Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, July 4, 2017

Awangku Merali dan Sentuhan Naratifnya yang Indah



Saya sedang meneliti (lebih kepada menyunting sebenarnya) kertas kajian kolokium, terjumpa karya Awangku Merali (Pg. Mohamed). Saya terpaksa ke PDM kerana pengkajinya tidak memasukkannya dalam senarai bibliografi, malah kutipan-kutipannya dibiarkan. Punyalah perit, apatah lagi saya yang bodoh ini baru hendak mengenal nama. Saya temui kajian karnyanya oleh Dr. Saleeh Rahamad dalam bentuk dalam talian juga artikel homaj dan pujian Roslan Jomel terhadapnya. Dengan bacaan itu, dapatlah saya menemui buku karyanya (PDM Kuala Lumpur tidak ada satu-satunya kumpulan cerpennya, Cerita dari Sebuah Taman [DBP,2001], hanya di PDM  DBP Cawangan Sarawak) dan menemui kesalahan ejaan dan fakta oleh pengkaji (pengkaji meletakkan Awangku lahir pada tahun 1954 mengikut buku Sayembara VIII: Cerpen Hadiah Esso-GAPENA, tetapi menurut kajian terkini, sebenarnya tahun 1953).

Seperti Roslan (mungkin), betapa saya jatuh hati dengan karangannya!

Pengkaji memilih cerpen Awangku, “Ber(se)lindung di Sebalik Gunung” sebagai hujah kekuatan kepengarangan Awangku. Mungkin ceritanya klise sekarang (persoalan sekumpulan Penan di Sarawak yang menghadapi kapitalisme pembalak dan pembangun atas lulusan kerajaan untuk membotakkan lembah leluhur Penan, Igan Sepuh) tetapi penceritaan, bentuk dan susunan dramatisnya, sehingga ke akhir titis tragedinya sungguh mengagumkan. Saya senang membaca teks prosa yang mengalir seperti air. Hanya sekumpulan pengarang kita mempunyai keistimewaan ini, dan mengejutkan, dengan teknik kompleks Awangku, aliran lancarnya kelihatan ligat dan mengalir baik. Terdapat tiga hingga empat lapisan kompleksiti naratifnya, tetapi Awangku Merali menyatukannya dengan begitu terikat indah, tidak terasa terganggu pembacaannya, dan emosinya terlintas baik menyentuh saya; terdapat suara peribadi-latar-fakta-dan persoalan (atau pengkritik kita suka menggunakan istilah “falsafah”) besar, hanya dengan menurut petikan teks di bawah:

Dan dalam ketidakmengertian itulah dia terasa akan kehilangan Ben, lelaki balar dari benua besar; yang tiba-tiba muncul dan tiba-tiba juga hilang; yang banyak bercakap tentang hak dan kebebasan, perjuangan dan pengorbanan; dan yang banyak klik! Klik! Klik! Di mana-mana  dia berada. Ben pandai bercerita dan berjenaka. “Rendah betul martabat manusia ini,” kata Ben. “Banyak-banyak manusia, mereka menyalib anak Tuhan!” Dia akan menunjukkan rantai salibnya. Jesus tersalib di palang. “Faustus juga aneh,” ceritanya. “Dia sanggup menyerahkan dirinya kepada syaitan untuk kesenangan di dunia. Tapi ini aku boleh mengerti.” Jau juga kemudian mengerti mengapa Faustus begitu. Baginya Faustus tidak punya harga diri. Wan dan Wong begitukah? Kadang-kadang dia panggil “James”, James Jau oleh Ben. Ben ... Ben ... Cerita-ceritamu membuat aku lupa akan Arin, Ijun dan Aweng. Tetapi, sepi kini terasa menusuk hingga ke tulang. Jau keluarkan satu gumpalan daripada lipatan siratnya. Dihidunya. Bau langir rambut Arin, masih sesegar dan sewangi dahulu; dahulu ketika dia mula-mula menyunting Arin di bawah rimbuhan pohon simpur yang sedang berbunga lebat. Bau langir rambutmu itu, isteriku, akan kubawa ke mana-mana!
(Awangku Merali, 1991:32)

Ben itu (saya hanya membacanya secara lalu) kiranya seorang Barat dari Amerika (benua besar) yang ini kita mengingati perjuangan-aktivisme Bruno Manser dalam pedalaman Penan yang pernah menjadi titik kontroversi antara kerajaan dengan individu tersebut (yang dihina-hina dalam akhbar media perdana, yang kemudian diserang oleh HM Tuah Iskandar akan sosok tersebut dalam novel remaja prokerajaannya, Pedamaran Penan), yang jelas seorang wartawan yang mendampingi kerabat kaum Jau. Kita menyedari juga Ben ini seorang Kristian yang moden dan kritis, dan menyampaikan “sindiran”nya terhadap naluri dan sikap sarwajagat manusia melalui analogi Jesus dan Faust (Faustus). Hal ini, dikaitkan pula dengan Wan dan Wong, orang tempatan yang “kapitalis” yang datang dengan projek pembalakan dan pembangunan, membunuh hutan pedalaman Sarawak. Ini menarik (Faust ialah Wan dan Wong) “yang tiada harga diri” dan “menjual diri kepada syaitan” – kritikan jelas Awangku terhadap kapitalisme dan pembangunan dalam dunia primitif tanpa mereka dibawa bersama untuk berbincang. Tujuan Awangku itulah yang jelas, bukan sahaja memanusiakan manusia primitif di dalam hutan (yang biasa ditulis oleh penulis Sarawak sekarang) tetapi memberikan mereka suatu kompleksiti akal, suatu dialektik akan persoalan-persoalan. Di sini, dengan jelas, dalam memahami imejan latar dunia orang lain (Barat), mereka menemui nilai (akan pembangunan, akan alam yang tidak terusik, akan cinta). Dan nilai, ini seperti alam, dirindui (seperti rindu asyik Jau akan isterinya). Kompleksiti ini bertambah apabila suara pandangan pertama dan ketiga bertemu, membuakkan pelbagai penelitian sudut (pengarang, kemudian kita, menjadi saksi- wartawan akan gerak hidup Jau dan kisah kaumnya). Menariknya, persoalan matinya Jesus di palang (terkorban) itu menjadi penanda pada tragedi yang akan menimpa seorang “pejuang” yang terkorban. Pemilihan ini menjadi menarik, bukan sahaja mengulang kata-kata Ben, “martabat manusia menjadi rendah kerana membunuh orang tidak bersalah-pejuang-orang benar” tetapi membentuk suatu harapan (selepas pembunuhan Jesus, agama Kristian berkembang) bahawa pendirian Jau-Ben ini akan menjadi kepercayaan dan sepatutnya, agama, terhadap alam dan penerusannya. Kemudian, Faust yang dikatakan Ben, manusia menyerahkan diri mereka kepada “syaitan” (metafora kepada dunia materialisme atau dunia moden atau gerakan melestarikannya) untuk kesenangan “di dunia”, yang jelas-jelas memancarkan persoalan perlumbaan materialisme, yang menujah jelas terhadap pihak Wan dan Wong (dan mengapa mereka sanggup menjual diri kepada “syaitan”), musuh terhadap kerabat Jau yang terkorban seperti Jesus tadi. Kedalaman ini hanya dibuat dengan “imbauan” pengarang-Jau, terhadap Ben, terhadap isterinya, orang-orang yang menjadikan perjuangan dan kepercayaannya “berharga” dan berbaloi untuk dikorbankan diri.


Dengan ini, saya ingin mencari teks dan suara Awangku Merali lagi. Saya, seperti Roslan Jomel, menjadi pengkagumnya, dan setuju, beliau merupakan antara pengarang prosa dari Sarawak yang terpenting dan sepatutnya dihargai.

5 comments:

huhuhu said...

Rasa nak cari jugak bukunya dan... buku HM Tuah tu. Hihi

Unknown said...

Salam saya nak tanya, tau tak agaknya mana saya nak dapatkan novel TIVI dgn Ranjau Sepanjang Jalan - Shahnon Ahmad? Kalau ada yang nak jual boleh contact saya hafizanmohd@gmail.com

terima kasih.

pelagus said...

Terima kash Sdr Fadzli al-Akiti atas tulis blog terhadap sebuah karya kecil saya dan ole penulis kecil dari tempĆ£o yang terpencil. Biodata saya serenar islas 18 Ojos 1953, sekarang menjawat Ketua Pegawai Operasi TEGAS, sebuah badan charitable fund dan karma saya sekarang adalah membangunkan potensi modal insan di Sarawak. Termina kasih.

fadz said...

Husein, ya baik, dipersilakan.

Hafizan, Ranjau Sepanjang Jalan rasanya Alaf21 masih menerbitkannya. Boleh rujuk web MPH atau Alaf21. Untuk Tivi pula, tunggu terbitan DBP yang akan keluar tidak lama lagi.

Bapak terhormat Awangku Merali, betapa rendah diri dan teleku saya bapak datang bertandang ke rumah serba daif ini. Saya sangat menunggu kerja-kerja seterusnya daripada bapak.

elmaaniq said...

Penulis skrip filem Anak Sarawak?