Oleh: Mohd Kasim Mahmud
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2012
Sinopsis:
Negara sedang berperang. Dr. Yana "dipaksa" bekerja dalam makmal rahsia kerajaan untuk mencipta suatu senjata biologi untuk digunakan dalam peperangan, atas arahan Profesor Gerago. Dalam masa ini, Dr. Yana menemui suatu bakteria baharu yang mungkin menjadi kunci menyelesaikan krisis peperangan. Pada masa yang sama, beberapa bahan eksperimen mula menunjukkan tindak balas yang tidak menyenangkan. Seorang pemuda juga turut tampil secara misteri dan membukakan rahsia yang akan mengejutkan sesiapa yang menyingkapnya.
Rasa:
Jujur sekali, novel ini, selepas membacanya, merupakan antara novel yang paling hancur dalam sejarah sayembara fiksyen sains. Dalam Inggeris, "it is such a mess it couldn't be mend". Awal-awal lagi, kita terasa terganggu dengan psikologi dan motif sebenar Dr. Yana yang sedia sanggup kekal dalam makmal rahsia apabila dia jelas-jelas menolak melakukan eskperimen merbahaya dalam makmal itu. Dan, penulis ini melakarkan, saintis dalam makmal suka menjerit-jerit, dan menerangkan hal-hal moral yang melanggar sikap keberadaan wataknya sendiri, seperti "Kita telah menjadi pembunuh, tau. Kita membunuh orang yang tak berdosa tanpa mengira usia." Namun selepas itu, dia teruskan eksperimennya, dan menjerit lagi (watak dalam novel ini banyak melatah dan terkejut) seperti "Kau penceroboh!"
Kesemua ini dapatlah dirumuskan, secara gaya bahasa buruk dan motif tunggang-langgang dengan kenyataan ini (hlm. 96):
"I telah membuktikan kehebatan I. Oleh itu, tenaga dan kepakaranku diperlukan oleh negara walaupun jiwa I menderita melakukannya..."
Ya, watak-watak saintis dalam novel ini mengalami skizofrenia. Melakukan satu perkara "melanggar moral", berasa bersalah, kemudian terus melakukannya, tidak memahami apa yang dilakukannya, tidak menyedari apa yang dilakukannya. Terus sahaja menidakkan siuman diri. Saya membayangkan novel ini bolehlah diadaptasikan sebagai sambungan kepada The Rocky Horror Picture Show ala Melayu.
Terlalu banyak kekeliruan, terlalu banyak penyimpang sebab akibat untuk difahami organik novel ini dapat memberikan sesuatu. Seeloknya, novel/manuskrip sebegini tidaklah elok dilayan pada masa-masa hadapan kerana akan membawa implikasi bahawa contoh sebegini "boleh lepas" untuk menang dan diterbitkan. Maruah sayembara ini akan dipersoalkan.
No comments:
Post a Comment