Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, February 23, 2014

The Genesis of the Novel in Thailand


Tajuk: The Genesis of the Novel in Thailand
Oleh: Wibha Senanan
Terbitan: Thai Watana Panich
Tahun: 1975

Sinopsis:
Buku kajian berkenaan sejarah permulaan dan peredaran pembinaan karya novel dalam susastera Thailand, melihat bagaimana evolusinya dalam rangkap perbendaharaan Thai, dengan penggerak dan pembinanya, sampai kepada tokoh-tokoh sasterawan terkemuka yang meraikannya. Beberapa novel awal moden Thai turut dikritik dalam kefahaman kepentingan dan kemahuan zaman. 

Rasa:

Jika dibandingkan dengan sastera kita, susastera Thai jauh lebih "muda" dalam konteks pembaharuan karya. Asalnya, sastera Thai pun banyak meminjam daripada sisi kisah mitos dan kisah rakyat lisan Mon-Khmer, yang dari situ suatu puisi tradisional dan drama (seperti makyung) ditemukan. Dunia prosa apatah lagi, tidak seperti karya Melayu-Nusantara yang punya penjilidan hikayat dan teks sejarah seawal abad ke-13. Thailand berlainan sedikit.

Masyarakat Thai itu sendiri bercampur, mungkin merupakan antara masyarakat muda setelah Melayu, Mon, Khmer dan beberapa lagi masyarakat asal Asia Tenggara. Thailand itu sendiri mempunyai dalam empat dinasti pemerintah yang berlainan siratan keluarga dan kemasukan kaum lain (jika di Tanah Melayu, seperti kehadiran pengaruh Aceh, Bugis, setelah kejatuhan Melaka). Kebanyakannya pengaruh Cina dari Selatan Cina, yang memenuhi perluasan Vietnam, Laos dan utara Thailand sekarang.

Jadi tidak asinglah apabila antara "novel" pertama yang dihasilkan di tanah Thai awal dahulu (yang kita kenali waktu itu sebagai Siam) ialah saduran Hikayat Tiga Negara (Romance of the Three Kingdom) yang dikenali sebagai Samkok pada 1865. Hal ini pun dilakukan oleh Raja Thai Dinasti Chakri yang jelas punya darah keturunan Cina dan segala budaya Cina itu disadur masukkan ke dalam kebudayaan dan tertib hidup orang Thai lama, malah novel ini diangkat antara novel terkemuka Thai lama. Hal ini menarik dalam kefahaman perkaitan, walaupun berlainan bahasa namun kedekatan falsafah dan budaya Sino, yakni ruang tebar serata tanah besar China, yakni Korea dan Jepun yang turut menyalin dan menyadur hikayat besar ini sebagai satu daripada teks susastera mereka dalam bahasa mereka jua. Hal ini disaksikan sebagai suatu transisi moden jika dibandingkan dengan hasil kisah Buddha lama dan hikayat Jataka (fabel kisah pengajaran daripada ajaran Buddha) yang dibukukan dan digunakan di kuil dan biara Buddha dengan gaya tulisan atas batu ataupun daun lontar.

Sudah tentu, seperti mana kita, raja Thai memainkan peranan penting dalam penyampaian dan perkembangan sastera, walaupun kemunculan percetakan sebenarnya yang telah merevolusikan suatu budaya baca yang lebih masyarakat. Mubaligh Kristian yang menghampiri Bangkok yang telah memperkenalkan mesin teknologi ini, yang mana, secara seloroh dilihat dalam sejarah, bukan agama Kristian yang dirangkul dengan mesra oleh orang Siam, tetapi kemunculan majalah dan surat khabar yang diperkenalkan oleh mubaligh itu. Malah beberapa anak raja dan bangsawan Siam telah merancakkan lagi percetakan majalah dan akhbar, lalu memunculkan penulisan prosa, akibat daripada kebanyakan anak raja ini yang belajar dari Eropah lalu membawa balik penulisan prosa gaya moden.

Kita meletakkan prosa moden kita berlaku dengan Hikayat Abdullah pada 1849, suatu karya asli dan memungkinkan perubahan gaya penulisan hikayat dahulu pada bentuk baharu, walaupun lebih kepada sifat kewartawanan. Dunia novel moden Thai pula berlaku dalam Luk Phucai oleh sasterawan terkenal, Kulap Saipradit (dengan nama penanya, Si Burapha) pada tahun 1928. Novel awalnya jelas meninggalkan kisah klasik istana dan raja-raja (walaupun banyak cerita rakyat juga dipenuhi rakyat biasa sebagai watak utama) dengan persoalan sosial yang lebih mendalam walaupun kebahasaannya masih mudah dan simplsitik (malah menyamai novel popular kita). Sehinggalah kehadiran penulisan novel sofistikated, Lakon Haeng Chiwit yang ditulis oleh Putera Akatdamkoeng Raphiphat, anak saudara dekat dengan Raja Thailand waktu itu. Lagi menariknya, gaya novel Thai sebenarnya, seperti kisah penulisan anak raja ini, diterbitkan dalam majalah dan diikuti secara bersiri, mengambil masa bertahun untuk habis, lalu kemudiannya baru dibukukan (Akatdamkoeng sebenarnya sudah menghasilkan prosa fiksyen ini seawal terbitan novel Luk Phucai). Hal ini mengejutkan kerana tradisi sedemikian saya tahu timbul dalam pengalaman sejarah kita (tidak silap saya, seperti hasil bersiri Ahmad Kotot dan Abdullah Munsyi sendiri) tetapi tidak begitu tersedar dan berpengaruh, malah mengejutkan, tradisi ini menyamai era abad awal ke-19 sewaktu sasterawan Inggeris seperti Charles Dickens yang menghasilkan prosa panjangnya bersiri lalu kemudian dibukukan (kerana amat popular). Yang menariknya, hasil prosa bersiri ini masih kuat dalam tradisi fiksyen Thailand, bermaksud bahawa kebanyakan akhbar dan majalah Thailand masih menyairkan cerita bersiri ini, yang kemudiannya dilihat jika popular, akan dijilidkan. 

Dengan begitu sahaja, dunia prosa Thai tidak meletakkan sifat perpecahan antara "novel popular" dengan "novel sastera", seperti kita yang terlalu banyak mengkotakkan popular/sastera/picisan/indie dan pelbagai. Sudah tentu, fenomena ini menarik dan mempunyai kelemahannya sendiri di Thailand.

Namun begitu, pengarang kajian ini melakukan suatu penelitian yang menarik tentang perkembangan penulisan prosa di Thailand dan apakah cabaran yang dihadapinya, termasuk pengaruh dan pencampuran urusan raja dan politik terhadapnya. Menarik lagi apabila Wibha dengan teliti telah menganalisis kekuatan naratif prosa novel moden awal 1920-an Thailand (yang dikatakannya, baru rasmi sebagai suatu novel) dengan kefahaman sosial dan sejarah. Suatu perkembangan kematangan jelas dipertunjukkan, dengan teliti bagaimana alam penulisan yang cukup menarik dan menyalin hal luar telah sedikit demi sedikit, menyampaikan pembentukan jati diri sendiri. 

Menarik lagi, Wibha melaporkan cara penulisan sinopsis filem yang panjang dari filem-filem luar (Hong Kong, Hollywood, dan India) juga telah menyumbangkan proses pengenalan terhadap "prosa moden" kepada pembaca Thai. Hal ini kerana kebanyakan filem yang ditayangkan di bandar Thailand tidak mempunyai sari kata, maka terdapat "buku filem" yang dijaul bersama-sama sewaktu tayangan untuk mempermudahkan penonton memahami jalan cerita. Penulis atau penterjemah ini kebanyakannya mendapat skrip filem tersebut lalu diusahakan untuk penterjemahan. Wibha menyatakan hal ini dengan jelas sebagai pengaruh kuat kerana masyarakat Thai menyenangi visual dan persembahan (mereka lebih dekat kepada drama, dan ini membuka persoalan jika masyarakat kita juga begitu). Dan sebab itulah kebanyakan naratif awal lebih berbentuk skrip dialog, sehinggalah kehadiran penulisan prosa Akatdamkoeng memberikan gambaran baharu terhadap suatu tradisi penulisan yang agak biasa kepada orang Thai waktu itu.

1 comment:

A. Razak Adam said...

Tahniah atas ulasan yang baik ini. Tradisi penulisan pada peringkat awal lebih berpihak kepada mereka yang tinggal atau rapat dengan pihak istana kerana kebolehan membaca dan menulis pada peringkat awal lebih dimonopoli golongan istana. Manakala tradisi lisan dimonopoli oleh golongan rakyat biasa. Hal ini bersangkut dengan keinginan rakyat biasa atau suatu cara escapism daripada kehidupan mereka yang sukar.