Sepatutnya dialog pinggir kelolaan PENA pada Sabtu lepas menggunakan tajuk di atas dan bukan Sastera Underground vs. Sastera Islam. Kedua-dua 'sastera' ini (kalau boleh dipanggil sastera) sememangnya tak pernah bergaduh dan tak pernah 'kenal' akan satu sama lain (secara seloroh seperti yang diungkapkan oleh si Wartawan Tua pagi itu: definisi mutlaknya masih samar dan keliru), apatah lagi bertemu. Jadi sesuailah kalau ia dikahwinkan supaya si Islam kenal daki dan habuk kaki suami bawah tanahnya dan si suaminya kenal ubun kepala di balik tudung isterinya.
Malah, dialog (sebenarnya ia bukan dialog, tetapi forum sehakikinya) pagi Sabtu itu turut memaparkan, bagaimana, seperti suami isteri yang sudah berkahwin selama mungkin 10 tahun, masih bergaduh kerana 'perbezaan' picisan mereka, si suami diprejudis dengan tanggapan kakinya busuk dan si isteri yang ditanggap tetap mahu pakai tudungnya walaupun atas katil. Begitulah pendapat peribadi saya pada dialog pinggir PENA Sabtu lepas, yang turut dihadiri oleh Pak Samad, Saharil dan Tengku R (mereka kan stars?).
Saya tak kenal 2 panel sebelah 'Islamik' tetapi saya kenal Rahmat Harun (walaupun tidak pernah bercakap dengannya. Dengan rasa penuh marah, saya dengar daripada beberapa kawan hari itu yang tanya soalan bodoh seperti: "Diakah yang menulis Di.Ar.Ti?" Maaf, tapi lain kali, TOLONG buat ulang kaji sedalam-dalamnya sebelum memalukan diri anda depan saya. Jangan jadi seperti Nisah Hj. Haron yang tidak tahu membezakan Rahmat Haroun yang menulis Manuklon dengan Rahmat Haroun yang menulis Fitrah Kimiawi dalam Dewan Sastera Mei 07) kerana puisi-puisi beliau yang segar. Satu perkara tentang beliau: saya rasa malu kerana saya sangat teruk waktu dialog pinggir 2 minggu lepas, tergugup dan menggeletar dan rasa seakan apa yang saya kata separuh masak; sedangkan Rahmat Harun, bukan sahaja seorang pujangga dan penyair sebenar, tetapi kata-katanya isi mutiara yang nikmat, dan beliau juga pandai (ini tentang Taman Bahagian di mana seorang daripada panel itu tidak kenal akan tulisan sarjana lama itu) dan kenal pelbagai ilmu dan perkara. Paling penting, beliau sangat 'tunduk' dan 'hormat', rasa seakan kecil- sememangnya satu sifat dan adab yang susah saya mahu jumpa dalam mana-mana penulis 'Islam' di Malaysia.
Lain halnya dengan si perempuan cantik bertudung yang menjadi pejuang sastera Islam pagi itu. Dia membara dengan kalimah-kalimah Qur'an semacam Yusof Qardawi atau Harun Yahya atau mana-mana ustaz keluar Azhar berucap, penuh semangat, garang dan menyuap isi kerongkong, lagi sekali dan lagi sekali dengan kata-katanya penuh "mesti" dan "jangan" semacam ahli-ahli fiqh yang strukturalis (atau mengingatkan saya terhadap golongan pejuang Kerajaan Islam di pesta buku Islam Jakarta baru-baru ini, ya mereka golongan ekstermis yang mahu kerajaan 'ISLAM' dijuangkan dengan syariat).
Maafkan saya kalau berkata, tetapi dengan lebih ramai manusia seumpama ini, walaupun niat mereka baik untuk berdakwah dan bercakap lebih tentang Islam, sebenarnya merekalah yang menakutkan kaum Kafir kerana cara mereka yang "mesti" dan "jangan" (buat orang Kafir, mereka sudah ada manusia-manusia jenis sebegini, yang mereka panggil evangelist, di mana mereka sentiasa mengingatkan orang tentang neraka-neraka-neraka) dalam susastera atau apa-apa. Saya begitu menunggu untuk melihat adanya di Malaysia, seorang penulis sastera Islam seperti El-Syirazy yang penuh dengan tunduk hormat dan rasa rendah diri dan selalu sahaja tersenyum (pagi itu, dalam SPM RTM 1, beliau boleh berseloroh dan ketawa bahawa novel beliau dicetak rompak. Bayangkan kalau penulis kita, apa yang berlaku dengan novel mereka dicetak rompak), dan cuba tidak memalitkan rasa-rasa polemik dan benci.
Seperti Hamza Yusof. Beliau juga, pada waktu mula-mula beliau berdakwah, kata-kata beliau agak kasar walaupun penuh ilmu. Tetapi, beberapa tahun yang lepas, saya menonton beliau di Oxford untuk satu ucapan beliau. Beliau langsung tidak lagi memakai serban (beliau tidak sanggup orang memanggilnya sheikh) dan kata-kata beliau lebih berhemah, tenteram dan menusuk. Beliau berkata dengan 'cinta'. Dan itu adalah perkara yang paling penting untuk pendakwah/penulis sastera 'Islam' ini. Perkara sebegini boleh kita belajar daripada mendengar tok-tok guru dari pondok kita (dan bukan dari Muhamadiyyah) atau pesanteren tradisional (dan bukan yang moden) di Indonesia. Kata-kata mereka memang menusuk kalbu. Dan ini yang saya cari dalam seseorang yang memanggil diri mereka penulis sastera 'Islam'.
Sebenarnya, bagi saya pun, saya tidak suka menggunakan istilah 'sastera Islam'. Ia terlalu umum. Itulah kenapa saya setuju benar dengan SN Nordin Hassan memanggil teater-teater beliau sebagai "Teater Fitrah", menjadikannya lebih peribadi, unik dan istimewa. Islam terlalu luas untuk diambil (atau dicuri) sebagai makna dalam susastera (ia boleh menjadi satu ciri, tetapi bukan sehakikinya satu disiplin sastera) secara umum. Hamza Yusof sendiri memperkatakan perkara itu apabila rakyat Islam UK sibuk mahu membina 'sekolah Islam'. Bagi beliau, perkataan "Islam" itu, cukuplah dirobek oleh Amerika dan sekutunya sekarang. Yang penting, gunakan istilah-istilah murni yang lain, kerana beliau berkata, zaman-zaman kegemilangan tamadun Islam pun, sarjana era itu menggunakan banyak istilah Arab yang murni daripada menggunakan perkataan Islam itu (sedari ini, pesanteren kita ada pelbagai nama-nama cantik, juga disiplin yang diajar dalam pesanteren, punya definisi-definisi yang menarik dan jitu terhadap satu perkara yang akar), yang sebenarnya kita mengikut gaya orang barat (orang barat suka benar melabel waktu itu secara umum. Mereka memanggil ilmu atau orang Islam sebagai Saraceans, atau Mohammaden, sedangkan orang Islam waktu itu sudah tahu membezakan si Inggeris daripada si Peranchis atau Sepanyol- dan kini, kita mengikut gaya mereka) apabila kita menggunapakai istilah 'sastera Islam'.
Perkara kedua, adab dan cara kita, saya rasa, tidak sepatutnya dan tidak sanggup kita letakkan di bawah perkataan sesuci Islam itu. Kalaulah kita ini sudah 20 tahun (dan mana-mana sarjana Islam dahulu pun tidak berani membuak bahawa mereka pandai menulis) belajar di bawah pondok (seperti beberapa penulis yang saya tahu memang bolehlah dipanggil pemikir Islam, seperti Dr. Naquib al-Attas kerana pengalaman kesarjanaan beliau yang berakar daripada sekolah pondok), atau bertahun-tahun duduk bersama seorang 'alim atau sheikh, atau sudah mendapat ilmu laduni, baharulah berani mengatakan apa yang mereka tulis itu 'sastera Islam'. Bagi saya, tulisan seperti Hamka itu pun masih belum cukup (saya pernah beberapa kali mencampak Di Bawah Lindungan Kaabah kerana kebosanannya). Apatah lagi seorang sasterawan seperti Pak Samad berani menulis Al-Ameen. Cara Al-Ameen itu dicipta sendiri sudah salah. Pak Samad bukan datang daripada disiplin sekolah pondok, atau mana-mana tariqah. Beliau individualis, seperti sarjana Barat, mengkaji sendiri bahan-bahan untuk karya sasteranya. Beliau tidak ada 'guru' (ingat, berguru sendiri dengan menelaah sendiri, gurunya ialah syaitan) walaupun mungkin saya tidak tahu siapa 'reference' beliau untuk Al-Ameen. Apa-apa pun, kita boleh bandingkan, bagaimana 'cold'nya Al-Ameen jika kita mahu bandingkan dengan Muhammad tulisan Martin Lings (seorang ahli tariqat). Al-Ameen tidak punya satu perkara yang paling penting dalam 'sastera Islam', iaitu hati (soul/heart). Al-Ameen ciptaan Pak Samad mati, kerana cara ia dibikin ialah dengan penelahan Quran oleh seorang yang bukan pakar penafsir (belajar untuk menafsir Quran pun mengambil masa 5-6 tahun untuk menjadi pakar) dan buku-buku Sirah yang berbaur dan tidak kita tahu akarnya (reference)- dan ini yang menyebabkan ia mati. Malah saya tidak dapat membayangkan El-Syirazy yang menulis cerita perempuan pelacur tiba-tiba mahu menulis tentang kemurniaan cinta Allah. Apakah itu 'Islamik'?
Oleh kerana itu, sampai sekarang, mana-mana sarjana tidak akan dapat mengkaji sebenar-benarnya apa itu susastera Islam, bukan sahaja kerana golongan pondok yang cerdik pandai tidak mengkajinya (mereka merasakan, tidak perlu pun, malah bagi mereka, ia tidak perlu dipanggil sastera Islam, tetapi sastera sahaja sudah mencukupi, kerana perkataan sastera itu sendiri sudah indah, tidak perlu lagi di'Islamisasi'), tetapi golongan sarjana yang mengkajinya pun datang dari dunia yang berbeza, mengambil gaya dan disiplin barat (walaupun gaya ini dipelajari dari sarjana Islam dahulu) dalam pelbagai teori dan istilah barat. Maka dengan itu, terlihatlah polemik yang berlaku pada pagi itu di rumah keramat PENA, bagaimana tidak akan ada yang dapat mendefinisikan 'sastera Islam' itu sebenar-benarnya. Seperti kata Rahmat Harun pagi itu, jangan didaktikkan Islam sebagai suatu sains (dan tiba-tiba digoyah dan ditendang oleh Wartawan Tua ini tanpa adab- talk about being Islamic and madaniah, ceh!) tetapi Islam itu perlu ada dalam setiap perkara tanpa kita sedari atau kita memang sedari.
4 comments:
a very good article from utusan: Wajarkah sastera underground dipinggirkan?
BARISAN panel yang memperkatakan Sastera Underground Versus Sastera Islam di Rumah Pena, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dari kiri, Rahmat Haroun, Raihani Mohd. Said (pengerusi), Ummu Hani Abu Hassan dan Ali Atan.
--------------------------------------------------------------------------------
GAYA dan pendekatan penulisan yang anti konvensional serta menampilkan imej anarkis seseorang pengarang merupakan antara elemen yang dianggap berkaitan dengan sastera underground.
Malah, gaya dan pendekatan seperti itu dianggap oleh sesetengah orang sebagai sampah yang lahir daripada kekotoran dunia pascamoden yang tidak lagi mementingkan estetika dan peraturan.
Sastera underground di Malaysia dikatakan berkembang sejak awal 1990-an. Ia merupakan satu tindak balas akibat perkembangan politik, ekonomi dan sosial dunia.
Namun, perkembangan sastera underground di Malaysia agak lambat berbanding dengan kemunculannya di negara-negara Barat sejak pasca Perang Dunia Kedua.
Pada dekad 1990-an, negara-negara Eropah terutama Perancis, Amerika Syarikat dan Britain pemahaman underground seolah-olah mencapai kemuncak. Antara lain ditandai dengan lahirnya posfeminisme yang disulam daripada pelbagai wacana.
Wacana tersebut merangkumi psikoanalisis, posstrukturalisme, posmodenisme dan poskolonialisme yang digunakan untuk mengukuhkan pemahaman terhadap feminisme.
Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, negara-negara yang kalah dalam perang terutama Jerman dan Perancis, isu ekonomi, pengangguran dan ketidaksatabilan politik menjadi isu yang memomokkan generasi muda termasuk penulis-penulis serta penggiat seni.
Penulis dan penggiat-penggiat seni melontarkan rasa tidak puas hati dan kritikan tajam terhadap pemimpin-pemimpin mereka melalui karya sastera dan elemen-elemen seni lain seperti seni tampak serta muzik.
Malah, kelompok tersebut turut mengkritik tradisionalisme yang dianggap ketinggalan dan menghambat kepada kemajuan manusia. pandangan seperti tersebut merupakan asas kepada aliran pascamoden hari ini.
Lalu, apakah wajar karya-karya underground yang dianggap sebagai sampah daripada wacana pascamoden tersebut diketepikan begitu sahaja daripada arus perdana sastera Malaysia?
Dialog Pinggir bertajuk Sastera Underground Versus Sastera Islam yang berlangsung di Rumah Pena, Kuala Lumpur baru-baru ini cukup menarik untuk memperkatakan polemik tersebut.
Salah seorang panel dialog, Ali Atan berkata, ciri-ciri sastera underground sebenarnya telah muncul sejak tahun 1950-an. Ia ditandai dengan kehadiran karya oleh ‘penyair kabur’.
*Orang gila
Walaupun kemunculan karya oleh penyair kabur tersebut dianggap sebagai ‘orang gila’ oleh beberapa pengkritik sastera, ia dianggap membawa imej underground.
Tetapi pada masa yang sama mereka mementingkan nilai-nilai estetika sastera dan bahasa. Barangkali ini adalah garis pemisah antara penyair kabur dan penulis underground.
Pada dekad 1990-an, Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad menghasilkan novel Tivi yang memapar perbincangan seks secara terbuka dan agak keterlaluan. Ia diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bagaimanapun, Ali berkata, novel tersebut tidak dianggap sebagai sebuah karya sastera underground kerana ditulis oleh seorang Sasterawan Negara dan diterbitkan oleh badan berkanun kerajaan.
Selain itu, lahir beberapa novel yang sama sekali anti konvensional pada dekad tersebut seperti Shit oleh Shahnon dan Babi oleh Ibrahim Ali.
“Dalam konteks sastera underground yang benar-benar menarik untuk dikaji ialah kelahiran tulisan-tulisan penulis muda seperti Faisal Tehrani dan Azman Hussin pada 1998 iaitu antologi bersama Cerpen-cerpen Underground.
“Tulisan dalam antologi ini begitu bertenaga, berbau politik dan menentang pembikinan tradisi penulisan karya-karya sastera pengarang mapan,” katanya.
Namun, wajarkah karya-karya underground yang sering menampilkan unsur seks yang lebih terbuka dan anarkis diketepikan begitu sahaja?
“Tidak,” kata Ali. Alasannya, ia membawa pendekatan baru dalam sastera Malaysia. Malah, sering kali menampilkan tema-tema Islam tetapi dalam konteks yang berbeza.
Ia muncul ketika sastera arus perdana di Malaysia yang dianggap terlalu klise dan menyatakan sesuatu persoalan dengan unsur metafora atau simbol serta berselubung.
“Karya sastera underground di Malaysia tidak secara pukal membawa unsur negatif semata-mata. Ia juga sama sekali tidak pernah bertentangan dengan sastera Islam. Tidak ada batas yang jelas antara kedua-dua pendekatan.
“Sebenarnya sastera underground di Malaysia merupakan salah satu genre penulisan. Cuma berbeza dari aspek penyampaiannya tetapi tetap membawa mesej yang yang sama untuk kebaikan dan kemanusiaan,” tambah beliau.
Seorang lagi panel dialog, Rahmat Haroun berkata, sastera underground di Malaysia tidak pernah mencari keterasingan dan anti konvensional.
Cuma, penulis-penulis underground merasakan aliran dan pendekatan seperti itu lebih selesa dengan mereka terutama dalam memperkatakan isu politik, ekonomi, sosial dan pelbagai permasalahan lain.
“Walaupun saya menulis karya dan dicop sebagai penulis underground, saya sangat terpengaruh oleh penulis-penulis besar dalam keilmuan Islam seperti Dr. Ali Syariati (Iran).
*Pengertian underground
“Pengertian underground tersebut perlu ditelusuri dengan teliti. Penulis yang menggunakan pendekatan ini jangan dilabelkan dengan persepsi negatif dan anti konvensional,” katanya.
Beliau berkata, selepas Peristiwa 11 Sepetember, Islam dipojokkan dan dianggap sebagai agama pengganas. Pada hal ia bertentangan sama sekali dengan eksistensi agama itu.
Sehubungan itu, lahirlah karya-karya underground yang mempertikaikan pandangan Barat tersebut. Ia seakan-akan alat perjuangan untuk menafikan pandangan sempit tersebut.
Sementara itu, penulis Ummu Hani Abu Hassan yang juga panel dialog berkata, sesebuah karya sastera dan pengarang perlu mempunyai tanggungjawab terhadap diri mereka, manusia, Tuhan dan alam.
“Dalam mengisi zaman yang serba mencabar dan tanpa sempadan ini, sastera perlu menjadi alternatif untuk menegakkan pembangunan ummah dan ilmu pengetahuan,” katanya.
Namun, cukup menarik untuk memperkatakan adakah benar-benar wujud sastera underground di Malaysia. Atau sekadar penulis-penulis generasi muda tempatan mengadapatasi ciri-cirinya ke dalam penulisan mereka.
“Di Malaysia tidak ada sastera underground yang jelas jika dibandingkan dalam tradisi penulisan Barat terutama negara-negara yang mengamalkan diskriminasi atau menekan golongan penulis.
“Cuma aliran underground ini agak jelas ketika Peristiwa Keranda 152 apabila bahasa Melayu cuba dipinggirkan,” kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said ketika mengulas polemik tersebut.
fadz-
nama bapa rahmat adalah harun, bukan haroun. kerana itu barangkali ada yang keliru.
harun. bukan haroun.
bunting di rumah pena tu pun silap eja.
slm jimadie,
yeap...ada 3 jenis 'harun' yg saya kenal:
Rahmat Harun - penyair
Rahmat Haroun @ Dr. Rahmat Haroun (penulis fiksyen sains)
Rahmat Haroun Hashim (penulis novel Fitrah Kimiawi, penulis muda yang sedang belajar di IPT tak silap saya)
ereta: Kak Nisah was right, Rahmat haroun Hashim is Rahmat Haroun, but i feel its a bit "absurd" to change names like that..
Post a Comment