Tajuk: Saksila Lekir
Oleh: Mohd. Nasir Zainal Abidin
Terbitan: DBP
Tahun: 1995
Sinopsis:
Anak Muda, seorang yatim yang sudah membesar sebagai seorang pemuda, diajar ilmu persilatan dan batin oleh dua guru terkemuka, Toh Pateh Alurani Jegak Kiran dan Pateh Alurani Jegak Bistu, lalu bermulalah sebuah pengembaraan rites of passage Anak Muda itu, berkelana dari kampung ke kampung, masuk keluar hutan dan rumah pembesar di negara purba Sulawesi-Bugis, mencari susur galurnya dan punca tujuan hidupnya yang sebenar, yang bukan sahaja bakal menggegar diri Anak Muda itu sendiri tetapi bakal menggoncang seisi tanah kerajaan, malah bumi Nusantara (dan seluruh dunia) nanti.
Rasa:
Setelah selesai membaca novel setebal 239 halaman ini, tangan saya terkemab, lalu bukunya terjatuh dari genggaman. Ini sebuah adikarya fiksyen kita yang bukan calang-calang. Bukan sahaja saya terkejut dengan "sihir" novel ini membuatkan saya berjaya melepaskan novel Inggeris yang saya baca waktu itu (saya selalunya cepat lesu membaca novel Melayu kerana ceritanya yang tidak memaut atau bahasanya yang meloyakan, lalu saya bertukar angin dengan membaca novel Inggeris yang selalunya jauh lebih memuaskan hati) dan menghabiskannya dengan sekali harung, novel ini juga, rupa-rupanya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 1995-96! Jadi benarlah, novel ini bukan calang-calang tulisannya.
Mungkin ketidakrelaan saya membaca novel ini, awalnya (saya sudah beli sedari tahun 2003) kerana membaca sari rangsang kulitnya yang menyatakan, dengan bersungguh-sungguh, seakan-akan satu kajian (bosannya!) bagaimana berkemungkinan ini penelitian semula Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah apabila tanah asal Hang Tuah berkemungkinan datang dari Sulawesi/Makasar atas kiriman hadiah Raja Gowa kepada Sultan Melaka waktu itu. Malah, punca penciptaan novel ini pun berkaitan dengan percubaan pengarangnya (satu-satunya novelnya!), Mohd. Nasir Zainal Abidin menyelidik kembali personifikasi dan latar asal Hang Tuah, serta budaya ghaib dan alam silat-Keris Melayu-Bugis yang berkemungkinan bagi menyelar polemik seorang cerdik pandai yang menuduh Hang Tuah sebagai samseng pada pertengahan 90-an.
Betapa silapnya saya kerana novel ini, subhanallah, cukup-cukup istimewa, lebih-lebih lagi dalam teknik naratifnya, yang dengan mengejutkan, boleh dibaca dalam beberapa lapisan tanpa mengganggu tujuan dan agenda asal pengarangnya.
Pertama, novel ini boleh dibaca sebagai sebuah novel "subgenre" silat, yang mementingkan pertempuran dan pengujian kehandalan antara dua petarungnya. Mungkin novel sebegini sudah ada (hal ini perlu dikaji lagi) dalam sastera Melayu, tetapi tidak begitu menonjol jika dibandingkan dengan novel ala-ala kemasyarakatan sebelum dan selepas perang dan novel satira Ishak Haji Muhammad (Hikayat Hang Tuah, contohnya, lebih diangkat sebagai sebuah hikayat sastera sejarah daripada inti aksi silatnya). Berkemungkinan juga, novel sebegini dilihat sebagai novel picisan (pulp fiction) oleh kalangan pengkritik kita, jika ada pun seumpamanya pada zaman dahulu, kerana saya tahu beberapa bentuk tempur silat hanya terkenal dalam keratan komik di dalam akhbar atau eceran dalam majalah komik. Hal ini berbeza dengan novel wuxia atau novel-novel seni mempertahankan diri (martial art) tradisi Sino-China-Jepun, yang paling diangkat sudah tentu Water Margin dan Romance of the Three Kingdoms. Selalunya, latar novel-novel sebegini bercirikan unsur purbakala, selalunya zaman sebelum penjajahan Barat ke atas tanah Melayu, dengan garapan aksi cerita yang berhubung dengan komuniti kampung, yang kemudiannya beransur kepada intrik dalaman politik pembesar ataupun istana yang berkaitan dengan seorang perwira handal silat itu (selalunya digelar sebagai pendekar). Dalam hal ini, Saksila Lekir yang boleh dibaca secara seronok-seronok atau serius dalam genre ini boleh dilihat sebagai sebuah hasil garapan yang teliti dan halus, tanpa membuang semangat hiburan keterujaan dan debar aksi ngerinya sebelum-semasa-selepas satu-satu pertempuran silatnya.
Lihat sahaja petikan perenggan ini, yang membayangkan sebuah perlawanan Anak Muda menyerang bertubi-tubi sekumpulan hulubalang dan pengawal istana diperkarangannya, hal yang sehebat imejan yang kita temui dalam filem Kill Bill, Old Boy atau Crouching Tiger Hidden Dragon:
Pertarungan itu berlangsung tanpa henti hingga ke malamnya. Tetapi dia tidak perlu kepada rehat kerana letih tidak mempunyai ruang menambat anggota-anggota tubuhnya. Dia bagaikan sudah tidak sedar pada dirinya, kerana yang ditujunya adalah tangga-tangga istana. Serangan demi serangan diteruskan dengan berani dan gagahnya dan apabila dia berjaya mencecah anak-anak tangga Balai Penanggahan Istana, terlalu ramai yang sudah dibunuhnya. Darah yang mengalir, memberikan warna merah gelap kepada air hujan yang bertakung membasahi halaman istana. Bau hanyir memualkan dan hampir memabukkan Anak Muda itu.
Pertarungan itu berlangsung tanpa henti hingga ke malamnya. Tetapi dia tidak perlu kepada rehat kerana letih tidak mempunyai ruang menambat anggota-anggota tubuhnya. Dia bagaikan sudah tidak sedar pada dirinya, kerana yang ditujunya adalah tangga-tangga istana. Serangan demi serangan diteruskan dengan berani dan gagahnya dan apabila dia berjaya mencecah anak-anak tangga Balai Penanggahan Istana, terlalu ramai yang sudah dibunuhnya. Darah yang mengalir, memberikan warna merah gelap kepada air hujan yang bertakung membasahi halaman istana. Bau hanyir memualkan dan hampir memabukkan Anak Muda itu.
(Mohd. Nasir, 1995: 180)
Pertarungan berskala besar yang sudah menghampiri klimaks cerita novel itu mungkin terlihat syot demi syot imej protagonis, Anak Muda menghampiri misinya, gaya yang sama kita temui dalam Romance of the Three Kingdoms, namun Mohd, Nasir turut menyampaikan, secara penuh teliti, pertarungan satu lawan satu Anak Muda dengan beberapa watak antagonis, sebagai pembangunan perwatakan Anak Muda dan perkembangan kehandalannya dalam "bermain silat". Hal ini digambarkan dengan baik dan penuh waspada dengan sentuhan silat Melayu yang benar-benar menjadi, membawakan suatu gaya yang segar dalam novel ini, sepertinya, petikan di bawah yang menampilkan pertempuran pertama Anak Muda dengan seorang lelaki amuk setelah Anak Muda menemui sebuah kampung di tepi hutan:
Lama-kelamaan apabila segala usahanya tidak membuahkan apa-apa, kerana tiada sedikit pun bahagian diri Anak Muda itu yang dapat dicederakan, lelaki itu menjadi berang. Dia tidak lagi menikam mengikut langkah. Serangannya tidak lagi mempunyai ragam dan gaya yang tertentu. Dia membabi buta. Tusukannya, tikamannya dan terkamannya melulu ke arah Anak Muda itu. Tetapi dengan perasaan tenang dan dengan kepantasan raganya, Anak Muda itu mempersendakan lelaki itu. Tiada langsung dia berusaha untuk menepis serangan-serangan yang bertubi-tubi dilakukan ke atas dirinya. Dia hanya mengelak dan melompat ke kiri dan ke kanan. Sekali-sekala mengundur setapak dua. Tetapi tiada yang lebihnya dari itu, kerana nyata pada diri dan kebolehannya, lelaki itu bukanlah tandingannya.
(Mohd. Nasir, 1995: 37)
Begitulah, detik demi detik, pertarungan yang dipaparkan, dengan mendebarkan, dialun dengan kunyahan bahasa yang hidup untuk menggambarkan suatu kronologi yang cukup baik tanpa menolak sikap mengujanya dan saspensnya kepada pembaca.
Kedua, novel ini juga boleh dibaca sebagai sebuah novel "melangkah ke alam dewasa" remaja atau coming of age yang sangat baik, malah bagi saya, antara novel langkah ke dewasa yang terbaik pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Kita dapat meneliti dan "membesar bersama" Anak Muda ini mencari punca asal usulnya, dan tujuan hidupnya, yang dilatari dengan unsur yang sangat Melayu (sifat yang jauh daripada berkobar-kobar melanggar establishment tanpa tujuan seperti kebiasaan novel Barat). Hal ini dikuatkan lagi dengan pegangan yang diajar kepada Anak Muda itu untuk mencari hakikat dirinya (inilah tujuan asal mana-mana falsafah besar Melayu, mencari makna tujuan hidup di dunia ini). Maka, Anak Muda itu akan berkelana, lalu setiap episod dan pertemuan, dari orang kecil sehingga pembesar, akan mempengaruhi emosi dan tingka lakunya, dan akhirnya renungan hidupnya.
Yang baiknya, Mohd. Nasir tidak membina Anak Muda sebagai watak kadbod yang biasa kita jumpai dalam novel-novel wacana yang dikobarkan oleh kebanyakan penulis muda era itu. Selain budi bicara, sopan santun dan adab halus yang diperkenalkan, Anak Muda mempunyai kelemahannya dan kesilapannya, menjadikannya seorang manusia yang manusia, seorang remaja yang memang remaja, penuh perasaan ingin cuba, merasai kegagalan dan merasai kesakitan hidup. Malah kesedarannya pada hal inilah yang "membesarkan"nya, membina jalan Anak Muda ke garisan kedewasaan. Hal ini dilakukan melalui pemerhatian Anak Muda itu serta bimbingan yang didapati oleh orang-orang yang ditemui, lebih-lebih lagi apabila dia mendapat kenal "misi sebenar" yang perlu dilakukannya, yang amat mencabar malah boleh membunuhnya, juga cara dia perlu mengawal keris yang diberikan kepadanya, Saksila Lekir, sebuah keris sakti yang bersaudara dengan keris Taming Sari (hambikkau Harry Potter!!), yang juga boleh dibaca melalui sudut sufi, cara Anak Muda ini "mengawal-menyelia" nafsunya untuk membina dirinya kepada hakikat diri yang lebih baik. Saya melihat, novel ini amat sesuai, atas sudut ini, dibaca oleh mana-mana remaja Melayu sebagai salur budiman perenungan diri, memotivasikan dirinya untuk mencari dirinya sendiri.
Novel ini boleh dijadikan panduan terbaik buat hal ini. Bukan sahaja dengan sikap membinanya itu, tetapi novel ini tidak menghina kewujudan Anak Muda itu, yakni remaja sebagai anak hingusan, tetapi watak-pembaca yang mempunyai perasaan dan keinginan, yang boleh berfikir dan mempunyai aspirasi diri yang mampu "menjajah dunia". Serius, ini antara sikap positif yang saya temui ada dalam novel ini yang mampu memberikan kepuasakan kepada pembaca remajanya.
Ketiga, novel ini boleh juga, akhirnya, dibaca dari sudut sebuah epik yang baik. Epik menurut definisi Kamus Kesusasteraan (DBP, 2015) ialah sebuah naratif yang mengisahkan pengembaraan atau kepahlawanan tokoh penting dalam sejarah atau tokoh yang menjadi legenda sesuatu bangsa atau sesebuah negara. Epik juga, seperti Odyssey mahupun Hikayat Seri Rama, mementingkan satu "perjalanan panjang" seorang watak pahlawan (hero) untuk mencapai sesuatu atau mendapat sesuatu akhirnya (tidak semestinya baik, kadangkala, seperti epik Barat, menerima tragedi) daripada jalan panjang kembara itu. Selalunya, kisah-kisah hikayat kita ditandai dengan si hero itu berkahwin dengan puteri raja atau menjadi raja sesebuah kerajaan. Inilah yang uniknya untuk novel ini yang mendasari sebab musabab Hang Tuah menjadi Hang Tuah yang kita kenal sekarang. Menarik lagi apabila Mohd. Nasir menggunakan gaya zero to hero, atau hero's journey yang biasa dalam kisah purba Yunani seperti Hercules atau semoden Star Wars bagi hero Luke Skywalker. Kita dapat meneliti dan merasai langkah demi langkah Anak Muda ini membina dirinya, sebagai seorang yang kental dan budiman, yang akhirnya diperakui sebagai seorang pendekar yang tiada tolok bandingannya, yang akhirnya memperlihatkan kewajarannya untuk ditabalkan oleh raja Melaka nanti sebagai laksamananya. Pembinaannya cukup terkawal, cukup logik dan dramanya. Hal ini dipaparkan dengan sungguh berkesan oleh pengarang dalam garapan Anak Muda itu dengan ilmu perkapalan yang menyelam masuk ke dalam jiwanya secara tiba-tiba apabila kapal yang dibawa oleh orang Melaka dari Makasar bakal dipukul oleh ribut maha hebat.
Menariknya lagi, epik yang dibina oleh pengarang novel ini cukup rencam intrik dan cabaran-cabarannya. Cabaran yang bermula kecil, mula membina "tanggungjawab maha berat" kepada Anak Muda, yang kemudian bercampur dengan politik dalaman istana yang kian kompleks. Ini memberi multilapisan, bukan sahaja kepada perkembangan kematangan Anak Muda (untuk, kita boleh jangka, mengharungi politik kompleks istana Melaka) tetapi juga menimbulkan pathos pada wataknya dan sisi sejarah manusia itu. Saya mendapati, hal ini disulam dengan begitu asyik dan teliti sekali oleh Mohd. Nasir, untuk membina bagaimana, Anak Muda, yang tika mendapati bahawa dia seorang anak raja, yang bukan sahaja berdaulat tapi mampu menjadi raja untuk kerajaannya yang diwarisinya, dia mahu "membuangnya" demi meneruskan hakikat hidupnya untuk sesuatu "yang lebih besar". Terdapat ironi yang sungguh menyentuh dan hiba di sini, sekali gus kebijaksanaan yang besar, bukan sahaja untuk menyamankan keadaan tegang antara Raja Gowa (yang melihat kemunculan Anak Muda sebagai pesaing utamanya menyatukan keseluruhan jajahan Makasar), tetapi dengan sedar, Anak Muda mematikan kerajaan warisannya sendiri! Hal ini jarang-jarang sekali diperkenalkan oleh mana-mana penulis kontemporari, dan ini sesuatu yang amat menarik dan "maju" untuk dilihat dari segi memaknakan sifat orang Melayu yang optimis meniti jalan hidup. Membuang sesuatu untuk menerima sesuatu yang lebih baik/besar, dan dalam hal Anak Muda ini, mengembara ke dunia Melayu yang serba luas, yang kita sedari, menjadi laksamana yang akan menjelajah dan menghubungi pelbagai dunia luar.
Hal ini ditambah pula dengan pengakhiran yang "mengejut" yang sungguh mencuit dalam novel ini, apabila pengarang dengan sengaja "memperkenalkan" musuh baharu Anak Muda/Hang Tuah ini dengan bersahaja dan ringkas. Hal ini mewajarkan jurang cabaran seterusnya yang akan dilangkahi oleh Anak Muda, setelah pelbagai cabaran yang dilaluinya, membuka persoalan yang lebih dewasa, kompleks dan genting.
Ini sebuah novel yang besar, yang seronok, dan masih boleh menghiburkan. Ini sebuah novel yang boleh mengubah jiwa pembacanya. Cukup genius dan cukup mengujakan! Antara novel terbaik Malaysia.
2 comments:
Tidak. Sayangnya novel ini tak mendapat apa-apa hadiahpun dalam anugerah sastera. Terima kasih Di atas review yang hebat.
Penulis novel ini Tuan Nasir Zainal Abidin bukan mereka2 kisah ini, tetapi ada kisah dari penulisannya yang sukar utk dijelaskan. Bila saya menyelidiki nama2 tempat di makasar sulawesi, masih ada tempat2 yang disebutkan di dalam novel tersebut. Dan ada juga tempat dinamakan sempena watak2 di dalam novel tersebut.
Post a Comment