Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, July 27, 2018

Sumber Istilah Bangsa Melayu dalam Tradisi Persuratan dan Pembelajaran Klasik Melayu

Saya terbaca dalam lidah syaitan "baharu", media sosial, segolongan Melayu yang bertegas beberapa perkara yang sudah tertera lama dalam perlembagaan tentang orang Melayu dan ketuanannya (ketuanan di sini tidak bermaksud "tuan" terhadap etnik lain tetapi tuan rumah atau tuan tanah pada tanah airnya, seperti mana tuan rumah orang Cina terhadap Tanah Besar China dan tuan rumah orang Perancis terhadap tanah air Perancis). Timbul pula kenyataan kurang adab bahawa orang Melayu ini pendatang (hal ini bolehlah disangkal dengan merujuk projek kajian DNA yang disertai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin bahawa terdapat waris mtDNA dalam sampel orang Melayu yang sama dengan Orang Asli yang berusia hampir 60,000 tahun). Pandangan ini pula bersangkut-paut dengan "impian mulia" gerakan kiri pasca Perang Dunia Kedua, PUTERA-AMCJA menggolongkan semua kaum sebagai "bangsa Melayu" pada sekitar tahun 1947, menolak agama dalam penentuan bangsa ini (tetapi menariknya memang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan - secara sedar inilah persangkutan kuatnya terhadap perjuangan sama tanah tetangganya, Indonesia yang bergerak pada inti perjuangan yang sama, Sumpah Pemuda 1928 - menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan setiap pulau-pulau yang ada yang kemudian disebut sebagai bahasa Indonesia). Kononnya di sini asal istilah "bangsa Melayu" tercipta sebelum "dicuri" oleh "sayap kanan disokong penjajah British", yakni sekumpulan aristokrat, bekas pelajar sekolah dan institusi Inggeris, dan anak raja Melayu yang membina UMNO. 

Hal ini memang tertulis dalam sejarah, tetapi istilah bangsa Melayu itu pun, menurut sejarah yang bisu, tidak semoden yang disangkakan, yang kononnya terwujud era 1940-an oleh kalangan anak Malaya yang sedar politik dan perasaan kebangsaan. 

Perlu diketahui, terdapat suatu lagi kumpulan penting dalam gerak hala penentuan orang Melayu dan bangsanya pada waktu itu, selain golongan yang menemui pencerahan dari Indonesia, pencerahan dari modenisasi ilmu Mesir dan serata Arab, pencerahan daripada pergolakan dan kesedaran China atau kebangkitan gerakan merdeka di India. Malah, kumpulan ini jauh lebih lama dan terakar kuat pada urat buminya, menjadikan, apabila mereka "menyatakan" pandangan (seperti "menurunkan fatwa") jadi terarahlah orang Melayu secara majoritinya, khususnya di kampung-kampung. Inilah kaitan ayah Tun Abdullah Badawi yang sendirinya seorang tok guru pondok menyebelahi UMNO, dan suara-suara orang Melayu ramainya, yang melihat hal ini perlu diperjuangkan ketika mahu memerdekakan Tanah Melayu itu daripada tangan orang British. Inilah golongan agamawan, anak-anak pondok, kalangan Kaum Tua, yang darah mengalirnya memandang serong pada sosialisme mahupun komunisme, yang dari awal lagi menentang Inggeris daripada perjuangan Tok Janggut hingga pada perwira sejati seperti Mat Kilau. Perkara 153 dan persangkutannya bermula di sini, sehingga hal inilah yang dinyatakan menjadi asal definisi identitinya oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudyaan Melayu (1972), yakni (i) Melayu itu agamanya Islam (ii) bahasanya Melayu dan (iii) berkebudayaan Melayu. 

(i) Kitab Kuning

Antara bukti "bangsa Melayu" ini bukan ciptaan moden dan merupakan antara gerakan awal kebangsaan era kolonial boleh ditemui dalam kitab-kitab kuning lama tulisan agamawan-agamawan besar yang tersebar pengajian pondoknya dari hujung tanah Patani hingga ke hujung pulau Singapura, termasuk Kepulauan Riau dan angkatannya. Isitlah "bangsa Melayu" sememangnya sudah tersemat lama, menjadi pegangan jati diri dan identiti, membezakan orang Melayu pada selainnya. 

Seorang ulama besar Melayu pada abad ke-19/20, Syeikh Wan Ahmad al-Fathani (meninggal dunia sekitar tahun 1908) mempunyai sekumpulan tulisan berkenaan bangsa Melayu dalam kitab tulisan jawinya (dipanggil turath), seperti yang dikaji oleh pengumpul dan pengriwayatnya, cicitnya sendiri, Allahyarham Haji Wan Mohd Saghir Abdullah (semoga Allah memberinya rahmat). Haji Wan Mohd Saghir mencatatkan, tulisan Syeikh Wan Ahmad al-Fathani tentang Melayu atau bangsa Melayu ini kebanyakannya ditulis sewaktu beliau menuntut dan berkelana di Mekkah, Mesir dan Turki, sekitar tahun 1877 sehingga 1889. 

Antara tulisan itu, terdapat sedutan yang membicarakan tentang bangsa Melayu yang amat jelas, tertulis dalam kitab Tashilu Naili Amani. Saya lampirkan imej petikan daripada kitab tersebut:  


Berikut merupakan teks transliterasinya:

(Iaitu) kesatuan semua bangsa Melayu. Al Malayuwiyah itu nisbah kepada Milayu dengan kasrah huruf Mim atau fathah dan dhammah huruf Ya. Mereka adalah kelompok atau segolongan besar manusia. Negeri2 mereka adalah sesubur2 negeri dunia. Terletak antara negri India dan Cina adalah terdiri kebanyakan pulau yang terpencar2. Pakar ilmu alam mengibaratkan adalah sebahagian negeri2 India-Cina. Orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawa. Iaitulah satu kelompok manusia di satu pulau besar di sana. Mereka bukan Melayu. Bahasa Melayu adalah yang paling ringan bahasa penduduk wilayah2 itu. Kerana itulah kebanyakan orang Hijaz memakai bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa2 tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu. Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi baik. Sebahagian ciri2 khas mereka itu ialah bahawa tidak terlihat di negeri mereka dan lainnya peminta walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin. Mereka memiliki kehormatan yang baik, menguasai perbaikan pertukangan, menerima tentang modenisasi teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan. Dengan kebangkitan bahawa pada mereka ada kedaulatan2 besar, maka bertukar dengan kekuasaan2 kafir. Semoga Allah memelihara negara2 Islam dari mereka, Amin.


Menurut adik saya, Dr. Ayman al-Akiti, tulisan di atas merupakan syarah Syeikh al-Fathani terhadap ilmu Awami al-Jurjani. Pengajian ini dilakukan dalam kelas 5 ibtida' di serata pondok Nusantara. Pemikiran inilah yang secara tradisinya, tertanam dalam setiap sanubari orang Melayu Islam yang menuntut ilmu, baik secara rasmi (pondok) seperti yang diterangkan tadi, atau tidak rasmi (secara umum di masjid atau surau) agar menguatkan lagi ukhwah pertalian dan jati diri orang Melayu zaman berzaman mendepani perubahan dan fitnah alam (khususnya pada era kolonial British itu yang menawarkan persekolahan Inggeris sekular dan penerusan pemubalighan Kristian).

Tulisan berkenaan Melayu ini turut ditulis oleh Syeikh Wan Ahmad al-Fathani dalam beberapa lagi manuskrip kitab seperti Hadiqatul Azhar, Faridatul Faraid, serta beberapa keratan doa dan nazamnya dalam beberapa kitab dan cebisan kertas. Menariknya dalam hal ini jika dilihat pada zamannya (catatan: Tok Janggut lahir pada tahun 1853 dan meninggal dunia pada tahun 1915, jelas hidup pada era Syeikh Ahmad al-Fathani), kelihatan Syeikh Wan Ahmad al-Fathani menerima pengaruh kuat pada era benua Arab Islam dan Empayar Turki Uthmaniyyah sedang benar-benar berhadapan dengan kuasa  Eropah dan ideologi imperialisme Barat.

Di sini juga dapat dilihat, bagaimana "pegangan" yang menjadi asal-usul jati diri, kemudian perjuangan bangsa dalam mandiri orang Melayu inilah yang secara tradisinya, tertanam dalam setiap sanubari orang Melayu yang sedang menuntut ilmu (dipanggil dalam buku teks Sejarah saya sewaktu Tingkatan Dua, sekolah tradisional), baik secara rasmi (pondok) bertahun-tahun lamanya (seperti Tok Janggut, seperti juga Tok Kenali, 1868-1933) atau tidak rasmi (buat masyarakat umum dan marhaen di masjid dan surau/madrasah, pada malam-malam tertentu) secara hayat dan kebiasaan cara hidup. Hal inilah yang menguatkan lagi ukhwah pertalian dan jati diri mereka zaman berzaman mendepani kemodenan pemikiran dan fitnah alam.

(ii) Asal-usul Nama "Melayu" daripada Sanad Pengajaran Lisan

Kenyataan kedua ini lebih menarik, mungkin belum pernah didengari oleh sesiapa (lalu yang mendengarnya mungkin takjub atau fikir benda ini ajaib lagi pelik) tetapi saya dapat sendiri daripada guru yang mengajar saya, Ustaz Ilham, seorang alim dari Pondok Pasir Tumboh dan pernah belajar sampai ke Mekkah. Beliau sendiri mendapat ilmu ini daripada tuan gurunya, Tok Guru Haji Solleh al-Kelantani di Pondok Pasir Tumboh, yang pernah belajar di Pondok Lubuk Tapah dengan Tok Guru Haji Abdul Aziz yang pernah belajar di sisi agamawan penuh rahmat, Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki (1944-2004, semoga Allah menempatkannya bersama-sama kekasih-Nya) di Masjidil Haram, Mekkah (era itu, kebanyakan ulama Ahl Sunnah masih boleh mengajar di dalam Masjid Haram).

Dikatakan, nama "Melayu" itu asal-usulnya, seperti mana Melaka itu asal-usulnya "malakat" yakni pasar, lantas, apabila orang Arab Islam tiba ke Tanah Melayu (menurut Profesor Syed Naquib dalam Historical Fact and Fiction, seawal abad ke-12), mereka melaung "Maula-Ya, Maula-Ya" (Ya Tuan Ya Tuan) kepada orang Melayu, lalu lama kelamaan ungkapan itu korup menjadi "Melayu" di lidah orang Melayu yang baru hendak mengenal bahasa Arab (yang pada waktu itu, mula beberapa perkataan Arab Islam dimasuk mesra dalam bahasa orang Melayu, seperti "wujud", "haram", "sunat", "wajib", sebagai jati diri asas menguatkan pendekatan Melayu-Islam, membuang istilah Hindu-Buddha [seperti "dharma", "lingga"] yang tidak dapat lagi digunakan dalam keadaan baharu itu dan memesrakan beberapa istilah untuk di/erti-pakai semula dalam alam Islam Melayu, seperti "neraka", "sengsara", "budi", dll.). Pendedahan ini agak menarik, mungkin tidak unik. Setakat ini, saya belum mendapat kepastian sumber bertulisnya, walaupun hal ini diperturunkan. Saya juga teringat akan Cik Srikandi (pengarang Rentaka Sekalian Bijasura dan Emas Para Dapunta dan Maharaja) dalam hal ini apabila beliau menyatakan dengan tegas isitlah "Melayu" jauh lama seawal era orang Melayu masih beragama-budaya campuran lokal Hindu-Buddha dengan asasnya daripada kosa lama "Mala", yakni "gunung" (orang dari gunung). Namun penjelasan daripada ustaz saya ini juga diambil kira, atas keseriusan dalam penurunan sanad (untaian salasilah pembelajaran yang tidak putus diturunkan) dalam pengajaran pondok, bahawa ustaz saya mendapatinya pun daripada tuan gurunya yang terhormat duduk letaknya dan absah sumber belajarnya. Wallahualam.

No comments: