Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Pulau Berukera: Sebuah Novel Klasik Melayu



Tajuk: Pulau Berukera

Oleh: Mohd Ismail Sarbini

Terbitan: DBP

Tahun: 1980


Sinopsis:

Budin, seorang budak yang tempang serta buruk mukanya, dicolek oleh sekumpulan berukera yang boleh bercakap ke sebuah tempat yang ajaib dan futuristik, Pulau Berukera, tempat idaman yang Budin ingin tinggal selama-lamanya. Sehinggakan, wajah Budin yang buruk dan kaki Budin yang tempang dapat dipulih oleh pakar di pulau itu. Tetapi, setiap keindahan memerlukan bayaran, dan Budin masih tidak tahu, apakah bayaran yang perlu dibayarnya kepada penduduk pulau itu.


Rasa:

Saya ingat lagi, sewaktu saya membaca novel ini, umur saya baru 8 1/2 tahun. Saya sudah terikat dengan novel kanak-kanak yang menarik ini. Unsur keajaiban (fantastisme) dan seramnya masih boleh memberi saya satu keinginan untuk membaca lagi hasil karya Allahyarham Ismail.


Apabila saya 10, saya menonton Planet of the Apes (1968), sebuah filem yang saya tahu, Ismail telah ambil dan membikinnya sebagai novelnya. Saya menjadi benci pada novel ini kerana 'peniruan' yang dilakukan oleh Ismail.


Tetapi, kali ini, apabila saya membacanya kembali, saya sedar betapa klasiknya novel ini, melebihi novel yang lebih popular, Terjebak di Terowong Katak hasil Othman Puteh.


Pulau Berukera adalah setengah fantasi dan setengah fiksyen sains, ia boleh dipanggil sebuah novel sci-fi kanak-kanak yang awal (pada zaman itu, kebanyakan novel fiksyen sains adalah untuk kanak-kanak, dan kebanyakannya mempunyai unsur sci-fi). Ia mempunyai unsur "tenggelam ke dalam lubang arnab" yang kita lihat dalam novel-novel fantasi kanak-kanak seperti Alice in Wonderland, Wizard of Oz, The Witch, Lion and the Wardrobe dan banyak lagi. Ia juga mempunyai penggarapan "pengalaman dalam dunia serba pelik dan baru" terhadap satu individu manusia dan bagaimana individu itu (di sini, Budin) berinteraksi dengan dunia serba baru ini, seperti novel A Brave New World, Planet of the Apes, 2001: A Space Oddysey dan The Time Machine.


Sebenarnya, Allahyarham Ismail telah mengambil sekelumit idea Pierre Boulle dan mencipta dunia fantasi futuristiknya yang tersendiri, di mana beruk seakan manusia setinggi kanak-kanak sepuluh tahun ini (sekurang-kurangnya mengikut purata ketinggian kanak-kanak Melayu) boleh bercakap, mempunyai peradaban dan kepintaran yang sebaik dan lebih baik daripada manusia.


Di situ sahaja persamaan Pulau Berukera dengan "La planète des singes" Boulle. Kerana apa yang dibawa oleh Ismail adalah lebih tempatan, dunia yang turut menakutkan dan mempunyai komentari sosialnya yang tersendiri.


Walaupun dalam beberapa tempat, novel ini seakan terlalu laju dan "childish" (berhubung dengan aprisiasinya), ia mempunyai roh yang agak memeranjatkan jika peneliti membawanya ke hadapan.


Ismail mungkin tidak sedar, bahawa beliau telah, dengan sendirinya mencipta satu satira besar tentang pergolakan peperangan dingin pada era 80-an, waktu novel ini tercipta di mana Malaysia terletak di tengah-tengah dua negara besar yang angkuh.


Budin, di dalam novel ini adalah simbolisme Melayu-Malaysia yang mundur, pesimistik terhadap masa hadapannya dan tiada hala tuju pada zaman itu. Apabila dia terjumpa Pulau Berukera ini, kita sedar, ia mungkin keinginan Ismail untuk memaparkan bagaimana satu-satu manusia itu yang diistilahkan sebagai Budin dapat diubah fizikalnya dan persoalan baru mendatang, bolehkah kita ubah identitinya?


Persoalan identiti di sini amat mencabar. Budin dalam novel ini, diubah menjadi anak yang fizikalnya sempurna sebagai manusia. Dia kemudiannya diubah lagi menjadi 'berukera', mempunyai bulu di seluruh badannya, tanpa kemahuannya. Dia dipengsankan lalu di"basuh minda" (brainwash) supaya menerima dirinya sebagai 'berukera' yang punya kesempurnaan yang lebih tinggi dari segi tamadun, ilmu dan adab.


Ismail sebenarnya sangat provokatif apabila membawa persoalan identiti ini kepada umum. Bolehkah seseorang manusia itu, diubah identitinya, baik dirinya, agamanya atau bangsanya semata-mata untuk membikinnya "bertamadun"? Persoalan "perbezaan kaum" dan "Asimilasi kaum" berlaku di sini, di mana Budin DIPAKSA untuk mengubah "bangsa"nya sebagai satu hibrid baru 'berukera'. "Kamu unik", kata seekor berukera kepadanya apabila dia mempersoalkan kelainannya daripada berukera-berukera yang lain.


Proses pembauran bangsa ini menarik, bukan sahaja menyentuh hala tuju Malaysia waktu itu dalam gegaran tarikan pengaruh komunisme dan pro-demokrasi, tetapi hala tuju Malaysia selepas 13 Mei dan persoalan keterbalikan asimilasi "Dasar Kebangsaan". Bolehkah Dasar Kebangsaan yang bercirikan "Melayu Islam" "disuap" ke dalam kaum-kaum bukan Melayu di Malaysia supaya perpaduan dapat dicipta dan kesatuan dapat dirasa?


Dunia sosial Pulau Berukera sangat menakutkan sebenarnya, kerana, dengan lebih mendalam, kita dapat tahu bahawa berukera-berukera ini adalah masyarakat yang 'berkomuniti' di bawah daulat maharajanya, dan realiti kekeluargaan (secara biologikal, melahirkan anak) tidak ada dalam dunia mereka. Mereka tinggal keseorangan, maka tidak hairanlah berukera seperti Titi dan Pak Yoyo mahu membunuh diri (dan ini ada dalam novel kanka-kanak!) kerana hidup keseorangan. Idea ini sangat dekat dengan kritikan kepada sosialisme tetapi sebenarnya juga tidak (kerana Pulau Berukera mempunyai seekor maharaja yang mutlak pemerintahannya). Malah, dengan lebih menakutkan apabila kita meneruskan pembacaan, Budin atau Budino setelah dia menjadi 'berukera hibrid baru' adalah 'kaum terbaharu' yang mahu diasimilasikan ke dalam dunia utopia Pulau Berukera ini, yang secara senyapnya sedang ke arah rapuh dan pecah kerana keterasingan yang dicipta oleh sistem pentadbirannya.


Pengasimilasian kaum atau identiti ini sangat efektif, sehingga Ismail memberi mesej bahawa, berukera-berukera ini berasa, mereka perlu membawa kesempurnaan tamadun dan peradaban ini kepada manusia yang lainnya. Idea yang sama yang diperlakukan oleh Amerika Syarikat serta USSR sewaktu pengaruh dua blok ini mencari pengaruh di dunia luar mereka.


Ismail bukan sahaja memberi persoalan itu untuk kita fikirkan, tetapi beliau memberi kita satu 'twist' apabila beliau membuka suatu rahsia: kehebatan saintifik ini telah dipelopori oleh seorang saintis manusia yang telah dicolek oleh berukera-berukera itu! Ini membikin novel ini menjadi sebuah novel paranoia yang pertama yang sehebat walaupun peringkatnya rendah, dalam mana-mana novel pasca perang dingin yang kita lihat berselerak di dunia barat.


AKhirnya, Ismail memberi beberapa "prophecy" yang tidak mungkin orang tidak terfikirkan waktu itu- pembedahan plastik. Budin yang cacat dan tempang diberi 'peluang kedua' oleh saintis berukera untuk menjadi 'sempurna'. Maka persoalan pembedahan plastik dan etikanya (walaupun, kalau kita lihat secara keMelayuan, kita sedar, idea ini diambil daripada idea manusia cacat seperti si Bongkok dalam Sumpah Orang Minyak diberi peluang oleh orang bunian menjadi sempurna, satu psyche yang hanya orang Melayu boleh memahaminya dan merasa, tidak salah jika diubah dalam bentuk saintifik dalam novel ini) dibawa ke hadapan, malah memberi satu persoalan besar: kalau kita menukar fizikal kita, adakah itu bermakna kita juga mengubah identiti kita?


Persoalan besar ini masih didebatkan pada zaman moden ini. Dan Ismail hanya membawa satu sisi di mana manusia, hanya mahu mengubah apa yang dia tidak mahu dan suka (Budin membenci dirinya yang tempang dan hodoh) secara fizikal, mereka tidak sanggup mengubah identiti mereka dan apa lagi roh dan fikiran mereka. Soalan ini sebenarnya menjawab persoalan ketamakan manusia secara individu, dan secara besarnya, manusia juga sentiasa tamak (walaupun di sini, komuniti besar yang mengasimilasi ialah berukera) untuk mengubah identiti sekumpulan minoriti atau negara yang lemah. Inilah kehebatan Pulau Berukera, sebuah novel sci-fi yang tampak kebudak-budakan, tetapi mempunyai dasar persoalan sosial dan pemikiran yang mengujakan.

1 comment:

IMAM MUHAMMAD JIBRIL AL-KHAIR said...

saya ada naskah novel ini... masih membacanya... hehhee