Judul: History of Thai Literature
Oleh: M. N. Manich Jumsai
Terbitan: Chalermnit
Tahun: 2000
Sinopsis:
Sinopsis:
Buku berhalaman 188 ini membawa satu pengenalan ringkas tentang sejarah pembentukan dan pembinaan sastera atau susastera Thai dan penulis-penulisnya.
Rasa:
Rasa:
Sebagai sebuah buku akademik dan ditulis oleh seorang ilmuwan susastera Thai berijazah Cambridge, saya amat terkejut akan 'kecil', 'santai' dan 'mudah'nya buku ini dibikin. Buku ini sudah lama dan diulang cetak dan diperkemaskini untuk tahun 2000, tetapi ia tidak sekritis, mendalam dan menarik buku-buku sejarah kesusasteraan Melayu-Indonesia moden yang ditulis oleh A. Teeuw. Ia hanya bercakap tentang sejarah sastera Thai di dasarnya sahaja, seakan sebuah buku yang digunakan sebagai buku teks sekolah yang perlu dihafal oleh anak-anak murid untuk lulus periksa.
Namun, buku ini dengan senang dan ringkas telah merangkum segala-gala keinginan yang kita mahu tahu tentang kesusasteraan Thai dan keadaan hidup-matinya dalam persada dunia global sekarang (walaupun disentuh dengan ringkas). Memang, ini adalah kerja nasionalis, menanamkan keindahan dan keterujaan susastera Thai pada mata dunia (SEA WRITE AWARD dipanggil SEATO di sana) dengan menampakkan yang indah sahaja tanpa memaparkan secara kritis apa, kenapa dan mengapa susastera Thai itu hebat, malah mungkin lebih hebat daripada susastera kita. Secara ringkas, bila membelek buku ini, saya dapati, susastera kita dan Indonesia jauh lebih hidup dan maju, walaupun ini secara lintas saya membandinginya dengan susastera Thai.
Apa yang saya lihat dibuat oleh Manich Jumsai dalam buku ini adalah, kerana ia diterjemah dalam Inggeris, susastera Thai menampakkan nasib baiknya kerana; keluarga raja sendiri yang membawa pembangunan kesusasteraan pada rakyat dengan keluarga raja menggunapakai nama samaran (seorang raja tidak boleh mencemar duli mereka dengan menulis untuk rakyat, maka nama pena dipakai) untuk menulis kepada massa, maharaja-maharaja Siam yang cuba membawa perbaharuan dalam kesusasteraan Thai kepada rakyat dengan mencipta penggunaan bahasa rasmi umum untuk pemakaian semua rakyat dan membawa masuk teknologi pencetakan dan sastera-sastera luar (keluarga raja Thai masih mendapat tempat sebagai manusia paling dihormati di tanah Thai, maka apa saja yang mereka lakukan adalah untuk memberkati rakyatnya.
Perkara ini tidak lagi berlaku di Malaysia apabila kebanyakan orang kita tahu mengumpat dan mengutuk institusi raja kita tanpa melihat apa institusi raja ini sudah sumbangkan terhadap kesusasteraan dan budaya kita, seperti yang dilakukan oleh Sultan Terengganu zaman dahulu dalam menaikkan kebudayaan tarian istana, penghasilan kitab agama dan hikayat yang berharga dan berbagai lagi sumbangan institusi raja kita terhadap kesusasteraan Melayu), sastera klasik Thai diajar kepada pelajar sejak sekolah rendah lagi untuk menyayangi kesusasteraan Thai, terdapat novel-novel baik yang dijual dengan harga sangat murah untuk pembacaan rakyat miskin Thai, dan saduran dan terjemahan sastera barat ke bahasa Thai dibuat dengan laju tanpa kualiti untuk pembacaan rakyat Thai.
Dengan bukti-bukti itu sahaja, tampak sangat saya berasa cemburu terhadap susastera Thai, malah saya mendengar, sudah ada beberapa penulis yang menampakkan avant garde mereka, dan karya mereka sedang dikaji oleh pengkaji-pengkaji sastera barat, malah banyak yang diterjemah ke bahasa Inggeris (walaupun tidak mendapat pengiktirafan sebaik Vietnam dan Indonesia).
Mungkin kerana efektifnya hasil kerja Manich Jumsai meringkaskan kompleksiti susastera Thai klasik dan moden, buku ini dengan tanpa malu telah disadur bulat-bulat, perkataan demi perkataan oleh Arena Wati dalam "7 Tegak Bersama" dalam menceritakan apa itu sejarah kesusasteraan Thai (dan kita bercakap tentang budaya plagiat pelajar universiti kita?). Sekurang-kurangnya, Arena Wati telah memaparkan satu dunia pada kita, bagaimana orang Thai menjaga dengan baik kesusasteraan mereka, perasaan sama yang dicernakan oleh Manich Jumsai dalam pembikinan buku ini.
Walaupun terjemahan 'terus-menerus' Inggeris buku ini agak kaget dan kelakar dalam beberapa tempat, ia tetap satu buku (atau satu-satunya) yang mengenalkan kesusasteraan Thai kepada yang ingin tahu dalam bahasa yang mudah dan santai.
No comments:
Post a Comment