Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Thursday, February 13, 2014

Qalam Kalbu


Tajuk: Qalam Kalbu
Oleh: Sri Rahayu Mohd Yusop
Terbitan: ITBM
Tahun: 2013

Sinopsis:
Muhammad Azim, hafiz, pakar seni khat, mencari jawapan leluhurnya dalam surat-surat Branwynn Gwill, seorang wanita suruhan hidup tahun 1881 di sebuah rumah sakit jiwa di London. Gurunya, Haji Mus'ab mengambil perhitungan membawa Azim bersama-samanya ke London untuk masa hadapan anak perempuannya, membongkar surat-surat Branwyn dengan Tun Ahmad Basil, leluhur Azim. Mereka bukan sahaja membuka rahsia seni catan Pre-Raphaelite, tetapi sebuah kitab agung Melayu, Bidayat al-Qalam

Rasa:

Setelah selesai sahaja membaca novel ini, perasaan gembira dan hiba menusuk jiwa saya, suatu petanda saya telah membaca sebuah novel yang pandai memaut dirinya kepada sang pembaca.

Jika saya seorang pengulas Inggeris yang mengada-ngada, saya akan menulis begini: "An un-put-downable, exciting, edge of the seat, page turning novel that I haven't had the chance to read in years."

Ya, sebegitu jelasnya kekuatan novel ini menarik saya. Secara dasarnya, saya telah membaca sebuah novel romantik pascakolonial yang berkesan: latar sang Melayu (yang masih dijajah zaman era itu!) telah melawan balik secara memaparkan kekuatan, kehebatan, dan kebijaksanaannya menghadapi perangai telatah penjajahnya. Telatah si penjahat, seorang pencipta seni, Carstairs, menunjukkan sikap dekadennya, tamak, material dan melakukan segala-galanya untuk kepentingan dan kemasyhuran sendiri, dan dia, tersingap, sanggup membunuh dan menipu (Machiavelli?) untuk itu. Dua nilai ini bertembung, dan alangkah indahnya ia bertembung, dengan sentimen dan suara psikologi yang manis sekali.

Nilai Timur lawan Barat ini pula dimuafakatkan oleh watak moden Azim, Mus'ab, dan watak penyelidik seni, Dr. Monroe yang merupakan susur-galur cicit kepada Branwynn. Dr. Monroe jatuh cinta kepada keindahan seni kaligrafi Islam, yang dengan tidak sengaja, diagungkan oleh para pengkritik Barat lama era 1890-an dalam fiksyen ini sebagai "Saya terfikir jika wujud satu bentuk seni yang membawa makna dengan begitu jitu, seni yang merentas masa, merentas tempat dan perasaan, sehingga tidak perlu badan manusia untuk menggambarkannya." (Sri Rahayu: 167)  

Kenyataan itu mutlak jatuh dalam alunan seni khat Jawi-Arab-Islam (atau juga kaligrafi Cina? He he) yang ditemukan oleh Azim dan Mus'ab dengan begitu intim dan kuat sekali. Oleh sebab itu juga, saya tidak begitu bersetuju dengan kesengajaan ilustrasi wajah-tubuh yang berada di muka hadapan kulit novel ini (kalau mahu pun, lebih sesuai jika dicedok gaya tubuh Ophelia dalam pelbagai versi catan Pre-Raphaelite). Menariknya, pertemuan Timur-Barat ini menjadi suatu impian romantik Rahayu untuk blok Timur dan Barat melakukan rokonsiliasi (mengambil kata ucapan Najib Razak). Ah, dan inilah yang menarik, kerana Rahayu dengan bijak pula, melakarkan suatu konflik rusuhan perkauman yang sedang berlaku di tengah-tengah kota raya London sewaktu Azim dan Mus'ab ke sana, meningkatkan lagi kejutan dan tempo dramatik naratif ini.

Rahaya seperti seorang penulis yang tahu menghiris aksara dan frasanya, meletak tepat pada tempatnya, secara ekonomikal, menyusun cerita yang cukup mendebarkan, dengan susunan gaya advencer, menyingkap suatu bentuk penyiasatan (berkenaan manuskrip lama) dalam emosi, psikologi, drama dan gaya seorang Sidney Sheldon. Mungkin ramai yang tidak tahu, pendekatan "penulisan berbentuk popular" ini disengajakan, yakni ekonomikal dan terus, padat, tetapi ia menjadi dan menjurus laju, membawa sekali kisah dan suara wataknya pada suatu katarsis yang mengasyikkan.

Hanya, jika melihat dari sudut autentisiti dan ke mana novel ini dapat duduk elok dalam penjelmaan langgam surat dan kisah lama era Victoria Inggeris, saya tercari-cari juga. Jika saya bandingkan, contohnya, apa yang telah dilakukan oleh David Mitchell untuk Cloud Atlas, dengan merekayasa semula bibit gaya bahasa Inggeris lama dalam warkah dan jurnal (dan bagaimanakah kita menjelmakan semula bahasa lama Inggeris dalam bentuk Melayu, contohnya menjelmakan bahasa Bronte atau Austen), dengan suara orang lama, mungkin ini lebih baik. Saya mencari juga pengarang Inggeris klasik mana yang dijiwai Rahayu untuk itu. Tidak, Rahayu melakarkan dengan "menulis semua" seperti menulis sejarah baharu sendiri. Dan hal ini saya maafkan kerana Rahayu mempunyai strategi yang licik: Branwynn yang status sosialnya bawah daripada kelas bangsawan dan budayawan Inggeris telah "belajar" dengan Katherine, yang dianggap "gila" kerana menyelam dalam dunia keMelayuan. Lantas, bahasa dan langgam Branwynn juga menyadur setitip lenggok adat orang Melayu (yang menariknya, ekonomikal), malah jurnal dan suratnya dalam bahasa Melayu! Hal ini mungkin susah untuk dilogikkan (Branwynn sempat tinggal dengan Katherine untuk dua tahun dia belajar tentang budaya Melayu) namun saya akur. 

Hal ini adalah kerana Rahayu ingin menyindir teks dan dunia lama England dengan suara pascakolonial yang kuat, bahawa dari Timurlah datang "pencerahan sebenar" yang sesuai dengan maksud Islam (untuk semua orang) yang membawa mereka dalam kelas sosial bawahan di Barat kepada suatu maksud yang lebih dekat kepada kebebasan: menjadi insan. Dan menarik lagi, dengan sengaja, dunia eksotik yang dilihat oleh orang Barat terhadap Timur diterbalikkan. Dan Dr. Monroe serta leluhurnya Branwynn yang berjaya menyaksikan kehebatan dan rasional dunia Timur, melampaui nyata sains yang sentiasa kononnya wujud dalam dunia Barat yang mereka tahu. Kritikan Rahayu yang jelas inilah yang membuat karya ini istimewa.

Menarik lagi, semua watak Rahayu kali ini terletak dan penuh, bulat, dan terasa bermaksud dalam psikologi. Mereka manusia yang punya perasaan, dan betapa persaan itu dirasai. Saya turut bersorak untuk Tun Ahmad Basil, untuk Branwynn, untuk Azim dalam mereka menghadapi segala cabaran di hadapan mereka. Dan setiap perjalanan yang mereka buat itu melayangkan suatu kesimpulan yang cukup nikmat.

Hanya, penulisan Rahayu, saya kira, ada yang dilakukannya secara terburu-buru, mungkin kerana ruang masa yang tidak ada untuknya (beliau seorang guru, ini mesej keras untuk Kementerian supaya memberi para guru lebih banyak ruang mengkreatifkan diri mereka). Ada terasa beberapa bahagiannya, Rahayu berjalan melulu dan terus, tanpa terhenti dan berjeda. Hal ini berlaku lebih-lebih pada bahagian hendak ke klimaks (rujuk bagaimana teratur dan tersusunnya prolog Rahayu jika dibandingkan dengan bahgaian-bahagian di London ini). Maka hasilnya kelihatan sedilit terburu-buru. Malah teks warkah, jurnal dan laporan bercampur-campur dan terus pada teks naratif, hal ini mungkin merimaskan pembaca.

Saya tahu lidah Rahayu, dia seperti saya. Saya berfikir dalam Inggeris dan menulis dalam Melayu. Jadi kadang-kadang hal itu janggal dalam mata Melayu. Terdapat ungkapan "ini mesti bagus" yang ditranslerasi daripada "this must be good" dalam teks (dialog seorang Inggeris) yang mungkin diterjemahkan dengan suara kata yang lebih sesuai untuk lidah Melayu. Namun hal ini tidak menyusahkan pembacaan saya.

Sri Rahayu sudah membuktikan, beliau antara novelis Malaysia paling menarik sekarang dan harus diteliti.

3 comments:

srirahayumohdyusop said...

Salam saudara Fadli al-Akiti,

Mengetahui bagaimana kerasnya anda boleh mengkritik karya tanpa pilih kasih (Equilibria = A Razak Mohideen), saya terharu dengan reviu ini. Terima kasih banyak. Semoga sokongan mendapat rahmat Allah kerana manusia kadangkala tidak mampu membalas budi manusia.

fadz said...

Salam Kak Sri, Equilibria tu saya berlembut sebenarnya :) Kalau saya kasar, lain pula gayanya :)

Tetamu Istimewa said...

Saya belum sempat membacanya lagi.