Tajuk: Arjuna Hati
Oleh: Norzailina Nordin
Terbitan: Alaf 21
Tahun: 2004
Sinopsis:
Novel ini bergerak dari abad ke-18 hingga abad ke-21 tentang sebuah keluarga yang ditemukan daripada dua benua yang berlainan oleh seorang lelaki bernama Shabudin. Shabudin secara tidak sengaja telah menaiki sebuah kapal dagang Eropah yang telah membawanya berlayar hingga ke tanah Inggeris. Di situ, dia telah bertukar identiti sebagai Dean, lalu bermulalah hidup Dean sebagai anak perantau di negeri asing lagi baru. Dean berkahwin dengan seorang Inggeris dan selepas itu kembali semula ke Tanah Melayu. Cerita ini tentang bagaimana generasi baru Shabudin, diwakili oleh Azahari meriwayat kembali kisah hidup moyangnya dengan kembali ke tanah Inggeris, mencari legasi Dean yang masih tinggal. Tanpa dia sedari, dia bukan sahaja mencari rahsia moyangnya, tetapi cinta yang tidak pernah dia sedar yang dia boleh temui.
Rasa:
Rasa:
Saya mengambil hanya dua hari untuk menghabiskan novel ini. Bukan kerana ia novel yang mudah tetapi kerana subjeknya segar dan pembawaan penulisnya yang tidak mahu berhenti membuat pembacanya tertanya-tanya apa yang akan berlaku selepas itu. Novel ini mungkin bukan suatu yang baru yang pernah dibikin oleh penulis kita daripada segi rekonstruksi sejarah (meletak Arena Wati, Jong Chian Lai serta Shaari Isa sebagai beberapa nama yang pernah melakukan perkara ini) tetapi suatu tema yang agak baru, bagaimana perbezaan dua dunia yang berbeza, khususnya Inggeris dan Melayu disatukan dan disampaikan dengan sangat menarik dan membuka mata.
Novel ini bolehlah saja dikategorikan sebagai antara novel 'alaf baru' kerana penggayaan yang mengikut 'trend' globalisasi yang sekarang dimulakan oleh Salman Rushdee, Tash Aw, dan Yann Martel, mencampur baur rasa timur dan barat dan mendekonstruksikannya dalam satu cerita ala penyiasatan yang menarik tentang pencarian jati diri dan identiti, walaupun dalam bentuk popular. Ini seharusnya dibanggakan oleh penulisnya.
Untuk babak-babak riwayat Shabudin, kita seakan benar-benar dibawa ke zaman 'kembali' sewaktu Shabudin dibawa balayar ke negeri asing dan belajar 'menjadi' orang asing. Membaca teks daripada bahagian novel ini mengingatkan kepada saya kepada novel-novel Thomas Hardy yang banyak membawa pembaca membuka sebuah perjalanan seorang watak era Victorian yang terpaksa melalui tragedi hidup yang tidak diinginkannya tetapi perlu dilaluinya, malah kecantikan yang dikecapi hanya seketika, malah atas pilihan yang dibuat melawan takdir ketentuan menyebabkannya merana seumur hidup. Mungkin watak-watak dalam novel Hardy lebih tragik akhirnya, tetapi inti 'siksa' itu dapat dicipta oleh penulis novel ini dengan baiknya. Malah, saya mengaku, babak-babak awal novel ini adalah babak-babak paling manis dan lain yang pernah saya baca daripada sebuah novel Melayu, bagaimana seorang Melayu belajar menjadi seorang yang 'asing' untuk tinggal di sebuah negara asing- sebagaimana global lagi yang anda perlu rasai?
Sebahagian lain novel ini pula dilanjutkan oleh cicit Shabudin itu iaitu Azahari yang cuba 'mengembali'kan kebenaran sejarah moyangnya. Di sini, penulis membawa kita menjelajah sebuah genre yang jauh lain daripada genre 'period-social drama' Shahbudin, sedikit semacam penyiasatan, soap opera, romantik dan sedikit gaya biasa novel-novel moden Arena Wati tentang penjelajahan. Bagi saya, pencampuran idea ini sangat bertepatan dengan gaya pos modensima yang penulis saya kira tidak sedar melakukan perkara ini. Beberapa bahagain bahagian kedua ini disimpul dan dikaitkan dengan baik dengan bahagian pertama novel daripada perspektif Shabudin (atau kita sedar pada bahagian kedua novel ini, jurnal-jurnal Shabudin).
Tiga perkara yang paling tampak dan diikat kemas oleh penulis adalah persoalan agama (Shabudin bercita-cita mengislamkan anak sulungnya, dan ini kita dapat lihat direalisasikan dengan hajat pembinaan masjid di tanah Spalding oleh Azahari), hak (bagaimana Shabudin kehilangan harta dan bagaimana Azahari mendapatkannya kembali) serta cinta dengan gadis Inggeris (Shabudin mencapai cinta tetapi berakhir dengan tragedi sedangkan Azahari tidak mencapai cinta itu). Kita sedar penulis seakan ingin memaparkan, bolehkah generasi baru memperbetulkan kepincangan/dosa/kedaifan generasi lama, dan dengan berani serta sedikit 'nasib baik', penulis ingin mengatakan, ya ia boleh berlaku. Malah, saya agak gementar dengan babak jika Azahari berakhir dengan Serena, gadis Inggeris itu. Secara 'subtle', perkara itu boleh berlaku tetapi disengajakan tidak berlaku oleh penulis untuk menghantar mesejnya bahawa orang Melayu perlu tahu jati diri mereka dan kekuatan identiti mereka, dan itu membentuk kebenaran mereka untuk wujud dalam dunia ini.
Tetapi bukan itu sahaja dibaurkan oleh penulis. Paling penting adalah pengertian adventur atau hidup itu sendiri di mana, dibayangkan oleh penulisnya, Shabudin serta Azahari perlu menjelajah 'dunia lain' (di sini, England) supaya dunia mereka menjadi lebih bermakna dan menguja, dan ia hanya akan berlaku jika mereka mencarinya. Satu idea penglobalisasian yang sangat murni dari segi kaca mata orang tempatan.
Pada bahagian kedua novel ini, waktu Azahari bercinta dengan Serena, agak tidak memuaskan hati saya, mungkin kerana ia terlalu 'simplisistic'- bagaiaman seorang gadis Inggeris boleh jatuh hati dengan seorang lelaki Melayu dengan 'begitu sahaja'. Kedua, bagaimana Serena yang hilang begitu sahaja dan meninggalkan Azahari begitu sahaja pada akhir cerita, ia sangat tidak dapat diterima (walaupun kita telah diberi klu oleh penulis beberapa kali kenapa Serena dan Azahari tidak sepatutnya bersama akhirnya). Kata-kata seperti Serena sudah mula menyukai Dominique tidak dapat saya tangkap kerana 'kesenangan' atau 'terjunan' jiwa Serena yang sangat laju. Mungkin Serena patut diberi lebih banyak ruang dan masa menceritakan kenapa dia menyintai Azahari dan kenapa dia meninggalkan Azahari begitu kalau benarlah ia menyintainya. Dan perlakuan Azahari yang dayus (adakah dia mahukan kedua-duanya? Polygamy anyone?) juga menyebabkan kita bersangsi pendirian Azahari sebenarnya. Saya juga agak tidak setuju dengan gaya pencintaan Azahari-Serena-Natrah yang berlaku dalam novel ini, agak biasa dan agak 'Mills and Boons', malah kalau dibandingkan dengan kisah cinta Shabudin, ia lebih nampak hidup dan bukan dibuat-buat seakan sebuah filem hindustan.
Tetapi itu adalah cacat-cacat kecil yang saya harus akur, sebagai sebuah novel popular, itu adalah resepinya. Sedangkan falsafah besar novel ini tetap utuh sehingga akhir cerita, iaitu manusia bernama Melayu, walaupun di mana mereka dicampak, mereka jadi orang juga akhirnya. Sebuah novel yang saya kira memang 'labour of love' penulisnya dan suatu yang sedikit berbeza daripada novel-novel popular di luar sana. Agak menarik dan berinti.
No comments:
Post a Comment