Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, January 5, 2014

Detik-detik Diri di Daerah Daif


Tajuk: Detik-detik Diri di Daerah DaifOleh: Shahnon Ahmad
Terbitan: DBP
Tahun: 2005


Sinopsis:
Memoir Shahnon sewaktu muda (zaman tadika) beliau di Banggul Derdap, sebelum kerakusan alam moden meracik dan menelan alam tradisi dan kesucian sungainya. 

Rasa:


Saya tidak tahu mengapa, setelah selesai membaca memoir Sasterawan Negara yang hebat ini (seorang rakan menyatakan bahawa Shanon merupakan wajah sebenar sastera Melayu yang terulung), saya terasa termangu dan gumam yang panjang. 

Memoir ini dipecahkan dalam bentuk tema, mengikut objek atau ruang latar yang memberikan maksud warna terhadap kampung ilham asal Shahnon, Banggul Derdap. Shanon menceritakan setiap satu pengalamannya seperti seorang anak kecil yang naif, yang menghirup semuanya (seperti Lat lakukan dalam Kampung Boy). Setiap objek itu memberi maksud yang membangunkan sekali gus tema itu sendiri (dan memahami tema itu diguna pakai berkali-kali oleh Shahnon dalam novelnya, walaupun dalam novel urbannya) dan juga pembangunan pengalaman Shahnon yang banyak cerita yang dijanakan dalam satu pengutipan cerita-cerita daripada keluarga dan sahabatnya.

Sah, Shahnon merupakan pengutip cerita, pegutip pengalaman. Inilah yang membuat Shahnon, Shahnon. Jelas. Hal ini tidak dapat diubah, tidak dapat dibuang. Shanon mengulit bahasanya dalam bahasa latar dan alam yang menghidupkan dan membesarkannya. Malah kisah yang mengganggunya sampai sekarang terlakar terus dalam Ranjau Sepanjang Jalan, novel paling terkenalnya (dan bukan yang paling baik sebenarnya daripadanya). Shanon jelas mengaku, menyukai darah tersembur dan meleleh, seperti mana beliau menyukai alir jernih Sungai Ceper dan sawah padinya. 

Tema-tema itu juga sebenarnya membentuk, sekali gus mana-mana susastera Melayu pada era Shahnon (1960-an - 2000), identiti diri, keagamaan, hukum-hakam, alam mendekati manusia, manusia menolak alam (kemodenan/pembangunan), kuasa, dan ketidaktentuan kemanusiaan. Paling jelas, tentulah ruang fizikal kampung yang tercatat, yang tidak dapat kita lari terjumpa juga dalam tulisan Azizi, tulisan Osman, tulisan Othman, atau mana-mana karya sezaman.

Namun, kisah ini dimulakan dengan gemulah (arwah) dan kecenderungan gemulah melawat Shahnon dalam tidur. Hal ini sesuatu yang mengganggu. Bulatan fatalis Shahnon jadi lengkap dalam hal ini. Yang mati kembali menemui yang hidup. Maka memoir ini, walaupun penuh kehidupan (dan penyembelihan) dan kenduri-kendara orang Melayu, ia menyampaikan kata akhir Shanon tentang kematian dan kepupusan alam, dunia, diri, pengalaman dan pengetahuan, malah! Shahnon mengambil benar "setiap yang hidup itu mati" yang terselit kefahaman dan pegangan kuat terhadap Islam (semuanya tidak kekal di alam fana ini) yang) yang menariknya, turut tercuit maksud humanisme Barat terhadap kesedaran kehidupan dan melakukan segalanya demi kehidupan dan mati itu mati lalu pengalaman hidup terhenti. Hal kematian dan penuaan ini disegajakan terasa pada setiap jenis tema seakan-akan menutup semua karya Shahnon itu sendiri, dan juga "menutup" tirai kesemua sastera yang berlingkar pada zaman Shahnon. Shahnon seperti mengatakan, perubahan akan berlaku dan beliau tidak dapat lagi meneruskan, beliau berhenti di situ dan perubahan berjalan terus (dan perubahan ini kadang-kadang dilihat dengan negatif dan tidak mengikut tradisi, seperti munculnya tv yang jelas menjadi inspirasi terhadap tivi). Dan ini juga yang paling mengganggu saya, memoir ini juga seperti suatu "talkin wasiat" yang sudah tersedia tertulis oleh Shanon, dia secara sengaja mengingat kemudian "melupakan" segalanya yang sudah diceritakan: seperti naratif yang diceritakan, bila akhir, ia terhapus. Ini seakan-akan menandakan "kematian"nya sendiri (nauzubillah). Ini yang mengganggu saya.

Dan ini juga menjadi suatu petanda pula kepada kematian, mungkin terhadap sastera Melayu yang dikenalinya (atau mungkin juga keseluruhannya). Ini suatu fatalis yang menakutkan.

Antara memoir terbaik Malaysia, dan penting kerana menulis sejarah sastera kita, tanpa kita menyedarinya.

1 comment:

Anonymous said...

ya..saya setuju..antara memoir yang terbaik.terasa berada dilatar zaman itu