Suatu persoalan diangkat oleh seorang sahabat di Facebook. Katanya, "Kritikan sudah mati." Mula-mulanya saya tidak ambil pusing, kerana dilihat dalam media sosial dan blog, dunia itu tetap juga berlaku, walaupun mungkin kecil, pendek dan mungkin dangkal. Namun lama-kelemaan, saya merenung persoalan meruncing tersebut yang diperkatakan. Memang, jika mahu mencari kritikan yang dapat disahkan sebagai kuat dan bernilai, itu susah dalam tilikan beberapa blog semasa. Malah kita tidak dapat mengambil sepenuhnya penulisan "ulasan" pendek-pendek pembaca kita dalam Goodreads sebagai ulasan impak tinggi, jika kita mahu membandingkan dengan penulisan ulasan daripada kawan pembaca kita dari Indonesia. Jadi hal kritikan ini memang patut diambil khuatir.
Jika dilihat pun, entah berapa banyak ruang yang dapat ditampung oleh Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Dan mungkin juga Dewan Siswa. Itu pun mengikut keperluan dan maksud skop pembacanya. Kalau akhbar sudah tentu sekejap-sekejap baru diperlihatkan suatu kritikan menarik, itupun masih berjalan dalam Utusan tapi tidak mungkin Berita Harian (yang jelas ruangannya terhad dan lebih bersifat pojok). Akhbar lain seperti Sinar Harian hanya memberikan ulasan promosi, dan sudah tentu kepada penerbitannya.
Maka, suatu persoalan lagi yang meruncing, kerana bentuk lazim dunia penerbitan sekarang atas nama pemasaran: setiap penerbitan akan cuba mengangkat penerbitannya, maka majalah DBP hanya cuba mengulas bukunya, majalah MPH akan mengulas bukunya, majalah ITBM akan mengangkat bukunya, dan akhbar Karangkraf akan mengulas bukunya. Kita bermain dalam padang kita sahaja, dan sekali-sekala apabila terdapat rasa keperluan untuk meneliti buku lain, barulah diberikan ruang. Hal yang sebegini seharusnya dijauhi, namun indah khabar daripada rupa.
Saya tidak faham dengan rintihan orang lama, kononnya zaman dahulu, kritikan begitu banyak. Benarkah begitu? Setahu saya, memang, banyak sahaja akhbar yang memberi ruang untuk apa-apa buku diperkatakan (dalam gaya biasa, rengekan dan juga akademik), itu saya tahu berlaku sedari zaman A. Samad Ismail. Majalah mengisi ruang yang lebih sofistikated, Dewan Masyarakat misalnya, menjadi tunjang kerana banyak majalah tidak ke situ lagi (malah jurnal Dewan Bahasa pun, waktu itu, Dewan Sastera belum muncul). Namun mereka perlu menyedari sesuatu: era itu buku tidak bertimbun seperti sekarang, tidak terbit semahu-mahunya dan tidak ada penerbitan swasta yang banyak, malah sekarang, banyak penerbitan bebas yang kini mengambil banyak ruang penerbitan swasta.
Oleh sebab itu, saya gembira apabila terdengar bahawa pihak persatuan penulis akan menghadirkan suatu jurnal kritikan yang mungkin berkala untuk memasuki alam yang kontang ini. Jasa pihak persatuan ini dipuji, namun kita berdebar, kerana selalunya, kerja berkala dalam persatuan cepat tersadung di tepi jalan, entah kerana politik dalaman, stamina, atau tenaga kerja (kerana kerjanya sukarelawan). Saya sudah lihat beberapa majalah yang berkala hanya setahun, dan kadangkala satu isu. Saya menunggu majalah GAPENA seterusnya yang tidak kunjung tiba. Saya sedar ini, kerja majalah perbukuan ini tidak selaris majalah dedah aurat artis dan masakan resepi. Itu jelas sedari, mana-mana dunia pun. Namun perlu ada, perlu ada.
Kalau ruang penerbitan jurnal universiti itu tidak perlulah dilihat, bukan sahaja ia beransur dalam lingkuangan para akademik sahaja, kadang-kadang ruang ulasan bukunya terhad, malah, mungkin juga, sekali lagi, mengulas buku yang diterbitkan oleh penerbitan universiti itu sendiri.
Setiap satunya bermain dalam padang permainan sendiri.
Maka saya terfikir, tidak adakah majalah yang dapat dicipta, secara bersiri, yang bergerak seperti Kirkus Review, Book Literary Review, atau beberapa majalah ulasan buku lain yang berada dalam pasaran Barat? Ruang majalah itu secara berkala akan mengisi setiap jenis buku penerbitan, daripada fiksyen-sastera, kepada biografi, sains, agama, falsafah, sejarah, dan pembagai bidang, mengikut keperluan. Saya dimaklumkan tentang Sari Buku yang pernah diterbitkan DBP dahulu mempunyai potensi ini, namun seperti biasa, terkandas di tengah jalan apabila berubah kepimpinan. Ada yang bertanya, untuk apa majalah-majalah sebegini. Atas sebab itulah kita perlu meneliti "industri" buku yang sebenar-benarnya seperti di Barat, mahu tidak mahu. Majalah ini memang bukan masyarakat biasa membelinya, ada sektor tertentu, tetapi penting untuk sektor tertentu itu memilikinya.
Pertama sudah tentu penulis. Penulis akan mengikuti apa yang diperkatakan oleh para pakar/pengkritik terhadap bukunya, masing-masing dengan disiplin masing-masing. Penulis yang mempunyai ejen sudah tentu akan megumpulkan hasil kritikan ini untuk disampaikan kepada editor untuk cetakan buku itu yang seterusnya. Di sinilah kemunculan petikan-petikan yang kita lihat ada dalam buku cetakan nipis/seterusnya seseorang penulis, bukan seperti di Malaysia yang mana para penulis sendiri mencari-cari "pengulas" untuk memberikan petikan khusus untuk terbitan buku edisi pertama, seperti petikan khusus A. Samad Said buat novel Ayat-ayat Cinta versi Malaysia.
Kedua sudah tentu penerbit dan editor itu sendiri, yang mengikuti hasil "mutu" karya mereka (yang sudah tentu subjektif), mengikut andaian dan kefahaman pengkritik. Hal ini penting buat penerbit sebagai kuasa pemasaran, bila ada petikan menarik yang akan melonjakkan hasil karya yang mereka keluarkan. Di sini, proses pemasaran mengambil alih kepentingan kritikan untuk meneruskan penjualan. Dari sini juga, pihak penerbit akan dapat memastikan kalangan dan golongan mana yang perlu mereka dekati untuk menjual buku tersebut, dan di sinilah akan berlaku perubahan kulit atas mengikut kupasan kritikan. Hal ini berlaku dengan novel bersiri Harry Potter apabila terhadap dua "edisi" dengan isi yang sama tetapi kulit berlainan, dewasa dan remaja/kanak-kanak apabila kebanyakan pengkritik menyatakan bagaimana karya kanak-kanak itu dapat disenangi pembaca matang walaupun skop penulis untuk pembaca muda.
Ketiga ejen sastera/persuratan, yang kita tidak ada. Ejen ini akan meneliti karya penulis muda yang diangkat oleh pengkritik, lalu ejen ini akan berlumba-lumba untuk memohon penulis tersebut untuk menulis dengan penerbitan yang mewakili mereka. Ejen inilah yang akan menemukan penulis tersebut dengan editor yang sesuai. Ejen ini jugalah yang merancangkan kebangkitan penulis tersebut, dengan laluannya untuk anugerah atau penyiaran. Jika ada hal semasa yang dapat dikaitkan, ejen ini yang menjadi penyokong dari belakang. Contohnya, ejen itu ingin mengangkat seorang penulis yang sudah dinampakkan berbakat, lantas apabila kritikan sudah keluar, ejen inilah yang akan mencanangkan kepada pihak tertentu, panel pemilih hadiah misalnya, berkenaan kritikan baik yang didapati dalam karya penulis itu. Lalu ini menimbulkan kepedulian untuk pembaca sastera mencari tulisan tersebut, yang berkemungkinan sampai kepada masyarakat.
Keempat vendor atau penjual buku itu sendiri. Atas sebab itu kita perhatikan mengapa Amazon.com mengambil inisiatif besar untuk melekapkan pelbagai pujian daripada beberapa kritikan terhadap buku yang dijualnya (dan teliti betapa kontangnya web jual yang kita ada, dan tidak perlu pergi jauh, teliti web jual buku indie sahaja, ada petikan kritikan?) Semuanya atas cara untuk menarik masyarakat untuk membeli buku tersebut. Hal ini juga yang berlaku di kedai buku luar negara apabila sebuah buku diperkatakan hebat, buku itulah yang akan masuk dalam ruang rekomendasi mereka atau diletakkan pada ruang paling hadapan kedai buku itu, dan kadang-kadang disertakan sekali ulasan ringkas pengkritik itu terhadap karya itu.
Kelima para pustakawan yang sebenarnya perlu meneliti buku apa yang sesuai untuk mereka beli untuk diisi dalam rak kosong perpustakaan mereka. Di sini, para pustakawan dengan teliti akan membuat perkiraan jika sesuai membeli buku tersebut dengan peranan perpustakaan itu (perpustakaan awam sudah tentu berbeza dengan perpustakaan sekolah dan perpustakaan negara). Malah buku yang "bermutu" dan sesuai dengan kategori yang sedia ada sudah tentu akan diperhatikan. Malah di sini, pustakawan akan mula merancang untuk mengangkat buku-buku tertentu mengikut, mungkin penulisnya orang tempatan atau asal kampung itu, atau mempunyai perkaitan semasa dengan tempat tersebut.
Keenam para pengkritik sendiri, yang sememangnya menjadi panel pemilih untuk hadiah, dan lebih penting daripada itu, mereka secara lalu dapat melihat perkembangan yang sedang berlaku dalam penulisan, mengikut kategorinya (sastera dengan sasteranya, sains dengan sainsnya), jika ada perkembangan baik atau sebaliknya dalam pebukuan. Hal ini menjadi titik holistik dalam kehadiran persuratan, dan sekali gus dapat menentukan mutu kandungan dan pencapaian pengarang tahun itu. Di sini barulah kita dengan benar-benar dapat meneliti dengan adil tentang kekuatan/kelemahan karya sastera/popular, kerana setiap satu karya diadili atas nama teks, bukan dipecah-pecahkan pada dua ruang yang berbeza. Malah ada majalah Barat yang menyatukannya, seperti Kirkus sebagai kesusasteraan-fiksyen.
Ketujuh para peminat sastera/buku. Masyarakat. Ya, mungkin kumpulannya kecil, namun percayalah kemunculan bibiloholik ini sudah mula kaya era sekarang di Malaysia. Merekalah, yang mengisi ruang-ruang kosong Goodreads, Shelfari dan entah apa-apa lagi dengan bicara mereka tentang buku. Mereka sentiasa tajam dan celik tentang buku apa yang berada sekarang, dan sudah tentu dengan ada majalah sebegini, menjadi bahan bacaan utama mereka untuk mereka teliti buku apa yang perlu mereka beli untuk penambahan baca yang seterusnya.
Cara dilakukan pula menarik, ada yang diserahkan oleh penerbit/editor kepada pengkritik/tuan majalah kritikan itu sewakut buku itu baru saja menemui dunai luar (orang dalam buku panggil, "keluar dari ketuhar"), namun jika perkiraan untuk mengangkat penulis itu tinggi, editor akan mengirimkan bahan naskhah sedia cetak (peringkat terakhir selepas selesai pruf) kepada pengkritik untuk pembacaan mereka agar kehadiran buku itu "lebih awal sebulan" daripada biasa, dan selalunya ini untuk penerbitan berimpak tinggi. Dengan inilah, berlaku kerja peperangan dan politik antara penerbit-pengkritik-penulis-masyarakat, namun ini hal lain pula. Setakat ini, saya melihat pihak Kota Bukulah yang menjadi tempat paling sesuai untuk menghidupkan majalah serupa ini. Malah, seeloknya majalah ini dibiarkan sahaja dalam talian agar sifat aksesnya lebih meluas dan melanggar sempadan fizikal biasa.
Cara dilakukan pula menarik, ada yang diserahkan oleh penerbit/editor kepada pengkritik/tuan majalah kritikan itu sewakut buku itu baru saja menemui dunai luar (orang dalam buku panggil, "keluar dari ketuhar"), namun jika perkiraan untuk mengangkat penulis itu tinggi, editor akan mengirimkan bahan naskhah sedia cetak (peringkat terakhir selepas selesai pruf) kepada pengkritik untuk pembacaan mereka agar kehadiran buku itu "lebih awal sebulan" daripada biasa, dan selalunya ini untuk penerbitan berimpak tinggi. Dengan inilah, berlaku kerja peperangan dan politik antara penerbit-pengkritik-penulis-masyarakat, namun ini hal lain pula. Setakat ini, saya melihat pihak Kota Bukulah yang menjadi tempat paling sesuai untuk menghidupkan majalah serupa ini. Malah, seeloknya majalah ini dibiarkan sahaja dalam talian agar sifat aksesnya lebih meluas dan melanggar sempadan fizikal biasa.
Namun di Malaysia, hal buku kita dikritik sudah meloncat itu kira belum mematangkan diri kita. Ya, kita boleh marah sebagai penulis, tetapi mereka yang mengkritik juga berhak ke atas karya kita, dan selalunya, kita membalas dengan surat, atau menjawabnya dengan karya kita yang baharu. Itu lebih baik (jika ada yang mengambil tindakan Dermot Hoggins dalam Cloud Atlas, saya tidak tahu). Sudah-sudahlah. Kritikan itu bukan istilah negatif, hanya kerana bertahun-tahun kritikan filem asyik membanti filem tempatan kita sudah tersasul melihat maksud sebenar kritikan. Mereka yang hidup dalam dunia pebukuan ini seharusnya membuang perasaan busuk hati jika buku terbitan mereka dihentam, kerana sudah tentu ada pengkritik yang mengangkat, ini hal kebiasaan dan inilah pemasaran. Jika perspektif ini sahaja kita masih terperangkap, dengan sikap yang begitu peribadi terhadap pengkritik, maka usahlah kita terfikir untuk bergerak terus ke hadapan dalam dunia pebukuan kita.
4 comments:
Saya menghargai artikel ini. Saya juga mencadangkan ada pihak - akhbar, majalah yang membayar penulis kritikan dengan setimpal dan cepat. Kalau penulis boleh menang ribu-ribu dan penerbit mengaut keuntungan, penulis kritikan juga mesti diberi ganjaran atas kerja yang mereka laksanakan. Kalau satu artikel kritikan sepanjang 1000-2000 perkataan harganya RM 500 dan cek sampai paling lewat sebulan selepas kritikan disiarkan, barulah ramai penulis/ pembaca menulis kritikan - boleh pakat lagi, kau kritik aku, aku kritik kau. IMHO
Bidang kritikan itu sendiri merupakan bidang yang tatatingkatnya lebih tinggi daripada penghasilan karya itu sendiri( ini pandangan peribadi mungkin ada yang tidak bersetuju). Justru ilmu mengkritik perlu dipelajari dan bukannya boleh dianggap remeh. Mencari mereka yang serius(untuk mengkritik dengan ilmu kritikan yang dipelajari) juga agak sukar dewasa ini namun ini tidak bermakna bidang kritikan ini harus dibiarkan sahaja. Perkara ini harus diambil perhatian oleh badan penulis, DBP dan penerbit bagi melatih pengkritik dan memudahkan penerbitan karya kritikan agar apa yang dihasratkan melalui penulisan artikel ini akan terlaksana.
Salam Tuan Editor,
Hamba berusia 54 tahun Mac ini,telah berumahtangga,mempunyai dua orang isteri,dan seorang anak laki-laki,kerap menghantar karya-karya puisi dan cerpen hamba ke akhbar-akhbar dan majalah-majalah sastera.Setakat ini semua karya-karya hamba belum pernah diterbitkan.
Di sini hamba ingin bertanyakan Tuan,apakah garis panduan yang memisahkan penulisan 'indie' dengan sastera?Hamba risau dan takut apa yang hamba tulis selama ini keruh terarah ke arah penulisan 'indie' yang menolak citra budaya Timur.
Salam Mujahid, tiada penindasan yg dilakukan terhadap "Sastera indie" dengan "sastera perdana". Jika teks itu bagus dan bukan biasa atau basi, insya-Allah akan diterima untuk penyiaran.
Post a Comment