"The Boy as Hang Tuah", Hossein Enas (1953).
Catatan ini dibiarkan pendek.
Setelah membaca, sekali lagi, tulisan e-esei seseorang dalam laman JalanTelawi.com, saya menjadi jelik. Perkataan demi perkataannya dibumbui sok istilah Indonesia (sesetengahnya sebenarnya kata-kata Indonesia jadi-jadian, kerana ada istilah kata yang tidak ada pun dalam daftar kata Indonesia). Seperti minggir, seperti imajan, seperti musik. Seperti yang, perkataan-perkataan itu tidak jelma ada dalam kesedaran penulisan dan pembacaan bahasa kita. Semacam, kita perlu menggunapakai atau meminjam dek "mencantikkan" bahasa kita dengan istilah-istilah Indonesia begitu, betapa kita terpesona dengan segalanya yang Indonesia, segala kata-kata; sastera dan seninya.
Saya teringat dengan komentar Saifullizan Yahya, mantan pengarang Dewan Sastera tidak lama dahulu dalam Berita Harian, mengapa kita, anak Malaysia (Melayu, sebab tak ramai bukan Melayu membaca sastera Melayu, ini fakta, bukan rasis) terlalu mengkiblatkan sastera Indonesia, malah segalanya dari sana dianggap baik dan kita kolot atau masih belum setanding mereka: Indonesia dan sasteranya dianggap Abang kepada Adik kita.
Tidak salah untuk beraspirasi dan berkiblat, tapi, terus-teranglah, belajar untuk menikmati dan merasai bahasa sendiri ketika menulis. Saifullizan sendiri, jika menulis, tidak mudah-mudah (apa kata Indonesianya, "gampang"?) mengguna pakai istilah dan bahasa Indonesia dalam karyanya. Bahasa luar (termasuk Inggeris, Arab atau Perancis) sepatutnya memberi kita renungan dan memacu pada pembikinan kata dan karya yang unik buat milik kita sendiri; bukan membayang-bayangkan hasil karya orang, apatah lagi budaya orang.
Hal ini, peminjaman berleluasa kata Indonesia, seakan-akan bahasa dan istilah Melayu Malaysia itu begitu kolot, terluah dalam banyak penulisan anak-anak muda kita sekarang, apatah lagi yang memang sudah dua-tiga tahun menggulati karya mereka (dan terasa manteranya, dan terasa, bahasa dan sasteranya jauh lebih baik), baik menemui kata-kata Sapardi mahupun terkhayal dengan keindahan cerita Eka Kurniawan. Sekumpulan poket penulis kontemporari pula, seperti rata-ratanya dalam beberapa tulisan dalam talian, amat Indo-sentrik, kegilaan yang menggila akan segala-galanya Indonesia. Ada beberapa poket kumpulan ini juga yang, setelah bertahun saya membaca dan menonton, menyukai filem-filem, muzik dan seninya.
Apakah kita tidak ada Za'ba? Kita tidak ada Munsyi Abdullah? Hamzah Fansuri? Apakah Anwar Ridhwan dan Shahnon Ahmad kita tidak berapa baik? Apakah Usman Awang atau Latiff Mohidin itu penyair jalanan sahaja buat kita?
Don't we even care?
Baru-baru ini, saya ke Bandung kerana tugas rasmi. Saya menemui kawan saya. Betapa matanya bersinar apabila saya menyatakan kepadanya, saya sudah menonton Pengabdi Setan petang tadi, betapa saya bercadang menonton beberapa filem Indonesia yang lain sewaktu saya masih di situ. Saya bertanya kepadanya, sudah menonton Gunung Emas Almayer, satu-satunya filem Malaysia yang ditayang awal sebelum tiba ke tanah kita. Dia katakan tidak, malah tidak menyedari kehadirannya! Saya teringat dengan filem Khabir Bhatia Cinta yang terpaksa diadaptasi-indonesiakan menjadi Love, yang rata-rata penonton Indonesia yang menonton filem itu (dan suka) mengangkatnya sebagai filem Indonesia, dan menjadi keliru apabila dikatakan itu separuhnya usahasama Malaysia-Indonesia dan beberapa orang di belakang tabirnya ialah rakyat Malaysia.
Pantun ialah contoh satu karya puisi lama Melayu yang dikongsi setiap bangsa Nusantara ini. Malah, inilah antara karya yang masih dipertandingkan pada peringkat serantau serata pembicara bahasa Melayu. Walaupun pantun mempunyai beberapa apresiasi di Sumatera dan Kepulauan Riau, di pusat seni budayanya, Jawa, pantun menjadi sunyi dan bisu, tidak diberikan apa-apa kegiatan atau cakna untuk dihargai seisi massa Indonesia. Pihak berkuasa yang memegang dasar seni budayanya juga di sana tidak berbuat apa-apa untuk melestarinya.
Saya ada menemui beberapa penulis Indonesia sewaktu Borak Buku yang mengaku, sudah tidak mengenali sastera Malaysia. Pengkritik dan ahli akademi di sana pun tidak menjalankan kajian terhadapnya, alasannya, tidak ditemui buku-buku Malaysia. Ini amat mencurigakan dalam keadaan dunia dalam talian sekarang (buku boleh dibeli di mana-mana, asalkan kita berduit). Malah, sudah berkali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa penerbit buku kita yang berkunjung dan mempamerkan buku-buku kita di Pesta Buku Jakarta (dan jangan lupa, betapa susahnya kita hendak membawa sekotak buku masuk ke sana apabila melalui kastam mereka di lapangan terbang). Apakah reaksinya terhadap buku sastera kita? Amat mendukacitakan: mereka lebih mencari buku bukan fiksyen dan kajian akademik daripada sastera dan puisi.
Antara alasan jelas yang selalu saya dengar: mereka tidak boleh membaca bahasa Melayu, kerana susunan kata dan penggunaan katanya dianggap pelik, malah lucu.
Malah, sebenarnya, buku-buku kita terpaksa diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia untuk dibaca di sana. Baru-baru ini di Bandung, saya menemui terjemahan adikarya klasik kita, Hikayat Hang Tuah yang ditransliterasi oleh Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh di Gramedia Paris de Java. Buku itu sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dalam bentuk "bahagian satu" (dipecahkan?). Buku itu terletak di rak paling bawah, paling tepi kiri antara buku-buku kajian dan esei sastera yang tersusun.
Begitulah maruah Hikayat Hang Tuah kita buat mereka.
Saya teringat dengan cerita Tan Sri Prof. Asmah Omar sewaktu kumpulan akademik bersyarah di Indonesia pada 1980-an, betapa mereka ketawa-ketawa kecil sewaktu mendengar orang kita mengucap dengan "tuan-tuan dan puan-puan". Cantik reaksi Asmah, "Apa, bapak-bapak atau ibu-ibu itu saya tidak mengerti, sebab kalian semua siapa, bapak siapa dan ibu siapa kepada saya?"
They rediculed us. They rediculed our language. Our way of saying and making sense of things. Don't you feel our pride; our national pride at least, hurt by this?
My stand is this: Indonesians don't give a damn about our literature, so why do we need to get engrossed with theirs?
My stand might be reactionary, stupid, maybe even damaging and unhelpful. But this is to remind us of how puny we look at ourselves, our nation and our own language. So be it!
Seperti dialog kata P. Ramlee, "Bahasa menunjukkan bangsa tau?" Jadi, kita ini bangsa jenis apa?
No comments:
Post a Comment