Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Thursday, December 19, 2013

Percubaan "Sai-fai" Sekali Lagi


Selepas sai-fai.com ranap, saya ingat saya tidak mahu lagi bercakap tentang laman sesawang itu lagi. Laman bagus itu dibina oleh rakan saya, Nazri M. Annuar, yang disertai oleh beberapa editor PTS waktu itu. Nazri sendiri merupakan editor PTS waktu itu yang membawa gelombang penulisan fiksyen sains dan fantasi masuk dalam penerbitan PTS. Gelombang itu sudah mati, namun Alhamdulillah, penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Alaf 21, Buku Prima, Buku Fixi, Adiwarna masih memberikan tempat, walaupun tidak segah genre fiksyen spekulatif lain apatah yang berbentuk cintan-cintun. Yang lebih baik lagi ialah ketekalan Utusan Publications & Distributors serta Universiti Teknologi Malaysia yang meneruskan sayembara penting fiksyen sains (Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi) untuk musim ketiga. Usaha Utusan dan UTM ini amat terpuji dalam menggerakkan suatu genre yang sebenarnya mempunyai potensi dan harapan cerah jika ia benar-benar diberi laluan yang betul.

Sehubungan dengan itu, saya tercuit untuk memberikan nafas semula terhadap segala data sai-fai.com yang sudah "hilang" ditelan materi maya. Saya ini buta TM, malah menyampah, dan pemalas untuk menyimpan bahan. Jadi segala data berguna dalam ruang itu hilang begitu sahaja. Saya ingin hidupkan kembali sesawang itu tetapi saya buntu ilham untuk mencari jawapannya. Saya terbaca beberapa laporan dan kajian kecil orang luar (kebanyakannya dalam bahasa Inggeris) berkenaan laman itu dan perkembangan fiskyen sains di Malaysia. Harapan mandul saya jadi menyinar. Saya perlu ghairah kembali, sebab saya tidak dapat meletakkan beban ini di bahu DBP yang tidak terluak nak buat (genre tilikan mereka lebih luas dan mereka tidak ada staf yang cukup apatah lagi yang mahir dalma bidang tersebut), apatah lagi kepada pensyarah di luar sana (saya ada terdengar beberapa nama, tapi nama atas nama sahaja, tidak terluak apa-apa bahan tulisan atau kritikan berkenaan genre ini, yang kita kenal hanyalah kalangan sahabat pengarang). Yang dapat ditelurusi setakat ini hanyalah laporan tekal keputusan sayembara Utusan-UTM itu yang terbit saban tahun, satu-satunya "tulisan ilmiah" yang kita tahu dapat dikongsikan secara awam.

Saya juga meneliti, saya tidak seharusnya meletakkan label "fs berat" (hard sf) ataupun "fs ringan" (soft sf) setakat ini buat penulisan fiksyen sains (setelah menelti karya terbitan Utusan dan Buku Fixi yang mutakhir). Hal ini tergema dalam diri saya apabila saya meneliti beberapa penulisan kajian berkenaan fiksyen sains (serta rujuk rajah garis masa fiksyen sains Barat di atas), baik dalam perfileman mahupun persuratan. Baru-baru ini juga, Nisah Haron telah memberikan tulisan tesisnya berkaitan unsur fiksyen sains dalam teks hikayat lama Melayu. Kajian ini amat penting kerana Nisah sebenarnya mengaitkan penstrukturan unsur yang menjelma dalam maksud "awang-awangan" (lantas selalu dikaitkan dengan fantasi, yang mana perikiraan ini juga betul, namun rujuk rajah di atas kerana penulisan "fantastik" juga menjurus kepada penciptaan fiksyen sains Barat seperti yang dicerna daripada The Golem dan Atlantis) yang sebenarnya bersifat "sofistikated", "maju", "kekaguman" (wonderment) yang lazim dalam fiksyen sains. Hal ini ditambah lagi dengan penulisan susastera yang turut memasuki korpus kajian fiksyen sains seperrti karya Margeret Atwood. Apatah dengan kekuatan dunia Phillip K. Dick dalam arena fiksyen sains (jika namanya tidak tersenarai, senarai itu tidak sah) dianggap sebagai fs ringan, walaupun beliau banyak memenangi anugerah Nebula dan Hugo. Perkiraan fiksyen sains Barat tentulah jauh dan jelas ampuh untuk membentuk pengkategorian yang sebegitu.

Atas sebab itu, ada beberapa penulisan spekulatif yang turut dimasukkan dalam senarai sai-fai ini, termasuk genre fantasi. Genre fantasi perlu dimasukkan atas sebab kekeliruan yang dikemukakan (ramai pembaca Malaysia masih menganggap siri Harry Potter sebagai fiksyen sains, contohnya) serta iringan fantasi dan fiksyen sains dalam penulisan. Misalnya, dengan jelas Ahmad Patria Abdullah, antara jaguh fiksyen sains telah melakarkan novel fantasi terunggul Malaysia dengan Saga Artakusiadnya. Begitu juga dengan penulisan Faisal Tehrani, yang mahu tidak mahu, 1511H [Kombat] mempunyai unsur fiksyen sains yang jelas walaupun tergolong dalam kumpulan penulisan susastera.

Tujuan saya melakukan hal ini adalah kerana fiksyen sains kita terlalu muda untuk didesak mengenali fs berat yang memang berat, walaupun sudah ada beberapa penulis yang sudah melakukannya (rujuk Baladewa-X Nizam Zakaria). Saya juga tidak dapat menolak penulisan kanak-kanak dan remaja yang terbit kerana walaupun saya tidak menerima pandangan genre ini sebagai genre khusus kategori umur itu, namun perkembangannya di Malaysia sememangnya berlaku dalam kategori genre tersebut.

Fiksyen sains kita pun baru hendak bermula jaguh, sedari 30 tahun sahaja usianya. Saya meletakkan fiksyen sains yang benar-benar dewasa dan matang (dan tidak dikira fs berat pun) daripada tulisan Sabds S, cerpen "Tetamu dari Langit" (1985?) (terjemahan yang dibuat oleh Harry Aveling tertulis, "Visitors From Outer Space", cerpen ini antara satu-satunya penulisan fiksyen sains tempatan berunsur apokalips/kiamat) sebagai penggerak. Namun, dalam 1970-an sudah bermula beberapa nama yang prolifik dalam bidang ini, walaupun kita masih boleh pertikaikan tahap kematangan unsur sainsnya. Hal itu tidak penting, yang lebih penting merupakan perayaan penulisan ini yang sedang membina suatu maksud fiksyen sains yang lebih ampuh, terbina mengikut keyakinan Nisah, daripada tulang belakang hikayat lama kita, kepada pancasarwa yang pelbagai sekarang. Titih lalu terbang. Kerja ini tidak mahu. Doakan saya.

Rujuk senarai novel sai-fai di sini.

5 comments:

srirahayumohdyusop said...

Salam Fad,

Usaha yang murni saya sokong untuk diteruskan/ dimulakan semula. Kalau tidak untuk orang lain, untuk diri sendiri. Yang pastinya, anda seorang ejen penyebar ilmu yang baik-baik. Insya-Allah, setiap aksara dirahmati Allah SWT.

Saya setuju supaya kita jangan obses sangat pasal hard sf dengan soft sf. Kalau semua karya nak diukur dengan betapa kerasnya fisyen sains, tiada siapa nak menulis nanti. Einstein mati hidup balik saja yang boleh tulis fiksyen sains.

Mus Dahlan said...

Semoga usaha ini hidup kembali setelah bubarnya PTS Fortuna. Saya kira kalau pengkarya-pengkarya Sci-Fi seperti Alif Firdaus Fauzi dll. menyertai sayembara, penulis baru bakal tidak berpeluang. Hahahaha....

Mus Dahlan said...

Setelah bubarnya PTS Fortuna, ramai yang menyangka sci-fi akan turut berkubur. Hanya penulis2 ternama yang mampu meyakinkan editor, itupun jika mereka ingin menghasilkan satu lagi sci-fi. Suburkan harapan ini saudara, supaya ada ruang untuk mereka.

Mus Dahlan said...

Setelah bubarnya PTS Fortuna, ramai yang menyangka sci-fi akan turut berkubur. Hanya penulis2 ternama yang mampu meyakinkan editor, itupun jika mereka ingin menghasilkan satu lagi sci-fi. Suburkan harapan ini saudara, supaya ada ruang untuk mereka.

Mus Dahlan said...

Setelah bubarnya PTS Fortuna, ramai yang menyangka sci-fi akan turut berkubur. Hanya penulis2 ternama yang mampu meyakinkan editor, itupun jika mereka ingin menghasilkan satu lagi sci-fi. Suburkan harapan ini saudara, supaya ada ruang untuk mereka.