sejarah ini adalah antara siri dalam Siri Konflik Sempadan yang dikeluarkan oleh UKM sempena dengan tragedi Tak Bai serta rusuhan dalaman yang berlaku di Selatan Thai sekarang, terutamanya kawasan penduduk Melayu Patani. Di dalam buku ini, kronologi tentang
apa yang sebenarnya berlaku di Patani, bagaimana pihak Siam merampasnya dan bagaimana sampai sekarang, kawasan itu dicengkam dengan ketidakadilan mewarnai isi buku ini.

Rasa:

Apabila saya membaca buku ini selepas membelinya di Pesta Buku tempoh hari, saya tidak dapat melepaskannya. Isi sejarah di dalamnya benar-benar membuka mata saya tentang sejarah sebenar perjuangan orang Melayu Patani (mereka kini di panggil oleh kerajaan Thai sebagai Orang Selatan Thai atau Thai Muslim). Malah, saya rasa malu kerana tidak pernah menulis tentang rintih perih orang-orang di sana. Jikalau Faisal Tehrani mahu sambung menulis tentang Occidentalisnya, beliau tidak perlu lagi melancong jauh ke benua timur tengah atau Bosphorus Turki. Rupa-rupanya, di belakang halaman rumah kita, satu tragedi perjuangan orang Islamsedang bergolak rancak dan perlu diambil perhatian dengan serius.

Buku ini, bagi saya, amat penting dalam memahami kebenaran sejarah tentang apa yang sebenarnya yang berlaku. Saya turut berasa sedih dan hiba (walaupun saya cuba membaca buku ini tanpa apda perasaan prejudis) bila orang Melayu dipanggil hina oleh rakyat Thai (kita disamakan seperti binatang) pada awal abad 19, bagaimana tanah orang Melayu dirampas sewenang-wenangnya, bagaimana polis Thai membedil dan merosakkan sebuah kenduri Melayu kerana mereka menyangka kenduri ini 'satu aktiviti memberontak pemerintah', bagaimana raja-raja Patani ditipu untuk tunduk dengan kuasa Thai (episodnya mengingatkan saya terhadap tanah-tanah Melayu yang terjual kepada pihak Inggeris), dan bagaimana dengan liciknya, kejujuran dan kesucian perjuangan orang Melayu di Patani di'putar belit' oleh media dan pemerintah Thai supaya kuasa luar tunduk terhadap tindakan pusat pemerintah Thai terhadap nasib dan masa depan Patani.

Mungkin, ya, buku ini sedikit menghala terhadap objektif bahawa tanah Patani itu sememangnya milik orang Melayu Patani yang berdaulat, maka kesemua data-data yang dilampirkan dalam buku ini semacam berpihak kepada orang Melayu Patani dan memberi pandangan yang sedikit berat sebelah terhadap keinginan pihak Thai. Tetapi itu bukan menjadi masalah apabila penuis buku ini, memasukkan fakta-fakta yang sahih, dengan analisa sejarah yang dikira rasional dan jitu, telah memaparkan dengan jujur, bagaimana orang Melayu Patani ditindas hak mereka sebagai orang Melayu minoriti dalam negara Buddha, hanya kerana Thai waktu itu mengikut semboyan kenegaraan (nasionalis), di mana idea ini cuba memakan setiap 'kelainan' dan 'warna' minoriti rakyat Thai kepada satu budaya 'nasional' yang cenderung ke arah ajaran Buddha (boleh disamakan dengan transformasi Islam Uthmaniyah kepada Turki Moden yang disemboyankan oleh Attartuk). Hanya kerana penjagaan terhadap 'kelainan' inilah, rakyat Patani ditindas sekeras-kerasnya.

Di dalam buku ini, terdapat satu kesimpulan yang dibuat oleh pegawai British, Cunyngham-Brown, merumuskan keadaan pergolakan Selatan Thai yang masih meruncing sehingga sekarang:


Kerajaan Siam tidak dapat memberikan autonomi kepada orang-orang Melayu tanpa menjejaskan maruah mereka dan langkah ini akan membuka jalan kepada kumpulan minoriti lain untuk mendapatkan konsensi yang sama ... kebanyakan orang Melayu enggan untuk berkompromi dengan Kerajaan Siam.


Jelas di sini, keadaan di Selatan Thai seakan "telur di hujung tanduk" di mana mangsa sebenar di dalam pergolakan ini ialah anak-anak muda Patani yang dicengkam oleh idea kenegaraan untuk bersama-sama maju dengan rakyat Thai yang lain, berlawan dengan idea Islam dan Melayu yang mengikat anak itu untuk tidak meninggalkan akar umbinya dan tamadun silamnya. Apa yang saya dapat apabila membaca buku yang setebal 130 halaman ini ialah, sememangnya orang Melayu kita, nilai yang kuat di dalam jati diri mereka ialah, mereka ini pejuang (fighters) yang sebenar-benarnya pejuang, sama seakan semangat orang Sparta Yunani atau Parsi. Perjuangan orang Melayu, khususnya orang Patani ialah pejuang yang hakiki dan sufistik (mereka banyak bersabar dengan kejahatan pihak Siam terhadap mereka. Beberapa adegan di mana pihak berkuasa Thai menindas mereka, mereka dapat bertahan dengan penuh kesabaran). Satu perjuangan yang jarang-jarang kita dengar berlaku pada zaman sekarang.

Buku ini, walaupun mungkin memerlukan ketelitian yang lebih mendalam tentang mengupas pengaruh dan tindakan kedua-dua pihak Thai dan Patani, buku ini sudah mencukupi buat setakat ini sebagai sebuah dokumen penting dalam memahami kenapa Selatan Thai sehingga sekarang bergolak, dan kewajaran orang Melayu seluruh negara untuk masuk campur dalam masalah saudara mereka di Selatan Thai ini.


Pembacaan Sajak 13 Mei di No Black Tie

Ada sebuah majlis yang sangat menggembirakan saya berlaku pada malam 13 Mei lalu di No Black Tie, Bukit Bintang. Cina (kebanyakannya), Melayu, India serta Mat Saleh dan bangsa lain telah menghadiri majlis pembacaan sajak dan persembahan kugiran pada malam itu, 'bercerita' tentang 13 Mei, bersatu-padu, semangat muhibah serta isu-isu kontreversi yang bersalut tentang identiti Malaysia dan rakyatnya.


Beberapa orang yang saya tidak berapa kenal telah memberi pertunjukan yang memberangsangkan. Yang penting ialah, bagaiaman majlis ini berjaya menarik kepelbagaian persembahan pada malam itu, dari yang pakar dan tokoh (Rahmat Harun, untuk pertama kali saya dapat melihatnya) seperti Jerome Kugan dan Rahmat Harun, kepada beberapa penyair sedang naik seperti Roy dan beberapa penyair dan pemuzik amatur yang juga memberi persembahan-persembahan yang menarik, dan ada juga yang 'mengarut', dalam bahasa Melayu serta Inggeris. Apa yang menariknya ialah, kumpulan ini dapat 'bersatu' dalam majlis itu, baik yang persembahannya 'entah apa-apa' sehingga yang 'mencetus sentuhan tinggi' dan penggunaan dwi bahasa dalam majlis.


Malah Jazz, pengerusi majlis itu, pada satu saat telah mengajak para penonton untuk berdiri bersama-sama dengan bersemangat untuk menyanyi lagu kebangsaan kita, "Negaraku", walaupun kebanyakan mereka tidak hafal lirik dan lagu itu. Yang penting, mereka bersemangat menunjukkan kesanggupan mereka berdiri dan bernyanyi, walaupun pihak luar mungkin tidak suka akan cara pemakaian dan keperibadian mereka.


Sebuah majlis yang menarik, walaupun dibuat pada malam Isnin hari Ahad.

No comments: