Tajuk: Detik
Oleh: Amir Husaini
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2012
Sinopsis:
Novel (yang tidak bersama saya sekarang) menceritakan kisah obsesi seorang profesor untuk menyiapkan projek "kronos", suatu penyelidikan melanggar kontinum ruang-masa yang mana hal ini dibumbui dengan persoalan fitrah dan ketentuan Tuhan.
Rasa:
Sekalung tahniah saya ucapkan kepada para pemenang fiksyen sains Utusan-UTM kali ini, yang menampakkan kematangan dan "keterujaan". Setiap satu teks yang saya teliti (dan beli kesemuanya pada hari itu) menampakkan perkembangan yang amat sihat dari sebelumnya. Sifat "belilah" novel-novel tersebut lebih terserlah.
Seperti mana novel yang saya baca ini. Ya, ia tidak membuka ruang baharu atau persoalan baharu dalam tema "mesin masa" tetapi struktur plot dan penceritaannya disampaikan dengan lancar dan baik oleh penulis, membuatkannya amat "keterbacaan yang baik". Kisahnya mungkin saya "kaitkan" klise kerana masih terikat dengan "drama keluarga" yang mikro (hal ini melumpuhkan cerita untuk diperkembangkan kepada plot-plot yang lebih luas dan kompleks), yang biasa dalam lumrah novel-novel Malaysia (kita tidak boleh lari daripada penumpuan terhadap drama keluarga mahupun kisah cinta). Sekurang-kurangnya, ada bahagian-bahagian yang tertentu yang membuat saya "membelek cepat", khsus dalam satu kuliah yang mana profesor itu memperkenalkan persoalan ruang-masa dan soalan fiksyen sains paling lazim semenjak HG Wells memperkenalkan The Time Machine, "bolehkah manusia melanggar ketentuan detik?"
Persoalan ini membawa kepada persoalan moral yang lebih besar, yang biasa dalam kefahaman Timur, yakni melanggar fitrah (ketentuan yang sudah ditentukan Tuhan). Saya kenal dengan Amir Husaini dan beliau memang menyukai persoalan ini disuntik dalam karya-karyanya, suatu semangat biasa yang wujud sedari sastera Gothic mengambil tempat (pembikinan raksasa Frankenstein merupakan alat moral melanggar fitrah yang didaktik, paling berpengaruh sehingga sekarang). Dan hal ini dilakukan dengan lancar oleh Amir, menyampaikan suatu insiden sebab-akibat berulang-ulang yang lazim dalam tema "mesin masa" yang memuaskan kedua-dua pihak (pihak moralis yang meneliti fitrah serta logik cerita dalam penggunaan unsur mesin masa). Maka, peminat yang mengikuti kefahaman mesin masa ini akan turut menyetujui pemahaman Amir (masa sebenarnya sudah ditentukan, ini suatu percubaan yang paling susah hendak dibikin, sehingga penciptaan masa alternatif atau dimensi alternatif tercipta dalam fiksyen ini) dan sekali gus pengikut agama akan "akur" dengan pendekatan Amir.
Malah, novel ini begitu didaktik sampai protagonis profesor yang membawa persoalan hipotesis itu tadi (berkenaan fitrah, ingat, bukan sangat kepada pengembalian ke masa lampau) akur dengan persoalan "fitrah" yang dibawa. Hal ini tidak membawa apa-apa pembaharuan, tetapi suatu yang menarik untuk dikongsikan.
1 comment:
Sungguh pelik kenapa buku ni langsung saya tak jumpa di pasaran (mph, borders etc) :S
Post a Comment