Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, April 2, 2007

Suluh Peraba

Tajuk: Suluh Peraba
Oleh: Rahman Shaari
Terbitan: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tahun: 1996

Sinopsis:
Sebuah persatuan bernama 'Suluh Peraba' yang diketuai oleh Mohammad Odai, serta Asmal dan Mohammad Abdad dicipta untuk memasyarakatkan masyarakat Melayu satu idea baru bahawa bomohisme adalah alasan adat yang tiada fungsi bagi memperbetulkan kesakitan rohani dan fizikal masyarakat. Tetapi ada sesuatu yang berlaku di antara Odai, Asmal dan Abdad, dan masalah-masalah mereka yang tersimpan di dalam keluarga mula menular menjadi rumit dan menyesakkan, sehingga mereka yang tidak percaya dengan bomoh ini terpaksa meminta 'kepakaran' golongon bomoh sekali lagi.

Rasa:
Antara keseronokan membaca novel-novel Rahman Shaari ialah dengan gayanya yang tersendiri. Rahman, suka memecahkan teksnya kepada dua bahagian, kadang-kala terhadap prediket, subjek teks, kadang-kala terhadap keseluruhan cerita novel itu sendiri.
Suluh Peraba mungkin tidak semenyengat Burok dan tidak secantik Mufarakah, tetapi novel ini ada sesuatu, walaupun saya tidak setuju dengan beberapa penerimaan penulis itu, atau watak-watak yang menyelusirinya tentang bomoh dan ubat tradisional.
Nama Suluh Peraba itu sendiri mempunyai 'dua makna' di dalam novel ini. Dalam garapan cerita Mohammad Odai dan apa yang dilaluinya, telah merumuskan dengan baik apa isi 'suluh peraba' terhadap novel ini. Orang boleh sahaja samakan dengan hipokrisi penguasa politik, masyarakat atau secara tersirat, penulis sendiri yang terlihat akan mempercayai kekuatan rasionalisasi tetapi faham, bukan kesemua sifat manusia boleh disukat dengan rasionalisasi.
Secara senyap, novel ini seakan mahu mengungkapkan bagaimana tahayul dan dongengan- mitos ciptaan masyarakat tercipta kerana 'cerita' yang dicipta oleh masyarakat itu sendiri. Bagaimana yang diselindung tampak benar dan hak menjadi batil, tetapi itu pun mempunyai konotasi mitos yang tercipta tidak dapat dibebaskan oleh masyarakat itu. Seperti yang dilalui oleh Mohamad Odai, antara watak paling menarik dalam novel ini, dialah yang mencipta 'dongengan'nya yang juga telah menyebabkan kejatuhannya, hanya kerana sikapnya yang lemah bila berdepan dengan seorang perempuan. Muslihat di sini, walaupun mahu menutup 'malu'nya, telah menjatuhkannya secara diam, dan dia tak sedar pun ia berlaku.
Walaupun novel ini agak mengambil masa saya, dan beberapa babak Zakee agak membosankan dan tidak sekuat babak-babak Mohammad Odai, novel ini, walaupun tampak biasa, dapat juga menyengat sesiapa yang cepat percayakan tahayul, godaan serta gosip-gosip luar yang terbiasa dalam ciptaan mitos masyarakat Melayu.

No comments: