Saya temui petikan sajak ini dalam sebuah buku koleksi arwah Mahsuri SN sewaktu di Perpustakaan Negara Singapura bulan lepas. Sajak ini jelas, merupakan sajak awal yang menyimpulkan semangat Pujangga Baru yang membuang tradisi lama dan karya lama (teks tradisional) dengan mencari pengucapan baharu.
Perhatikan bentuknya yang mendekati pantun tetapi bukan benar-benar pantun (tidak ada lagi pembayang) dengan pendirian penyairnya yang jelas dan individualistik, sehingga menolak dengan sedar duduk letak penulisan lama (syarat dalam berpuisi) dan adab letak raja-rakyat dengan meletak diri sebagai "beta", melanggar langsung kebiasaan tradisi lama yang selalunya meletakkan diri sebagai hamba (sahaya/saya), fakir yang daif, atau pacal yang hina. Inilah antara penciptaan sajak yang terawal dalam dunia Melayu-Indonesia:
Syarat saraf beta mungkiri;
Untai rangkaian sekolah lama
Beta buang, beta mungkiri,
Sebab laguku menurut sukma.
- Rustam Effendi
Untai rangkaian sekolah lama
Beta buang, beta mungkiri,
Sebab laguku menurut sukma.
- Rustam Effendi
(nota: Melihat konteksnya, Rustam mungkin bukan Pujangga Baru, atau tidak kerana saya tidak benar-benar mendalami riwayat dan gerak pengalamannya. Malah, keadaan beraninya mungkin lebih dekat atas anutannya terhadap komunisme. Namun, hal yang lebih menarik daripada itu ialah Rustam sama seperti Amir Hamzah, lahir dari Sumatera [Amir dari Langkat] dan darah Rustam ialah Minang, sama seperti Hamka. Rustam lahir pada 13 Mei 1903 jika dibandingkan dengan Amir yang lahir pada 28 Februari 1911 atau Hamka pada 17 Februari 1908. Rustam lebih dikenali sebagai dramatis dengan sebuah teks drama yang amat terkenal, "Bebasari" namun turut dikenali dengan beberapa puisinya yang kemungkinan ditulis pada 1920-an ke atas.)
No comments:
Post a Comment