Oleh: Noraza Hj. Abdul Aziz
Terbitan: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia
Tahun: 2003
"Pohonkan aku suara Nabi Allah DaudMukaku seperti Nabi Allah YusofSehati sang segala muka manusiaOmbak berpalu lagikan redupGila mendengar suara aku dan melihat rupaku"
"Pohonkan aku suara Nabi Allah DaudMukaku seperti Nabi Allah YusofSehati sang segala muka manusiaOmbak berpalu lagikan redupGila mendengar suara aku dan melihat rupaku"
Sedutan mantera/doa yang diperturunkan zaman ke zaman pada Allahyarham Aminah Nani sebagai amalan anak wayang.
Allahyarham berpesan, mereka yang ingin mengamalkannya hendaklah mempunyai hati yang benar-benar ikhlas kerana dikhuatiri akan mendapat padah.
Sinopsis:
Sebuah biografi naik turun seorang primadona unggul dan sebenar Melayu, melayari hidupnya dari seorang anak panggung hingga menjadi seorang fasilitator dan penasihat utama tentang bagaimana semangat, idealisme, teknik dan falsafah bangsawan selaku dibuat bertahun dahulu.
Rasa:
Satu biografi yang dikira penting setakat ini untuk mengkaji dan menghayati apa itu sebenarnya pengalaman untuk menjadi seorang primadona bangsawan Melayu. Mungkin cara penulisan Noraza agak deskriptif, memaparkan yang harifiah sahaja dan menutup segala yang peribadi (Noraza sendiri mengaku, hal-hal peribadi, yang biasanya memikat dan menarik minat pembaca untuk membaca sebuah biografi tidak dipaparkannya kerana menjaga kehormatan primadona terulung ini), tetapi beberapa kisah pengalaman Mak Minah (nama panggilan Aminah Nani) di dalam buku ini, cara dan falsafahnya tetap menjadi kayu ukur untuk pengkaji dan peminat mengetahui bentuk dan apa sebenarnya bangsawan Melayu itu.
Membacanya membuat saya teringat akan beberapa babak dalam dua buah filem Suhaimi Baba, Layar Lara dan Pontianak Harum Sundal Malam (simbol legasi wayang yang dilupakan). Sememangnya Noraza dalam penulisan deskriptif tanpa memberi sebarang luahan emosi, lebih bersikap neutral tetapi dapat melakarkan Allahyarham Aminah Ani sebagai seorang yang santun, penuh ilmu, penuh drama, senang bermesra dan seorang pejuang bangsawan yang penuh dedikasi dan kobar api.
Di dalam biografi ini, tidak ada satu tinta pun yang menayangkan keaiban hidup primadona ini waktu akhir usianya (Allahyarham tinggal di rumah kayu yang buruk hingga akhir hayatnya).
Noraza melakarkan kebanggaan dan semangat tinggi Mak Nani (arwah Mak Nani difoto bersama ramai golongan pelakon Studio Ampas, memaparkan pengaruhnya terhadap pelakon-pelakon filem itu zaman itu, dipaparkan berdondang sayang bersama Tunku Abdul Rahman, mengajar anak-anak muda dalam sebuah projek pementasan, diberi pingat kehormatan, dll.) bercakap tentang bangsawan, pelakon dan teater. Semuanya penuh kecantikan dan kekayaan. Mak Nani tidak pernah satu pun digambarkan melarat dan tidak dibela.
Hanya apabila membaca rintihan Khalid Salleh dan beberapa keratan lain tentang arwah Mak Nani baru saya tahu kemelaratan hidupnya dan kesusahannya. Ia sememangnya satu emansipasi sebenar seorang primadona tulen, luahan yang biasa kita akan tampak daripada seorang pewarna muka pentas berkaliber, mewarna penonton dengan warna-warna yang diperlukan dan disuruh oleh peranannya, tetapi susah sakitnya tidak akan kita tahu bagaimana. Seperti topeng senyum di sebalik wajah derita.
Beberapa perkara seperti istilah-istilah bangsawan yang di"cerita"kan oleh Mak Nani memberi sumbangan kuat dalam memahami histografi bangsawan yang perlu diketahui oleh pengkaji teater moden dan filem tempatan. Istilah seperti "sri panggung" dan "orang muda" sangat penting.
Contohnya istilah "orang muda" sebagai istilah peranan utama lelaki dalam pentas bangsawan. "Orang muda" banyak digunakan dalam filem-filem (rujuk Ibu Mertuaku) zaman Studio Ampas sebagai kata ganti nama terhadap teraju utama lelakinya (hero), memaparkan pengaruh kuat bangsawan terhadap filem Melayu terbitan Shaw dan Cathay Keris.
Walaupun beberapa perkara dalam buku ini tampak tidak perlu (perlukah pantun-pantun tulisan Mak Nani dipaparkan sebagai satu bab? Bukankah ia lebih tampak sesuai dalam lampiran?) dan tidak memaparkan drama dan kehidupan bangsawan yang sebenar-benarnya (ia hanya memaparkan profesionalisme arwah Mak Nani, sedikit sahaja paparan cerita peribadinya yang sudah tentu juga penuh lara dan cerita), dan terperinci. Malah gaya bahasanya kadang-kadang terlalu akademik walaupun itulah keinginan penulisnya. Tetapi ia tetap antara buku-buku terpenting dalam menggambarkan kehidupan bangsawan zaman lampau.
Tajuk: Misi Aurora
Oleh: Nuriazam Ismail
Terbitan: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Tahun: 2006
Sinopsis:
Kehilangan cip berkeupayaan tinggi Fotonoid F-69 menggemparkan seluruh seksyen S-28. Dr. Fernandez yang merupakan pencipta cip itu, dituduh mencuri. Keadaan bertambah kelam-kabut apabila cip yang hilang itu musnah dan tenaganya berpindah kepada bayi dalam kandungan isteri Dr. Fernandez, Vanessa. Sebaik sahaja bayi itu dilahirkan, bayi itu kemudiannya diculik dan dibawa lari ke Planet Geitan yang dihuni oleh makhluk mutant. Adenal dan Jason membantu Nicol mencari semula adiknya itu.
Rasa:
Saya terhibur membaca buku kecil komik ini, hasil nukilan dan lakar Nuriazam Ismail. Tercuit membaca buku yang walaupun klise tajuknya (misi-misi-misi sudah biasa dalam genre sci-fi Melayu). Paling baik, Nuriazam mempunyai cara yang baik mengaitkan satu adegan dengan satu adegan yang lain, bagaimana persoalan dirungkai dan bagaimana akhirnya Nicol dapat mengembalikan adiknya pada ibunya.
Penuh saspens dan keseronokan, walaupun mungkin agak terus-terang dalam memaparkan, yang jahat selalunya berbentuk makhluk asing dan pelik (biasa dalam komik-komik superheroes, seperti puak jahat Joker, Penguin, Dr. Doom, Scarecrow, Magog dan pelbagai). Ada beberapa babak yang dibiarkan "terabai" (bayi itu dipanggil bayi aurora, bagaimana Zoid boleh kerja di Hangar dan tidak diketahui orang dalam makmal nuklear S-28), tetapi mungkin supaya buku komik ini dapat disambungkan pada masa hadapan.
Satu cerita sci-fi yang ada perbaharuan. Walaupun dialognya kadang-kadang agak terbuat-buat, mempunyai gaya dan keseronokan 'menjadi kanak-kanak kembali' yang tersendiri.ulasan lain: http://perkasaalam.blogspot.com/2006/06/misi-aurora.html
No comments:
Post a Comment