Tajuk: The Shinning
Oleh: Stephen King
Terbitan: Doubleday
Tahun: 1977
Sinopsis:
Danny baru lima tahun apabila dia sedar bahawa dirinya mempunyai satu keistimewaan di mana sebuah dunia yang menarik akan tercipta di depan matanya. Encik Hollorann memanggilnya 'the shine' (cahaya), suatu dunia di mana Danny mempunyai kuasa melihat masa hadapan dan bertemu dengan manusia beribu-ribu batu jauhnya.
Dan keistimewaan inilah yang diingin oleh Hotel Overlook apabila Danny, ayahnya Jack dan ibunya tiba di sana. Ia mahukan sifat istimewa Danny ini di dalamnya, dan ia tidak akan berhenti selagi Danny tidak tunduk di bawha perintahnya.
Rasa:
Saya mempunyai sikap melakukan pembacaan buku secara bergilir apabila sesebuah buku itu menjadi bosan kepada saya. Novel ini telah saya 'gilir'kan selama 10 kali sejak saya dihadiahkan sepuluh tahun dahulu, dan kali ini saya sudah menghabiskannya.
Sesuatu tentang Stephen King yang saya hormati, Stephen King tahu bagaimana untuk menutup ceritanya dengan sebuah prosa yang cantik dan sempurna. Di dalam novel ini, pembaca akan mengalami truama dan sakit untuk mencerna kata-kata Stephen yang panjang-panjang, berjela dan terlalu terperinci. Kadang-kala, beberapa babak dalam novel ini tidak pun menakutkan, ia lebih komikal daripada menakutkan. Tetapi beliau berjaya, di akhirnya mengkakhiri novelnya dengan sebuah kepuasan yang dirasai, dengan menyatukan segala metafora, simbolisme, psikologi yang beliau bangunkan dari awal cerita, lalu mengikatnya dengan cantik dan tersusun pada akhir cerita. Inilah kekuatan Stephen King.
Novel ini tidak menakutkan. Yang lebih penting ialah dunia fantasi gelap yang dibawa oleh Stephen King, mengelilingi tiga manusia yang terperangkap di dalam hotel pada muskim ribut salji. Novel ini mempunyai dua lapisan yang tampak, satunya adalah degrasi moral dan kesiuman seorang manusia, apabila mereka dibiarkan terasing daripada dunia luar dan masyarakat, dan bagaimana keterasingan itu boleh memudaratkan dirinya malah keluarganya pada satu titik kegilaan.
Lapisan kedua ialah, bagaimana manusia itu sendiri percaya terhadap kuasa luar biasa, kuasa luar alamiah (supernatural) yang mentadbir manusia apabila manusia tidur, dan bagaimana kuasa itu boleh memberi harapan terhadap manusia, atau membinasanya.
Apa yang penting untuk diketahui pembaca, novel ini berjaya pada kedua-dua tahap ini, memberi kuasa psikologi yang kuat terhadap keinginan seorang yang tidak siuman untuk membunuh dan kuasa luar biasa yang hanya boleh dipercayai kalau manusia itu mempunyai iman (kepercayaan) terhadapnya.
Hotel Overlook itu, seperti metafora yang jitu yang dibawa oleh Stephen King, dibayangkan sebagai sebuah sarang tebuan yang memukau dan menyengat. Ia memukau sesiapa yang duduk di dalamnya, dan lama-kelamaan ia menyengat mereka yang ia (hotel itu) rasa perlu untuk menjadi 'sebahagian' daripadanya.
Idea Stephen King ini sebenarnya datang daripada ideal dualisme dan falsafah Kluthu, dengan gaya tersendiri Stephen King melalui ideal E.C. Comics yang beliau sayang waktu zaman remajanya, novel The Haunting of HIll House karya Shirley Jackson yang beliau sendiri mengaku men'curi' beberapa idea 'antara fantasi dan realiti seram' ciptaan Shirley, serta sejarah peribadinya terhadap ayahnya yang mabuk serta ibunya yang mendominasi hidupnya.
Perkara-perkara ini telah disulam dengan teliti, memberi sebuah novel alam luar biasa yang segar dan moden tentang sebuah hotel berhantu yang mahu menyedut roh kehidupan penghuninya supaya ia sendiri 'hidup'. Babak-babak akhir novel ini adalah babak yang paling berkesan apabila Jack, ayah Danny mula menggila dan cuba membunuh anak dan isterinya.
Sebuah novel yang berat dan mengambil masa untuk membahamnya. Tetapi tetap memberi kepuasan selepas membacanya.
No comments:
Post a Comment