Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, February 5, 2014

Keadaan Hangat Sudah Terasa


Isu kesuraman filem Malaysia dengan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang juga menghantar libasannya kepada industri pembukuan. Maksud saya, industrinya juga mendapat tempias terhadap ketidaktentuan ekonomi sekarang. Kita kini sedang memasuki, seperti yang jelas diucapkan oleh Najib (dan beliau tidak main-main), era kangkung. Maksudnya, kita perlu meneliti hal-hal yang tidak ternampakkan dalam keadaan yang sangat mendesak sekarang.

Saya ada bertemu dengan saudara yang bekerja di sebuah syarikat buku besar. Pandangannya menarik untuk melihat buku apa sebenarnya yang masyarakat umum inginkan. Dengan jelas dia menyatakan, letaklah tiga kategori ini, dan tiga kategori ini, jika dijual kepada sesiapa dan di mana-mana, mesti jual. Dia melakukan kerja penjualan kepada pihak korporat. Jika "novel cinta", "buku agama", dan "buku resepi" dipamerkan, buku-buku inilah yang akan terjual dahulu. Saya bertanya juga, apa pula buku-buku sastera, baik bahasa Inggeris mahupun Melayu. Saudara saya membuat mimik muka yang perih: buku-buku itulah yang payah hendak dijual, betapa pun dibawa bersama-sama. Kemudian saya bertanya bagaimana pula dengan buku indie? Buku-buku indie "ada" yang terjual, ada pembelinya, sama menarik, tetapi masih kurang setaraf sambutan kuat novel cinta (yang senang habis jika diletakkan di ruang pameran). Namun menariknya, dia menambah, buku-buku indie semacam mempunyai gerakannya, dalam istilah Inggeris, terdapat "turnaround", yang mana sentiasa ada penjualan, walaupun mungkin tidak sederas novel cinta.

Saya berkira juga, apa lagi yang perlu dilakukan oleh penjual buku sastera untuk "laku", atau ia tersedia begitu, akan ada yang membeli jika terasa ingin membeli, jika tidak ia tetap elok duduk di rak kedai buku melihat orang lalu-lalang di sebelahnya.

Saya kira, keadaan berani ITBM dalam memperbaharui bentuk dan wajah kulitnya, serta agak agresif (jika dibandingkan dengan pemasaran DBP) menjual terasa juga impaknya (di sebuah festival buku indie di Johor Bahru tahun lepas, ITBM turut serta menjual bukunya, bayangkan!) Mungkin tidak sederas novel cinta ataupun indie, tetapi kehadirannya amat terasa, dan membelek di kedia buku, ada juga buku-bukunya yang hilang daripada rak letak. Malah dengan jelas, ada seorang pembaca memberi reaksi ini dalam twitter: ITBM sangat tahu mendekati orang muda, fasal itu kami beli bukunya.

Hal ini menjadi persoalan, kerana saya dikhabarkan sebuah penerbitan besar yang dahulunya bersebelahan DBP, yang gah dengan buku-buku sasteranya, kini dalam keadaan yang nazak. Saya terasa sedih, mendengarkan nasib masa hadapan kawan-kawan yang berada di dalamnya, sudah berapa lama mereka berjuang, laku akhirnya, beginilah. Di manakah salahnya? Di manakah kelemahannya?

Saya sedang melihat pada diri saya sendiri. Jika pihak-pihak tertentu tidak lagi menyedari sesuatu yang perlu dilakukan dalam ruang promosi, entahlah, berapa lama lagi hendak bertahan? Ada juga yang menyatakan, salah penerbit itu juga yang tidak merancakkan pemasarannya, tidak mencari ruang-ruang dan strategi baharu pemasaran. Penulis mau cari di kedai buku pun susah. Hal ini mungkin dapatlah dilihat pada kredibiliti yang tangkas dalam dunia indie, yang dahulunya berbentuk hanya serpihan dan kalangan kolektif, kini berjaya menangkap rak-rak dan kabinet kedai buku besar seperti di KLCC. Lihat sahaja, pertama, idea menjualnya dalam talian. Bahasa anak-anak muda sekarang yang digunakan (DBP jauh sekali dapat mencuba gaya ini), yang dekat pada anak muda. Kemudian, setiap karyanya ada bajunya, seakan-akan si pembaca dapat juga memakai "karya" itu (dahulu, saya suka bikin kemeja-T sendiri dengan judul-judul buku sastera yang saya suka, semuanya sudah lunyai), dan paling penting, akan sentiasa ada (walaupun tidak ramai membeli) gerakan para indie, setiap minggu untuk pusing berjerayawara, menjual produk mereka ke sekolah dan universiti. Si penerbit juga si editor dan si penulis. Dia tidak lagi menjual burger, tapi buku.

Jerayawara yang mungkin dilakukan oleh syarikat buku sastera arus perdana, mungkin boleh dikira dalam setahun, semuanya kerana terfikir kos. Mungkin terfikir pita merah, berapa kertas cadangan dan berapa memo yang perlu dikeluarkan, mungkin terfikir berapa mesyuarat yang perlu digerakkan sebelum acara itu dimulakan. Saya tertanya juga, jadi budak indie ini dibayarkah untuk jelajah? Jadi budak indie ini bermesyuaratkah dengan kopi panas dengan kertas cadangan di atas meja? Saya kira, tidak. Atas kepuasan diri sendiri bertemu manusia. Mungkin. Mungkin inilah yang kita dahagakan dan terkurang. 

Jadi bila lagikah buku sastera hendak menjelajah?

1 comment:

Anonymous said...

1. Novel cinta memang mudah di jual berbanding buku wacana. Ini saya akui kerana saya seorang penjual buku.


2. Gerakan penjual oleh penerbit indie memang baik sekali. Tapi malang buat ejen. Ejen buku indie terpaksa bersaing dengan penerbit buku indie untuk mendapatkan pelanggan.

Contoh: Fixi buat 6 pack dengan memberi diskaun gila-gila. Syarikat indie lain buat promosi 3 buku RM 50.00. Ejen tak dapat cari makan. Mereka buat road tour ke serata tempat. Banyak kali saya tak sertai karnival kerana mereka (penerbit indie) turut buka booth.

Lagipun di zaman siber, pembaca lebih prefer beli online dengan penerbit. Siapa lagi nak beli dengan ejen? Saya sudah berniaga hampir 4 tahun dan sedang berfikir untuk berhenti jual buku.

3. Tapi kerana minat saya masih menaruh harapan dan mengumpul modal untuk membuka sebuah kedai walaupun banyak kedai buku yang sudah gulung tikar.

4. Saya ingin menjual buku-buku serius (berwacana) terbitan universiti tapi seperti sedia maklum buku-buku berwacana tidak mendapat tempat. Begitu juga dengan buku sastera serius (misalnya Merapat Renggang - tidak ramai berminat untuk membeli.

5. Saya suka ITBM tapi saya rasakan ITBM masih tidak dapat menandingi kualiti DBP.

6. Buku teks khabarnya akan ada versi digital. Kedai buku akan pupus agaknya tak lama lagi. Dan impian saya akan terkubur.