Tajuk: Hari-hari Terakhir Seorang Seniman
Oleh: Anwar Ridhwan
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 1984
Sinopsis:
Sinopsis:
Pak Hassan sedang di dalam era kejatuhannya. Dia seorang Penglipurlara- tukang cerita, seorang pencerita kisah-kisah lama dan hikayat terutama dari timur laut di mana di dalam budaya Melayu umum, sudah dalam peredaran untuk pupus.
Dunia Melayu sedang dalam peredaran ke arah modenisasi, ke arah penggunaan teknologi barat dan bersikap material. Manusia Melayu sendiri sedang bertukar, walaupun desa di mana Pak Hassan tinggal belum lagi menghadapi kecaman modenisasi ini secara mendadak, ia sedang dan akan berlaku. Dan dalam masa itu, Jepun sedang dalam ambang menduduki Tanah Melayu.
Rasa:
Rasa:
Buku ini saya habiskan pembacaannya sewaktu saya terbang ke UK. Dalam pembacaan novel ini, saya mengalami satu keterujaan yang tidak terkata, menghisap setiap kata-kata dan alam yang dipilih oleh Anwar Ridhwan yang sangat memikat dan punya coretan dan estetikanya yang tersendiri. Membaca buku ini seperti membaca satu puisi indah yang panjang. Saya teringat dengan tulisan-tulisan mendiang Ernest Hemingway yang sangat teliti dalam pemilihan kata-katanya. Novel ini mempunyai kekuatan itu. Setiap nada kata, frasa rasanya adalah hirupan cerita yang sangat menyegarkan, hidup dan terbayang dengan warna yang sangat seni.
Ia mempunyai idea yang sangat besar dalam cerita kecilnya. Ya, ia sebuah cerita yang kecil, tentang kepupusan dan nihilistik budaya atau tatahidup dalam sebuah desa tetapi semangatnya dan cara ia bercerita sangat sarwajagat. Ini adalah kepandaian Anwar dalam memilih tempat, plot dan watak yang bercerita dalam sifat Melayu yang hidup dalam dunia yang tersendiri (walaupun ia mengikut sikap naturalis dan realis dalam menggambarkan suasana ini), sepertimana gilanya Gabriel Marquez mencipta sebuah kampung 'real' dalam 100 Years of Soltitude, begitulah 'real' kampung dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, dalam penggambaran mainan anak-anank kecilnya, orang bertaninya, orang menangkap ikan, para anak dara menunggu dalam senyap daripada ditangkap askar Jepun, para jemaah di surau, ia adalah gambaran-gambaran yang setiapnya bermain dengan plot dan mesej utama novel ini, disulam dan diikat dengan cantik sekali.
Tetapi di situ sahaja kecantikan novel ini. Kemudian, seperti kebanyakan novel sastera Moden Melayu, mungkin kerana terikut akan sikap nihilis Ranjau Sepanjang Jalan, novel ini mula memaparkan (walaupun kita tahu dari awal dan menerima antisipasi ini sebagai perjalanan cerita) sikap pesistik dan nihilistik (nota untuk azwan yang tak faham teori: kematian, ingin mati, ingin tamatkan hidup) melarat terus novel ini hingga ke hujungnya dengan satu klimaks yang sangat anti-klimaks.
Saya sebenarnya mempunyai sikap tidak apa dengan garapan nihilistik (walaupun saya rasa, ini satu keinginan 'mencari jalan mudah' dalam penceritaan), seperti dua novel besar yang melakukannya dengan baik- Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shanon Ahmad dan Seorang Tua di Kaki Gunung oleh Azizi Hj. Abdullah (ini adalah novel yang sangat menyakitkan yang pernah saya baca tetapi sangat halus ditulis).
Nihilistik atau mungkin dalam novel-novel Melayu ini lebih pada 'mencari perjalanan keredaan Tuhan di alam mati' (idea ini terpampang kerana memaparkan dalam Islam dan budaya Melayu, mengalamai perit dunia itu satu kebiasaan, malah mati atau menemui kematian itu satu anugerah besar kerana Tuhan menerima manusia yang mengalami penderitaan di dunia yang memang dibikin fana dan sementara untuk manusia, maka mati adalah satu kebiasaan yang diterima, malah akhirat adalah kebenaran mutlak, maka dunia ini dan kehidupannya adalah seakan satu mimpi buruk semata-mata, satu konsep Islam yang sebenarnya mengarahkan kita mengingati dunia akhirat dan tidak terlalu terbiasa dengan dunia ini) melakarkan selalunya satu pengakhiran yang tiada jalan keluar lagi dan hanya jalan yang diberikan adalah kematian.
Seorang Tua di Kaki Gunung membuat satu ungkapan tentang ini, tetapi tidak pula menggoncang pembacanya supaya 'ingat mati'- beliau tidak mahu berdakwah (walaupun secara senyap, memberi pandangan negatif terhadap anak-anak muda yang kini mengabaikan orang tua mereka).
Dalam novel Anwar ini, dalam akhirnya, ia cuba memaparkan romantisme dan heroisme Pak Hassan sebagai pahlawan budaya dengan memberinya satu kematian yang 'pathethic' dan penuh enigma. Ini ditambah dengan 'pengajaran' yang dilakukan Anwar terhadap watak Aziz yang menyesal akan kehilangan Pak Hassan, kaitan radio dan kehilangan kedua-dua anak Pak Hassan. Perenggan ini sahaja sudah melakukan satu 'bidan terjun' terhadap novel kompleks ini, memberi gambaran dan 'pengajaran' meniti dan menjaga warisan dahulu (kita baru tahu Aziz mempersenda Pak Hassan kerana radio pada waktu itu) yang sememangnya tidak perlu. Membaca tentang riwayat Pak Hassan sendiri sudah mencipta nostalgia eksistensial panglipulara itu dan fungsi merasa 'sesal' dan kemahuan kita untuk kembali pada zaman dan budaya itu, tidak perlu lagi relevansi kenapa Aziz perlu rasa sesal dan besarnya kewujudan Pak Hassan, mungkin bukan dengan cara yang semudah itu yang dibikin Anwar.
Kelemahan kedua novel ini terletak pada peleraian akhir novel tentang kedua-dua anak Pak Hassan, Mat Junuh dan Senah. Memang Pak Hassan adalah watak utama yang menyelusuri awal novel ini hingga ke akhir, tetapi kedua-dua anaknya, yang sememangnya simbol 'harapan' dan 'sambungan' perjuangan Pak Hassan di'bunuh' dengan sangat mendadak tanpa satu justifikasi yang kuat.
Pembaca akan marah dengan peleraian sebegini kerana pembangunan watak ini yang sama penting dengan Pak Hassan (sekurang-kurangnya, berilah mereka sedikit tempat untuk menceritakan apa yang berlaku daripada dihilangkan secara mendadak) dengan satu antisipasi yang terbina sejak dari awal (dan bukan terhadap Pak Hassan sahaja) disia-siakan dengan hanya beberapa rangkap mengaburkan kewujudan Senah dan Mat Junuh terus-menerus dengan kejam, seakan Anwar langsung tidak menyayangi mereka. Ini membuat pembaca 'benci' novel sebegini, yang mana turut berlaku terhadap novel Sandera oleh Arena Wati- satu pembangunan cerita yang sangat agung tapi diakhirkan dengan terlalu senang dan gelojoh.
Ini adalah kerana, cerita ini bukan sahaja cerita Pak Hassan. Ada beberapa lagi elemen besar dalam novel ini dan boleh dicernakan kalau Anwar tahu bagaimana pentingnya elemen-elemen ini- radio, askar Jepun adalah simbol-simbol berkuasa yang bertelagah dengan psikosis Pak Hassan dan kewujudannya dalam alam desa itu. Pak Hassan sendiri adalah simbol arkataip zaman dan warisan jiwa Melayu dahulu, heroik (mendapatkan isterinya adalah satu contoh pemusingan romansitme ini), berilmu dan beradab, tetapi simbol 'kemanusiaan Melayu' ini dibunuh dengan sangat kejam dan tanpa memberi satu pengharapan menyebabkan saya tidak dapat memaafkan Anwar yang tidak 'symphathetic' terhadap jiwa ini- sekurang-kurangnya memberi kita harapan dan satu pencarian masa depan dalam zaman serba berubah ini daripada mengikut saja pemikiran "nasi sudah menjadi bubur", realiti pesimistik yang sebenarnya mempunyai pengharapan dalam penyesalannya (bubur tetap boleh dimakan).
Tetapi apa yang Anwar berikan hanyalah satu persoalan besar di akhir cerita, yang sebenarnya melakar satu lagi soalan besar- kenapa pun Pak Hassan perlu mati? Mungkin ia baik untuk membuat kita berfikir. Tetapi ia tetap membingitkan pembaca kerana mengecutkan harapan pada hidup yang sememangnya lebih dari alam dan kematian, maka kerana inilah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman adalah untuk kali terakhir saya membacanya.
1 comment:
sebuah novel yang sangat menarik! saya sudah membacanya seawal umur 11 tahun(darjah 5 la)..tp sebab ayah cikgu sastera(hehee)..rasa cam nak nangis tau!kemana senah n matjuhuh yer??sejak hari tu aku jadi minat membaca karya2 saterawan tanah air kita..tp skang sibuk dengan assignment :p
Post a Comment