Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Terminal Tiga



Judul: Terminal Tiga

Oleh: Othman Puteh

Terbitan: Dewan Bahasa & Pustaka

Tahun: 1997


Sinopsis:

Bukan, ini bukan buku yang memperkatakan tentang komunitas susastera Indoneisa- Terminal Tiga yang hangat diperkatakan oleh saudara sastera Indonesia kita waktu ini.


Novel ini adalah novel (terakhir) Allahyarham Othman Puteh yang menceritakan perjalanan dan hentian perjalanan seorang pemuda Sabah, dari Sabah ke Terminal Tiga Subang (yang kini sudah tidak ada) ke Kuala Lumpur ke kampung pedalamannya. Penceritaan dibuat dengan teknik 'stream of consciousness' yang terkenal dibuat oleh Virignia Woolf dan James Joyce. Dan ini sebuah novel remaja!


Dalam imbauan dan angau-angau pemuda ini, kita diperkenalkan dengan beberapa watak, terutamanya dua gadis; Azlina di Kuala Lumpur dan Ruzaini di Sabah, masing-masing menghantui pemuda itu dengan konflik dan sejarah mereka, mengecam pemuda itu hingga ke akhir imbauannya.


Rasa:

Othman Puteh terkenal dengan cerpen-cerpen eksperimentalnya yang agak baik, serta seorang penulis novel kanak-kanak yang terkenal. Novel "Terjebak di Terowong Katak" adalah antara buku kegemaran kanak-kanak dan buku fantasi sains atau sci-fi yang paling diingati oleh kanak-kanak Malaysia sehingga sekarang. Tetapi novel-novel dewasanya (hanya dua saya kira) tidak mendapat ulasan meluas dan kini tidak lagi diterbitkan.


Novel ini adalah antara novel remaja terkenal ditulis oleh Othman Puteh, di mana asasnya ia ditulis untuk memenuhi ruang novel bersiri di dalam majalah Dewan Siswa terbitan DBP. Ia dibukukan (dengan kulit muka yang sangat tidak kreatif) dan diterbitkan pada 1997, sudah diulang cetak beberapa kali. Novel ini juga menjadi novel KOMSAS tingkatan empat, dikaji oleh pelajar KBSM untuk lulus ujian Bahasa Melayu.


Novel ini ada falsafahnya, ada ceritanya. Ia cuba bertolak dengan idea perpindahan, atau penghijrahan yang berlaku terhadap semua manusia. Perpindahan ini dikupas dalam tiga bentuk: perpindahan dalam menimba ilmu, di mana seorang manusia perlu 'berpindah' daripada segi jati diri, semangat dan fizikal untuk memperluaskan ilmu dan pengalaman mereka untuk kemajuan, perpindahan untuk mendapatkan kegemilangan (glory), yang mana ia boleh disamakan dengan penghijrahan kaum Islam dari Mekkah ke Madinah untuk mencapai kegemilangan, dan akhirnya perpindahan untuk meninggalkan dan mencari kembali cerita-cerita, kisah-kisah dan pengalaman-pengalaman manusia yang sentiasa berkait antara satu sama lain.


Itu adalah skop penceritaan 'berpindah' dalam Terminal Tiga, di mana Othman mahu tunjukkan, waktu seseorang terhenti di persimpangan (simbol si pemuda terbengkalai di terminal menunggu penerbangan), berlakulah munajat diri (ingat Munajat di Perkebungan?), muhasabah diri dan angau-angau seorang manusia tentang masa silamnya, pilihan yang dibuatnya sekarang dan masa-sama depannya.


Premis ini sudah cukup menarik untuk sebuah novel 'remaja', malah dikatakan membawa perbaharuaan dalam pembikinan novel remaja, atau sastera remaja. Tetapi, dengan cara 'samar-samar' Othman, novel ini hanya sebuah novel entah ke mana-mana dan tidak membawa kepuasan yang sepatutnya dalam memeperkatakan tentang hidup manusia yang perlu berpindah dan tidak boleh duduk pada satu titik saja di dalam hidup. Othman sendiri, dengan angkuh mengkritik dirinya sendiri di dalam novel ini apabila beliau mengulas tentang novelnya sendiri tanpa sedar, iaitu:


"Bahasanya, okey! Tapi kental sangat unsur didaktiknya. Agak formal dan emosional."(hlm. 143)


Sememangnya ini sebuah novel yang kacau. Terlalu banyak perkara yang di awang-awangan dalam novel ini. Terminal Tiga semacam mahu menunjuk pandai, tapi akhirnya, seperti keadaan jerebu yang berlaku setiap dua bab novel ini, berjerebulah pembaca untuk menikmati watak-watak dan cerita yang terlalu jerebu.


Kesungguhan kita untuk turun dan menikmati rasa dan bicara pemuda ini serta watak Azlina dan Ruzaini terhenti kerana cara Othman melukiskan wataknya, sangat 'detached', malah kadang-kadang syok sendiri (Faisal Tehrani banyak menggunapakai cara ini dalam watak moden 1515nya dan Kombat 1511), mungkin memaparkan perasaan syok sendiri Othman dalam ingin menceritakan pengalaman hal-hal peribadinya bila pergi balik dari KL ke Sabah pada waktu itu. Tidak ada satu watak yang menarik, malah semua watak-wataknya bersyarah.


Hanya simpati dan sentuhan dapat dirasa dalam konflik watak ibu pemuda dan Ruzaini yang memilih untuk mengikut kumpulan ajaran 'Tabligh'. Logik tiadanya peleraian tentang konflik dan harapan mereka, walaupun samar-samar dan tidak memberi kepuasan, tetap memberi impak dan makna terhadap pemuda yang meneliti 'wanita-wanita' ini yang mengelilinginya.


Novel ini bercita-cita besar, mahu memperjelaskan satu perjalanan yang mana, dalam dunia serba global ini, manusia perlu berpindah-randah- fizikal, rohani dan mental. Tetapi, dengan cara novel ini dibuat, dengan garapan yang terburu-buru untuk menceritakan dua tiga cerita dalam satu masa (hanya Hujan Pagi karya A. Samad Said sahaja bagi saya yang berjaya menggarap teknik ini dengan berkesan setakat ini), novel ini tidak mencipta imbauan terhadap pembaca untuk meneliti perkembangan diri sendiri tetapi mengimbau ketidaktentuan Othman dalam memilih Azlina atau Rauzani sebagai watak yang perlu dan penting kepada pemuda dalam novel ini.

3 comments:

Anonymous said...

menurut tafsiran kamu itu,
mengapa kamu berkata bahawa novel ini hanya menceritakan tentang othman hanya memilih azlina ataupun ruzaini sebagai watak penting? jelaskan. saya tidak faham

Anonymous said...

please do reply my comments in ur own page =]
ill be waiting for ur reason.
-azie, student, 6teen-

fadz said...

ada dua jawapan buat persoalan azie, satu jawapan saya tidak boleh beri kerana ia bersifat peribadi dan berkenaan dengan sejarah latar belakang Othman Puteh sendiri waktu itu. Jawapan kedua ialah, kerana simbol dua wanita itu adalah 'harapan' yang ingin dikecapi oleh protagonis AKU. Lihat begini, AKU dalam keadaan 'stagnant' atau 'limbo'. Destinasi hidupnya antara mencapai pengharapan di Sabah atau di Kuala Lumpur. Ideanya ialah, untuk pembaca membuat intepretasi sendiri, ke manakah isi hati sebenar AKU akan sampai, di pangkuan Azlina atau Ruzaini. AKU memaparkan (walaupun saya cuba mengingat kalau saya tidak salah, AKU lebih banyak berbicara tentang Ruzaini daripada Azlina) kisah kedua-dua manusia yang 'dicita-citakan AKU' ini se manusia mungkin. Dari 'syarahan' dan luahan isi Azlina atau Ruzalini, kita, pembaca, menjadi AKU untuk memilih. Ini berlaku pada akhir cerita apabila AKU 'sedar' dan optimis dengan masa hadapannya. Tetapi kalau pembaca membacanya dengan kritis, AKU sebenarnya memilih kedua-dua(!) wanita itu sebagai cita-cita dan pengharapannya. Pandangan Othman ialah, setiap manusia itu mempunyai taruhan kemanusiaan mereka sendiri, dna itu membuat mereka manusia, dan itu yang membuat kita memilih untuk bersama mereka.

Hmm, saya tahu jawapan saya agak berfalsafah, tetapi harap-harap awak dapat tangkap idea saya.