Judul: Begitu Indah
Oleh: Nazim Masnawi (Grafik oleh Totoro)
Terbitan: Gempak
Tahun: 2006
Sinopsis:
Novel grafik ini adalah novel sulung Nazim Masnawi, dikumpul daripada episod-episod keluaran di dalam majalah GempakStarz. Ia berkisar tentang cinta dan pengalaman hidup seorang lelaki bernama Ari dan orang-orang yang mengelilinginya waktu itu- Tyo, Qistina, Liza, Nik dan lain-lain. Ari mengalami perasaan pengkahiran, tetapi tidak diketahuinya atau sengaja tidak dihiraunya, itu adalah satu permulaan. Maka persoalan mencari impian, harapan, kesenangan, ketenangan, kemenangan, dan cinta- perasaan-perasaan lazim yang diingini manusia melingkari Ari, menghentaknya untuk memberi jawapan pada apa itu sebenarnya keperluan hidup bila berdepan dengan pengakhiran dan kesedihan, mencari keindahan dalam asam garam kehidupan.
Rasa:
Ini adalah sebuah hasil kerja yang tidak disangka-sangka, memberi impak kepada pembaca pada saat akhir. Pada saat awal membaca novel grafik ini, saya agak runsing kerana tulisannya yang sangat kecil sekecil semut serta permulaan yang agak lambat. Ya, pada mulanya, saya berkata pada diri saya, karya ini hanya sebuah lagi cerita cinta picisan di pasaran sastera Melayu. Tetapi anggapan itu mula berubah apabila saya memasuki bab keempat. Watak dalam bab ini yang berkait dengan Ari, protoganis karya ini, mungkin tampak 'meloncat masuk' ke dalam pegolahan watak-watak karya ini, tetapi sebenarnya tidak. Bab inilah yang memulakan satu perkembangan indah dan kita mula melihat watak Ari hidup, malah pandai dalam memahami kehidupan.
Nazim si penulisnya, seakan menyimpan segala kejutan dan keindahan terbaik dengan mengantar dulu pecisan-pecisan cerita biasa, lalu apabila segala subjeknya sudah ditanam dengan teliti, subjek-subjek itu terus bertunas lalu mengelopak pada satu klimaks yang sangat mengindahkan.
Bab-bab seterusnya merupakan cerita yang boleh dikatakan mempunyai cerita tersendiri yang memberi keinginan untuk pembaca ingin tahu lagi dan lagi tentang Ari dan manusia yang mengelilinginya. Cara Nazim menggambarkan perkara-perkara yang begitu tragik dan siksa dalam kehidupan, dilakarkan dengan penuh indah dan haru. Malah, permainan sub-plot Nik dan Encik Noh adalah yang paling menarik, malah diikat cantik hingga ke akhir.
Paling menarik, ini adalah pertama kali saya melihat seorang karyawan muda yang berjaya merealisasikan idea pascamodenisme gaya popular (selain beberapa penulis muda yang baru) dalam sebuah novel grafik- mencantumkan ketinggian estetika sastera berserta perkara-perkara pop dan picisan lalu mempamerkan satu suara yang tersendiri, menjadikan novel grafik ini sebuah novel grafik pos moden pertama Malaysia. Kejayaan Nazim dalam mengguna pelbagai bentuk budaya popular dan seni luar (baik Jepun, Inggeris, Korea dan lain-lain. Tajuk "Begitu Indah" sendiri diambil daripada nama lagu kumpulan rock Indonesia, Padi), menghasilkan sebuah novel grafik yang mengeluarkan unsur-unsur falsafah yang mendalam, walaupun cara penyusunan dan persembahannya adalah keremajaan dan senang dibaca.
Ini dirasai daripada perkembangan watak Ari yang sedar akan pengakhirannya yang menggangggunya tetapi akhirnya memerdekakannya untuk mencapai satu keinginan dan impian baru tentang hidup dan erti untuk hidup- satu sifat eksistensialis yang jarang-jarang disentuh oleh penulis kita. Malah klimaks grafik novel ini, walaupun tentu ramai pembaca yang mungkin tidak faham dan marah akan keinginan Ari, akan tahu kebenaran rasionalisasi Ari ini, walaupun ia tampak perit dan menakutkan. Ia satu lara yang sangat indah diluahkan oleh Nazim.
Cerita Nazim ini ditolong oleh ilustrasi cantik dan memikat oleh Totoro, walaupun ia lebih berbentuk Manga. Cara dan gaya Totoro telah memberi satu keindahan dalam cerita Nazim, yang boleh sahaja disiarkan dalam bentuk kemurungan tetapi telah diperindahkan dengan warna dan ton pilihan Totoro. Sisi-sisi yang kelam dan gelap dalam ceritanya telah diwarnakan dengan warna merah dan kuning. Dan inilah kebaikan novel grafik ini, ia tidak memaksa pembaca menangis dengan teknik melodrama keterlaluan tetapi memberi mereka masa untuk menyayangi wataknya dan falsafah mereka tentang hidup. Ini tampak efektif dalam watak Seth di dalam bab empat, yang juga turut memberi kesan terhadap Ari dalma mengerti kehidupan.
Nazim Masnawi adalah seorang penulis muda. Tetapi melihat daripada hasil kerjanya ini, saya boleh lihat, satu kemampuan yang luas dan jauh boleh memancar hasil-hasil kerjanya yang berikut. Ini adalah kerana, walaupun Begitu Indah banyak mempamerkan pengisian tidak berjawab, cerita yang pendek untuk dilabelkan sebagai agung, dan beberapa garapan penulis dalam bab-bab awal tmapak mengelirukan dan absurd, Nazim telah berjaya melakarkan satu keindahan hidup manusia akhirnya. Dan itulah yang penting.
No comments:
Post a Comment