Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

1511H [Kombat] - Novel Yang Memberi Alasan Kukuh Kenapa Orang Bukan Islam Perlu Perangi Islam



Tajuk: 1511H [Kombat]
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2004


Sinopsis:

Muhammad Ameen Muhamad, seorang remaja istimewa. Dia punya makrifat yang sudah ditentukan Tuhan untuk mengepalai rombongan askar menangani Presiden Amerika Syarikat dan sekutunya iaitu Encik Nosirname. Jeneral Syarifah Nusaybah Syed Abdullah adalah sheikhah al-kutb, ketua tariqat(?) sufi serta kumpulan tentera remaja bawah tanah yang menentang kemaraan barat, Yahudi dan konco-konco syaitannya. Merek semua di bawah satu misi, satu misi yang dijanjikan oleh Tuhan untuk mereka, menyucikan kembali bumi Allah pada pengabdian Tuhan yang satu dan memerdekakan kembali tanah-tanah manusia yang sudah sekian lama disaluti syaitan, dan mereka tahu kali ini, kebenaran dan kejayaan akan berada di bahu mereka, walaupun bagaimana perit mereka terpaksa mencapainya.


Rasa:

Ini adalah sebuah novel yang ada ciri-ciri murni, dan juga ciri-ciri hitam penuh kebencian, ia merbahaya. Di dalamnya, Faisal Tehrani cuba memaparkan kembali idealisme oksidentalisme yang dieksperimen olehnya dengan berjaya di dalam 1515 (walaupun saya agak tidak suka dengan gaya sensasi watak-watak zaman moden serta bagaimana hitam dan putihnya watak-watak itu di dalam novel itu). Kali ini, Amerika Syarikat, Yahudi dan orang bukan Islam diserang, dan orang Islam 'yang benar' digemilangkan. Kali ini, fundementalis dan golongan yang dituduh 'teroris' mendapat suara dan golongan atas yang memerangi Islam akan dapat habuannya. Inilah semangat novel ini, membuak sesiapa yang membacanya untuk membuat pilihan, siapakah mata hati mereka berpihak dengan, yang benar atau yang batil?


Antara yang menarik tentang novel ini adalah, pencampuran firasat-firasat serta hadis Rasulullah s.a.w. ke dalam teks fiskyen yang memberitakan tentang perkara-perkara masa depan mengikut imaginasi dan analisa Tehrani sendiri. Ya, ini adalah novel yang membuak semangat setaraf ciri-ciri apokalips trilogi Amregeddon Arena Wati, tetapi lebih 'remaja' gayanya dan futuristik pendekatannya. Mungkin pembaca bukan Islam yang membacanya akan menganggap novel ini sebuah novel pos-apokalips yang menakutkan atau 'near-apocalypse'. Mungkin bagi orang Islam, ia adalah permintaan rohani kebencian yang sudah lama terpendam dan mahu diluahkan terhadap kerakusan Amerika dan sekutunya merendah-rendahkan bumi Arab.


Antara kekuatan Tehrani adalah membikin novel ini 'menjadi'- pendekatan istilah teknikal dan teknologinya, semangat orang Islam waktu itu, kegilaan orang jahat dalam novel ini, semuanya dinaik tarafkan untuk memaparkan satu perkara besar yang akan berlaku di antara entiti-entiti ini. Ia mungkin bukan fiksyen sains kerana ciri pertama fiksyen sains adalah memaparkan bagaimana suatu idea (baik semulajadi atau ciptaan manusia) dapat memberi reaksi 'manusia' terhadap manusia yang menghadapinya. Di dalam novel ini, segala ketinggian teknologi adalah "means" terhadap ideologi watak-watak utamanya. Maka novel ini menidakkan sains tetapi agama dan bagaimana agama dapat digunakan manusia di dalam pelbagai ciri seperti teknologi dan usaha hidup, dan paling penting, pengisian peperangan.


Lihat sahaja penggambaran Kaabah di dalam perenggan berikut:

Kaabah yang agam itu juga dikelilingi oleh tandu elektronik yang digerakkan menggunakan kuasa solar. Dari jauh kelihatan seperti kereta-kereta berwarna putih berterbangan mengitari Kaabah. Tandu-tandu tanpa pemandu itu adalah untuk mereka yang uzur dan tidak berkemampuan melakukan tawaf dengan berjalan. Atau mereka yang dalam keadaan bersegera. Tandu tersebut disediakan interkom dengan perakam suara yang mengulang-ulang doa tawaf, ayat suci al-Quran, selawat atau zikir lazim. Jemaah hanya perlu menekan butang tertentu.

(Tehrani, hlm. 166)


Maka ini sebuah novel idea bukan saintifik, malah ia lebih dekat kepada 'propoganda', iaitu menghantar satu mesej 'kebenaran yang hakiki' yang perlu diterima oleh semua orang. Sesiapa yang tidak, mungkin digelar kafir (seperti mana yang sudah dilakukan oleh Tehrani di dalam blognya, menuduh penulis sekular sebagai perosak sastera dan bahasa Melayu yang sebenar) atau tidak mendapat syafaat.


Apa yang menarik, inilah kali pertama kita dapat membaca sebuah novel yang menggunakan 'firasat keadaan masa depan' yang ada di dalam tradisi Islam kita dan digarap dalam bentuk fiksyen. Sebelum ini, 'prophetic theory' hanya pernah berlaku dalam beberapa novel Inggeris seperti Dune (paling dekat dengan sumber Islam), Cabal, The Satanic Verses, Prayer for Owen Meany, Rosemary's Baby dan beberapa novel lain. Idea ini sangat saya senangi kerana memberi nafas baru terhadap novel-novel biasa yang ada dalam pasaran. Yang saya agak terkejut, adalah caranya.


Satu lagi perkara adalah ketiadaan 'suara ghaib' di dalam novel ini. Memang ini perkara yang menarik dibuat oleh Tehrani. Perkara pertama adalah menaikkan seorang wanita (kita ketahui, segala sheikh, sultanul awliya', al-kutb, khalifah di dalam tradisi Islam adalah lelaki, dan jarang-jarang seorang wanita. Hanya Acheh Darussalam dan Patani yang pernah menerima wanita sebagai pemimpin dalam sejarah Islam silam) sebagai ketua, memaparkan jati diri kekuatan wanita (Islam tidak menahan lelaki atau wanita untuk gemilang), maka si perempuan ini bernama Nusyabahlah yang memaparkan kegemilangan teknologi dan idea yang menyatukan remaja Islam (dengan sufi, walaupun kita tidak diberitahu, mengikut tariqat apa, ini mungkin sufi ala Wahabi yang disarwajagatkan keadaannya seperti yang dilakukan oleh Hamka, tokoh Muhamadiyah/Wahabi terkenal di Sumatera) di bawahnya, memekarkan satu madaniah baru. Ini satu perkembangan dari novel 1515 Tehrani.


Maka kecilikan dan kebijaksanaan Nusaybah inilah, secara politikal dan duniawi yang membawa golongan 'kafiruun' melancarkan peperangan terhadapnya, maka dengan kepandaian saintifiknya bercampur kemahirannya dalam agama dan tasawuf, dia menentang. Menarik, Tehrani menidakkan 'mukjizat' yang terlalu (walaupun kita tahu, perkara ini agak batil, kerana orang Islam, kalau mereka benar-benar ditimpa penganiayaan yang Allah tidak redhai, seperti waktu bintang tiga mengganas dan tragedi 13 Mei yang kita dengar cerita tentang parang terbang, adalah sememangnya benar dan Allah memberi pertolongan ghaib kerana orang Islam dianiayai) dan memaparkan dengan kuasa sains dan teknologi, serta ilmu (dan secara tersirat, adab dan ukhwah), orang Islam boleh menandingi musuh mereka. Rasional inilah yang dimainkan oleh Tehrani untuk memupuk semangat oksidental, membuka mata remaja Islam untuk berdiri dan bergerak jaya ke arah kegemilangan.


Tetapi 'gerakan' apakah yang sebenar-benarnya yang mahu Tehrani suntik di dalam novel ini?
Saya pernah cuba menghabiskan buku ini tiga kali, dan tiga-tiga kali saya mencampak buku ini kerana merasa marah dan benci terhadap kata-kata benci dan 'ini saja yang benar' yang terterap di dalam novel ini. Kesalahan pertama Tehrani adalah, memperlakukan watak-watak utama dalam novel ini, watak-watak baik yang sepatutnya kita rasa simpati dan sayang, kepada watak-watak yang sangat satu dimensi, tidak punya perasaan, malah sangat robotik. Cara mereka bercakap, rasa dan berjuang, hati mereka seakan-akan sesejuk ais.


Malah saya boleh anggap setaraf Borg di dalam Star Trek TNG. Ini menakutkan kerana Tehrani seakan telah setuju dengan media barat dan mata orang barat apabila melakarkan watak-watak Islamnya sebagai 'cold','inhumane' dan zalim tanpa perasaan, seakan tidak berperikemanusiaan walaupun Tehrani dengan payah, cuba menunjukkan percakapan dan sifat watak-wataknya ini murni.


Lihat sahaja:

"Ini satu keadaan yang luar biasa, jeneral."Hajah Nusaybah senyum. "Pemuda-pemuda kita yang berani telah menyerang ibu pejabat armada ke-5 di Bahrain dan Kem Doha di Kuwait dibakar ramai-ramai. Di Qatar, ada pengebom berani mati menyeludup masuk. Amerika pula huru-hara. Demonstran berarak menuju ke pejabat-pejabat kerajaan. FBI dan CIA diserang dengan batu."

(Tehrani, hlm. 163)


Kebanyakan dialog Hajah Nusaybah dan Ameen serta konco-konconya berlegar seperti ini dalam 9/10 isi novel ini, tidak sezarah emosi dan ekspresi yang terkeluar, seakan memaparkan mereka satu mesin membunuh, mengingatkan saya terhadap kumpulan ajaran sesat "Assassins" (pembunuh) Nizari Ismaili pada zaman perang suci di mana mereka banyak membunuh pemimpin-pemimpin Islam waktu itu termasuk Nizam al-Mulk. Rekod-rekod teks tentang mereka menggambarkan perkara yang seakan sama dengan dialog-dialog Nuasybah dan konco-konconya.


Ini sangat berlainan dengan tulisan biografi Muhammad s.a.w. tulisan Martin Lings yang memaparkan, walaupun orang Islam ditahap getir dan kancah peperangan, suara mereka suara manusiawi yang halus sehingga saya menangis apabila membaca beberapa perenggan daripada buku itu. Malah, novel Dune yang ditulis oleh seorang 'Nasrani', James Herbert, yang mencampur adukkan tradisi kedatangan Imam Mahdi a.s. di dalam novel fiksyen sainsnya, telah melakarkan manusia-manusia benarnya yang 'manusia', walaupun golongan baiknya tetap putih dan yang jahat itu hitam.


Masalah kedua adalah, secara peribadi, saya sudah membaca pelbagai buku tentang kedatangan Imam Mahdi a.s., lebih-lebih lagi tulisan/ucapan Sheikh Nazim al-Haqqani, Sheikh Agung tariqat Naqshabandiah Aliyah. Apabila saya membaca kerja sheikh itu, satu kebenaran hakiki menyerap hati saya, satu rasa cinta yang tidak dapat saya bayangkan menusuk diri saya. Kata-katanya bukan sahaja tentang kengerian masa depan, tetapi harapan dan kemanusiaan. Tidak pernah ia 'membenci'. Perkara ini yang saya tidak temui di dalam novel ini, walaupun Hajah Nusaybah ini sepatutnya sheikhah sufi.


Inilah perbandingan jika seorang penulis yang tiada sentuhan 'sufi' mahu menulis seakan-akan dia faham tentang sufi (ramai pengkaji sastera dan sasterawan kita pun celaru tentang sufi, yang mereka rasa hanya tersimpan di dalam puisi-puisi sufi. Mereka lupa dua perkara penting di dalam sufi iaitu pemelajaran adab untuk penyucian hati yang paling penting untuk insan dan keduanya, kepentingan menyertai sebuah tariqat [jalan] untuk jalan menyuci itu- baru makna sebaga puisi-puisi sufi itu dapat mereka faham intinya, yang sememangnya berlapis-lapis dalamnya), maka kita dapat merasa satu telahan separuh masak tentang pengisian sufi, malah dapat dirasakan seolah mereka ini meneruskan surat-surat penulisan semacam golongan kaum muda yang penuh retorik berkobar-kobar (yang kebanyakannya memang tidak merujuk tradisi tauliah 'salasilah', sistem pemelajaran Islam sebenar yang turun-temurun) dan tidak pernah punya isi yang benar-benar menyentuh jiwa. Inilah masalahnya.


Dan ini ditunjuk dengan penuh bongkak dan tanpa silu oleh Tehrani dalam menegakkan idealoginya.


Malah paling menyeramkan, adalah keinginan Tehrani untuk menghalalkan 'pengebom berani mati', satu-satu sisi yang paling kontreversi dalam pemahaman fatwa Islam mutakhir.


Dalam retorik, Tehrani menyatakan:
"...Beritahu ana, apa pandangan enta tentang penyerang berani mati. Apa mereka syahid?"
Muhammad Ameen memandang tepat ke dalam mata Hajah Nusaybah. Matanya coklat bening.
"Komander, apakah remaja-remaja yang mengorbankan diri mereka itu matinya sia-sia? Benarkah satu-satunya cara untuk kita pertahankan diri ini dikira mati celaka? Apa ijtihad enta?" Hajah Nusaybah mendesak.
"Ana berpegang kepada al-Quran dan sirah Rasulullah s.a.w. Bukankah Habib al-Najjar dalam ayat 20 hingga 27 surah Yasin dibunuh kerana mempertahankan akidahnya? Bukankah remaja dalam surah al-Buruj pada kisah Ashabul Ukhdud sanggup mati untuk mengembangkan akidah sucinya? Ana berpegang kepada kisah Sayidina Umair bin al-Hammam yang menyerbu ke dalam barisan musuh dalam Perang Badar dan mati syahid lalu direstui Rasulullah s.a.w.

[..retorik berjalan..]
Hajah Nusaybah membulatkan mata. "Sungguh-sungguh entalah yang terpilih![...]
(Tehrani, hlm. 19-20)


Saya bukan seorang 'alim maka saya tidak akan memaparkan kebodohan saya. Jadi biar saya paparkan tulisan fatwa seorang sheikh dari Malaysia di UK, Sheikh Muhammad Afifi, yang telah menulis sebuah fatwa yang sangat jitu dan kena tentang pengebom berani mati, 'Defending The Transgressed by Censuring the Reckless Against the Killing of Civillians':


[In the name of God, the Merciful and Compassionate. Praise be to God Who sets the boundaries of war and does not love transgressors! Blessings and peace on the General of the Community, the most patient of men in the face of the harm of enemies, with perfect chivalry and complete manliness, and upon all his Family, Companions, and Army!]


This is a collection of masâ'il, entitled: Mudâfi' al-Mazlûm bi-Radd al-Muhâmil 'alâ Qitâl Man Lâ Yuqâtil [Defending the Transgressed, by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians], written in response to the fitna reeling this mercied Umma, day in and day out, which is partly caused by those who, wilfully or not, misunderstand the legal discussions of the chapter on warfare outside its proper contexts (of which the technical fiqh terminology varies with bâb: siyar, jihâd, or qitâl), which have been used by them to justify their wrong actions. May Allâh open our eyes to the true meaning [haqîqa] of sabr and to the fact that only through it can we successfully endure the struggles we face in this dunyâ, especially during our darkest hours; for indeed He is with those who patiently endure tribulations!


There is no khilâf that all the Shafi'i fuqahâ' of today and other Sunni specialists in the Sacred Law from the Far East to the Middle East reject outright [mardûd] the above opinion and consider it not only an anomaly [shâdhdh] and very weak [wâhin] but also completely wrong [bâtil] and a misguided innovation [bid'a dalâla]: the 'amal cannot at all be adopted by any mukallaf. It is regrettable too that the above was written in a legal style at which any doctor of the Law should be horrified and appalled (since it is an immature yet persuasive attempt to mask a misguided personal opinion with authority from fiqh, and an effort to hijack our Law by invoking one of the many qadâya of this bâb while recklessly neglecting others).


It should serve to remind the students of fiqh of the importance of the forming in one's mind and being aware throughout of the thawâbit and the dawâbit when reading a furû' text, in order to ensure that those principal rules have not been breached in any given legal case.


The above opinion is problematic in three legal particulars [fusûl]:
(1) the target [maqtûl]: without doubt, civilians;
(2) the authority for carrying out the killing [âmir al-qitâl]: as no Muslim authority has declared war, or if there has been such a declaration there is at the time a ceasefire [hudna]; and
(3) the way in which the killing is carried out [maqtûl bih]: since it is either harâm and is also cursed as it is suicide [qâtil nafsah], or at the very least doubtful [shubuhât] in a way such that it must be avoided by those who are religiously scrupulous [wara'].


Any sane Muslim who would believe otherwise and think the above to be not a crime [jinâya] would be both reckless [muhmil] and deluded [maghrûr]. Instead, whether he realizes it or not, by doing so he would be hijacking rules from our Law which are meant for the conventional (or authorized) army of a Muslim state and addressed to those with authority over it (such as the executive leaders, the military commanders and so forth), but not to individuals who are not connected to the military or those without the political authority of the state [dawla].


The result in Islamic jurisprudence is: if a Muslim carries out such an attack voluntarily, he becomes a murderer and not a martyr or a hero, and he will be punished for that in the Next World.


(Afifi, hlm. 18-19. Huraian seterusnya diberi dalam sangat mendalam tentang hukum peperagan Islam menerusi fiqh dan hukum jihad. Buku ini boleh didapatkan di Kinokuniya KLCC di bahagian Islam).


Bukan itu sahaja keberanian (dan ketidakteliti) Faisal, malah dia juga telah melakarkan, secara tersirat (digambarkan atau difikirkan oleh watak-watak jahat dalam novelnya) kata-kata 'bigot' yang boleh memecah-belah ummah apabila membacanya, secara tersirat menyindir dan mempersenda orang-orang barat dan agama mereka.


Dengan gaya bahasanya, dia, secara tersirat, membunyikan kebencian dan perkauman:
"...Si kafir tidur. Lena, panjang, dalam, dan dia didatangi teman seperti biasa. Dalam dunia terasing dia ditemani syaitan tentunya. Syaitan menyerupai Paus Bonifacius dan dia fikir dirinya ialah Putera Sigmund dari Hungary. Dia duduk di sisi paus yang bertopi tinggi serta berjubah hitam, dengan salib emas tergantung di dada. Paus membelai pundaknya dan bersuara."Kita mesti hapuskan Muhammad kerana hanya al-Masih yang benar."

(Tehrani, hlm. 25)


...Sedangkan dia tidak percayakan syurga. Baginya, gereja institusi bodoh. Bagaimana kuasa mengampunkan dosa boleh diberi kepada seorang paderi yang pernah mencabul kehormatan kanak-kanak bawah umur?

(Tehrani, hlm. 100)


Terngiang seru ibunya dalam esak berhingus, "Jangan kau mati, Arthur. Kalau kau mati, kau mati kerana Israel, dan kita tidak ada kena-mengena dengan Israel. Ini semua kerana presiden gila tu. Aku tak mengundi dia untuk membela kepentingan Yahudi."

(Tehrani, hlm. 105. Lihat, "Yahudi" digunakan, bukan "Zionis")


"Serahkan kepada Britain emas 280 kilogram yang menjadi pintu Kaabah. Kita leburkan dan pakaikan kepada Raja dan Ratu England dari kepala ke kaki." Perdana Menteri Britain ketawa terkekeh-kekeh. "Alangkah baik kalau Diana hidup dan lihat semua ini."

(Tehrani, hlm. 112. Kesian, Puteri Diana yang sudah meninggal pun terkena.)


Tulisan-tulisan di atas, walaupun tujuannya adalah untuk menyindir, dibuat dalam bentuk dna gaya yang sangat 'bad taste'. Tehrani sungguh licik kerana semua 'gambaran' di atas diucap dan difikirkan oleh 'kafiruun', 'watak jahat' dalam novel ini untuk memaparkan bagaimana orang bukan Islam yang 'baik' tentu akan memilih pihak Hajah Nusaybah dan perjuangannya. Inilah 'hitam' 'putih' Tehrani yang tidak memberi ruang sekelumit pun untuk 'suara' lain membawa toleransinya. Dan kerana ini, kerana 'liberal'nya hati panel-panel Hadiah Utusan, mereka terlepas pandang segala ini hanya kerana novel ini tertebal dan paling 'lain' daripada yang lain pada tahun itu. Malah, KDN juga terlepas pandang, menghalalkan buku ini kalau dibandingkan dengan Midnight Children Salman Rushdee.


Novel ini adalah contoh, bagaimana orang barat, orientalis dan musuh Islam akhirnya berjaya dengan senjata mereka iaitu menyiarkan kebobrokan budaya Islam dan mengagungkan budaya 'bertamadun' mereka. Ini adalah kerana, segala 'semangat' dan idea dalam novel ini yang semahu-mahunya memaparkan 'kembali pada kesucian Islam' sebenarnya menjelaskan lagi kenapa Islam itu perlu dihentam, tidak perlu diberi simpati dan ditahan dari berkembang, menyetujui pendapat orang barat bahawa Islam dan pegangan yang dibawanya adalah satu agama peperangan, penuh dendam, berdarah dan tidak berperikemanusiaan terhadap apa-apa yang melata di bumi selain mereka yang 'suci' dan 'benar'.

4 comments:

Anonymous said...

Salam. Hairan juga ya tak ada peminat beliau yang datang berbondong-bondong (meminjam istilah yang sering FT guna) membela novel ini atau memarahi anda. Saya agak setuju dengan pendapat anda (sebetulnya saya "bias" terhadap beliau setelah terkejut melihat "wajah" sebenarnya dalam blognya), novel ini agak "bercanggah" dengan ideologinya yang (menurut fahaman saya melalui blognya) lebih universal. Beliau amat tidak menyukai Wahhabi, namun nampak gayanya melalui novel ini tergambar ideologi yang mirip seperti ideologi Wahhabi yang dibencinya itu. Saya sebetulnya ada novel ini di rumah, belum membacanya lagi, tapi rasanya saya tak akan membaca novel ini dan apa saja karya beliau. Saya takut minda saya bertambah keliru... :D

fadz said...

saladin, marhaban... saya pun tak setuju dengan wahabbi. Mungkin FT sedang melalui fasa, saya tak tahu, tapi mmg buku ini antara bukunya yang saya tidak suka secara peribadi.

Anonymous said...

Salam saudara..

Mengapa perlu dikritik sedang itu hanya novel.. sepatutnya saudara kritik ahli politik barat yg terang2 menghina Islam, kartunis2 barat yg terang2 menghina Islam..

fadz said...

Sdr. Anon, saya lihat dan baiki diri saya dahulu, masalah kalangan saya dahulu, kalangan umat saya dahulu sebelum saya mengkritik buruk kotor orang luar. Memberi api kepada api (menghina si penghina Islam) tidak akan menyelesaikan masalah, kecuali jika sdr. Anon memang pengikut modenis revolusioner kalangan Khomeini atau Juhayman Utaybi. Terpulanglah. Saya sendiri ini masih lemah dan memerlukan bimbingan.