Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, December 16, 2012

Equilibria


Tajuk: Equilibria

Oleh: Sri Rahayu Mohd Yusop
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2012



Sinopsis:
Dunia futuristik memasuki era apokalips, sumber minyak kehabisan. Sekumpulan manusia tinggal di sebuah pulau di Lautan Pasifik, meneruskan hidup, menjalankan projek-porjek ikhtiar hidup untuk penerusan kemanusiaan. Pada masa yang sama, Norac, kerajaan militia-korperat sisa Amerika Syarikat berserta beberapa negara sekutu sedang bergerak menyiapkan Inisiatif Pegasus, suatu "bahtera Nuh" meninggalkan bumi yang sedang teruk tenat, dan sumber mentah utama yang mereka perlukan ada di pulau di Laut Pasifik. Takdir penduduk pulau itu di dalam tangan mereka. Genggam mati atau tadah demi kesejahteraan nadi bumi? 

Rasa:


Novel ini memenangi tempat kedua dalam Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan baru-baru ini (yang tertinggi buat tahun ini).

Novel ini menarik dalam perkembangan penulisan novel fiksyen sains tempatan, dan buat saya, jauh meninggalkan beberapa judul sedia ada, malah merupakan antara pembacaan paling seronok saya hadam dalam kumpulan penulisan sayembara ini (saya belum menyentuh tiga novel penghargaan yang menang juga tahun ini). Ianya ada pengisahan pascaapokalips yang "lain" dengan menjelaskan kekontangan sumber petroleum (rujuk The Road Warrior), memporak-perandakan manusia, yang berlaku (kemungkinan) selepas Perang Dunia Ketiga. Ada sebuah pulau, Equilibria, yang separuhnya tema The Swiss Family Robinson (keluarga yang berpenghuni di sebuah pulau terpencil, lari daripada tamadun membangun manusia) yang berkemungkinan berunsur "utopia" (semangat/impian murni untuk suatu sistem terbaik kependudukan manusia) dengan konflik moral yang wujud dalam novel "utopia sia-sia" The Mosquito Coast karya Paul Theroux. Cara Sri Rahayu mengimbangi segala unsur ini menarik, sepertimana judul karyanya.

Novel ini juga ada idea kemungkinan membina "bahtera Nuh kedua" yang kita jumpai dalam filem 2012 ataupun When Worlds Collide. Kesanggupan Rahayu menampilkan rasional fitrah "Islami" dan sikap melanggar kemungkinan teori evolusi amat menarik. Hal inilah yang didebatkan dalam kalangan ahli ulamak zaman dahulu dan di"mudah" dalam novel ini dengan penyerapan unsur fiksyen sains yang ampuh.

Dua unsur ini ditimbulkan untuk mencipta satu konflik menarik, dan antaranya, ada kemungkinan-kemungkinan besar berkenaan sikap penerusan hidup (survival) secara Machiavelli ataupun pengikhtiar yang lebih dekat pada bumi dan jiwa Islami (manusia bersifat khalifah bumi yang sebenar-benarnya). Di situ juga, terdapat imbauan pemikiran berkenaan sifat manusia yang haloba dan manusia yang mahu berkongsi ilmu. Kedua-dua pertentangan ini menarik dan menjadi wacana bicara yang menimbulkan perbincangan sepatutnya, dalam kalangan pembaca tentang kekuatan/kelemahan manusia menghadapi perubahan tanah pijaknya.

Semua ini adalah unsur-unsur besar yang saya kagumi, berjaya disampaikan dengan baik oleh Rahayu. Dibantu dengan penggambaran watak, perwatakan dan citra hidup dunianya yang jelas, bahaya, damai dan percampuran budaya yang memikat sekali.

Ah, Rahayu juga ada strategi. Beliau biasanya mengangkat remaja menjadi teraju utama penggerak ceritanya. Kenapa remaja, kita akan tanya. Kerana remaja tulus, dalam fasa "eksperimentasi" (mencuba pelbagai perkara, atau kerja yang tidak semestinya berjaya) dan naif. Naif ini adalah unsur utama yang digerakkan oleh Rahayu dalam sekalian wataknya, khusus watak Safa yang walaupun bijak, berani tetapi naif. Kenaifan ini logikal kerana kumpulan anak muda ini lahir dari sekitar dunia pulau Equilibria yang tidak mengenali realiti semasa masyarakat dunia. Jadi semangat naif ini segar, walaupun pembaca risau akan keterus-terang watak-watak tersebut terhadap persekitaran baharu yang mereka lawati (mereka dimohon memperkenalkan diri setelah 10 tahun ditinggalkan masyarakat dunia). Naif ini juga yang membawa kepada petikan yang paling penting dalam novel ini, menjawab persoalan hidup mati manusia:

"Dahulu manusia membuat kempen untuk menyelamatkan bumi. Selamatkan Bumi, mereka kata. Tapi sebenarnya manusia yang perlu diselamatkan."

Kenaifan remaja ini juga menolak keberangkalian wataknya untuk menyelusur atau mengembara seperti "orang besar" (rujuk kenaifan dalam The Wizard of Oz dan kematangan kembara dalam The Lord of the Ring), mengecilkan kemungkinan pelbagai ruang yang boleh diteropong (dan ini agenda Rahayu untuk menyampaikan maksud dan wadahnya berkenaan survival hidup dan masalah dunia), kecuali Rahayu menitipkan watak muda ini yang sanggup melanggar kelaziman. Hal ini menampilkan pencirian kembara yang berlaku dalam novel ini sekitar ciri para remaja Nancy Drew dan Hardy Boys. 

Tetapi naif ini juga ada negatifnya, dan ini jelas dibikin Rahayu mungkin tanpa sedar. Ada satu babak menampilkan dua kumpulan seteru yang menunjukkan satu pihak (kalah) kerana dijumpai oleh pihak lain dengan angkatan bersenjata yang lebih ramai. Kemudian, tanpa apa-apa amaran, si ketua tanya "bagaimana kamu boleh jumpa kami?" seakan sebuah filem Razak Mohaideen! Dan mengejutkan, si ketua satu lagi menjawab dengan terus-terang!: "Kerana teknologi radar baru kami."!!! Hal ini sesuatu yang mengejutkan berlaku, setelah segala hal menarik yang berlaku dalam novel ini.

Saya juga kurang menggemari kejutan berupa deus ex machina apabila sekumpulan angkatan bersenjata tiba secara tiba-tiba yang kononnya sudah terancang awal. Malah gagal melakukan proses "combing" yang biasa dalam militer (menyikat kawasan geografi sehingga selesai). Walaupun pengakhiran itu indah buat saya (penampilan ketamakan manusia memakan diri) apabila Equilibria ranap akhirnya, rasionalnya membentuk plot lubang. Hal ini menampilkan ketidakkebersanan pihak angkatan bersenjata menjaga tempat sasarannya.

Novel ini boleh pergi lebih jauh lagi, jika watak-wataknya atau cara garapannya dibikin dengan gaya lain. Tetapi Rahayu ingin menyampaikan "ide"nya, tentang keseimbangan alam, roh dan minda manusia, menandingi segala kejahatan yang manusia lakukan. Hal ini menyebabkan novel ini menarik dan dalam koleksi sayembara ini, antara yang terbaik yang pernah dihasilkan. Ini menunjukkan bukti, novel fiksyen sains tidak sangat terletak dalam kehebatan narasi teknologi baharu, keeksotik makhluk asingnya dan kecanggihan dunia masa depannya, tetapi imaginasi campuran rasional yang menarik, cerita yang betul, dan cetusan ide yang malar segar untuk menyoal idea/kemungkinan baharu, itulah fiksyen sains yang baik.

3 comments:

srirahayumohdyusop said...

Salam En Fadli,

Terima kasih kerana sudi menulis 'review' yang komprehensif. Sungguh banyak ilmu diperlukan oleh seorang penulis untuk menulis 'review' yang membuatkan pembaca puas hati. Lebih banyak dari ilmu si penulis. Ketika saya memasang niat untuk menulis EQ, saya berkata "Ya Allah, aku nak tulis benda ni untuk selamatkan FST UTM-Utusan" kerana saya begitu tercekik dengan bahan musim pertama. Nampaknya, saya tidak berapa berjaya, atas sebab-sebab yang En Fadli telah sebutkan di dalam 'review'. dan juga atas banyak lagi sebab. Semua telah dicatatkan dan akan diambil tindakan untuk kerja seterusnya. Terima kasih.

fadz said...

Salam Kak Sri,

Saya tetpa kagum dengan cara Kak Sri menulis, dan janganlah terlalu merendah diri. saya yg lagi rasa rendah diri jika dibanding dengan penulis hebat ini :)

Hakim Bahaman said...

Fadz, aku baru selesai membaca Equilibria.

Serius, pertama kali setelah sekian lama, aku berasa sangat puas membaca sebuah karya.

Ya, seperti tajuknya, semuanya tergarap dengan seimbang.