Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Ilham Di Tepi Tasik



Judul: Ilham Di Tepi Tasik (Edisi Seni Warisan Melaka)

Oleh: A. Samad Said

Terbitan: Wira Bukit

Tahun: 2006



Sinopsis:

Buku ini menghimpunkan koleksi esei terpilih Pak Samad yang tekun menyoroti aneka ragam dan sudut seni yang menyerlahkan keindahan dan misteri kehidupan seniman; menyerlahkan wajah dan hati sasterawan-sasterawan terpenting Cina dan Arab; mengamati sumbangan penulis-penulis penting tanah air, di samping menampilkan kisah-kisah tamsilan yang memujuk dan mengilhamkan.

(Diambil daripada sinopsis kulit 'Ilham Di Tepi Tasik')



Rasa:

Pak Samad mungkin tidak suka, tetapi biarlah beliau tahu. Wajahnya sudah sinonim dengan ikon susastera Melayu. Malah beliau adalah 'bintang' sasterawan- tidak ada para sasterawan yang lebih terkenal daripada beliau. Rambut dan janggutnya sudah jadi 'tandatangan', selagu dengan apa yang kita mahu daripada sastera kita (yang sepatutnya pelbagai). Malah selalu saja diundang sana dan sini seperti artis, selalu saja menyinarkan karismanya.


Kalau saya tanya orang lalu-lalang, novel 'sastera' Melayu apa yang mereka pernah baca, mereka terus menjawab, "Salina!", semacam itu saja novel sastera Melayu yang ada dalam pasaran (malah, memang dibuat kajian, novel itu adalah novel terlaris sepanjang zaman di Malaysia, mengalahkan Ranjau Sepanjang Zaman, dan novel itu adalah novel paling terpengaruh. Kebanyakan penulis pop dan citra, terutamanya wanita dipengaruhi oleh novel Pak Samad yang satu ini). Maka, Pak Samad memang seorang 'wira sastera' yang masih mempengaruhi nadi dan bentuk susastera kita sehingga sekarang.


Buku ini sebenarnya saya beli untuk cik Fadilah Bandar Baru Bangi yang mengikuti kempen saya "1 Buku Seorang 1". Maafkan saya Fadilah, saya nak baca dulu buku ni sebelum saya hantar ke peti pos awak. Bila saya membacanya (dan kerana itu cik Fadilah kena sabar ya), saya tergamam dan seronok, terkesima dan bertafakur, Pak Samad ini masih indah dengan kata-katanya, masih tajam dengan bidas bidalannya, masih menyentuh dengan lontaran hatinya (walaupun penuh dengan ejaan salah di sana sini). Ini mungkin bukan buku penting abad ini dalam sastera kita tetapi tetap mutakhir dan perlu dalam perbincangan isu-isu sastera kita yang saya tahu, meligkari Pak Samad sewaktu beliau berjalan-jalan di bas, elarti dan kedai buku.


Malah saya sedikit tergamam, bagaimana kritisnya Pak Samad memerhati perkara-perkara di sekelilingnya, daripada orang hingga ke buku (malah saya teringat William S. Burrough memataforakan penulis ini sebagai agen perisik yang tidak bermaruah kerana meneliti tingkah hidup orang lain. Maka Pak Samad seorang perisik yang sangat handal dan 'cool'), semuanya diteliti dan ditulis. Saya teringat suatu masa, saya berjalan dengan rakan saya, Kekure, di Kinokuniya KLCC, sambil membelek buku-buku "Gem of the Month" dan terjumpa novel mendiang Phillip K. Dick, 'A Scanner Darkly' di mana Kekure (yang memang takut dengan sastera Melayu kerana bahasanya yang berputar-belit baginya) mengatakan, ia tentang pengambilan dadah. Saya terus-terang pada Kekure, "beribu tahun kita tunggu, buku macam ni takkan ada ditulis orang kita" dengan nada sinis. Waktu itu, Pak Samad melintas, lalu merenung (saya kira) dengan serius sekali pada kami. Saya terfikir, apalah yang Pak Samad akan katakan pada 'orang muda sekarang yang pasca moden tanpa adab dan suka budaya luar' yang diperhatinya malam itu.


Himpunan esei Pak Samad menarik, dan ada juga kupasan retorik (atau santai hatinya) yang saya agak tidak setuju, tetapi itu perkara lain. Apa yang penting, buku ini membicarakan pelbagai perkara, dari sudut duniawi, peribadi hingga ke rohani. Paling tajam adalah penyataan-penyataan Pak Samad yang kritis dalam membincangkan tentang karya-karyanya dan karya penulis tempatan lain, hingga boleh mengaitkan idea-idea buku-buku ini dalam pemikiran dan kewujudan yang sama sekali tidak kita sedari wujud, mendapat peristilahan dan intepretasi baru, sehingga membentuk hidup dan nyawa tersendiri pada buku-buku itu.


Malah paling saya bangga adalah pemberian buah fikiran Pak Samad yang sama rata tentang susastera luar negara dan susastera kita, dikupas dan dikisah dengan penuh kebiasaan dan cinta, tanpa ada apa-apa prejudis dan sangka. Inilah keinginan dwibahasa dan dwipihak yang saya katakan yang perlu dipupuk dalam budaya pembaca kita sekarang (yang tidak terfokus pada satu bahasa atau bentuk sahaja). Maka dengan adanya buku ini, secara separa sedar, Pak Samad mengajak para pembacanya untuk mengenali dan menyusuri keindahan kedua-dua susastera ini, tanpa meninggalkan yang mana-mana.


Buku ini sudah tentu dibikin untuk peminat Pak Samad, tetapi ia juga perlu berada di dalam tangan-tangan orang yang mahu mengenali Pak Samad, juga pada pecinta atau pengkaji mana-mana sastera, dan buku. Ilham Di Tepi Tasik mungkin daapt membuka persepsi seluas tasik, merenung keperluan kita dalam mengisi, pencarian kesusasteraan, seni dan keindahan hidup dan untuk hidup di dunia ini.

No comments: