Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Sunday, July 15, 2012

Penulis dan Kebenaran

Kebenaran, bagi saya satu kata-kata besar.

Baru-baru ini, saya ketemu para penulis dalam satu dialog menarik bersama editor, ketemu juga dengan seorang editor mapan yang amat saya hormati. Dalam perbincangan itu, dibawa satu makluman berkenaan "penulis menulis kebenaran". Penulis hanya menulis berkenaan kebenaran. Ini kata-kata maha agung yang mendebar dada, bergoncang tiang arasy atas nama kepertanggungjawaban, sekali selar salah, mati. 

Saya tidak setuju.

"Penulis menulis kebenaran" satu perspektif angkuh, khusus kalangan dunia sekarang yang mencipta individualis "aku fikir maka aku ada" Descartes sedari Asas 50 lagi (dan sebelum itu lagi seraya Abdullah Munsyi berlabuh layar) dalam lingkungan Tanah Melayu.

Apakah "kebenaran" dan berapa jauh sang penulis tahu apa yang ditulis itu adalah "kebenaran"? Berapa benarkah, contohnya memimesis alam (yang dikatakan golongan pemantun kita agak berjaya menyalin fenomena saintifik alam dalam pembayang pantun) dan apa yang hakikatnya tebarkan, baik terselindung mahupun tersiar. Bagaimana kita menguji "kebenaran", adakah ia sepertimana kesubjektiviti estetika (yang mana seorang editor telah mendabik bahawa pemilihan hanya boleh dilakukan buat penulis yang menang anugerah, contohnya) mahupun keindahan gaya? Tidak, kebenaran lagi sakral, dan jauh mengikuti kata-kata orasi seorang Najib mahupun Anwar, kedua-duanya tidak boleh diikuti kerana terikat dengan perkaitan "kepentingan". Kebenaran lagi dalam dan tidak tersentuh. Seorang penulis mungkin ada "bergerak" ke arah kebenaran, mencuba menggarapnya. Seorang pengkritik, pengulas yang punya idealogi dan pegangan tertentu pula mengilustrasikan satu-satu penulisan penulis itu sebagai "kebenaran", tetapi hal itupun hanya subjektif dan terletak dalam lingkungan perspektif si pengkritik/pengulas. Masing-masing punya kata-kata masing-masing lantas berpegang pada dogma dan mungkin telahan bahawa hal itulah yang "benar" dan hal itulah yang "palsu".

Sepertimana kenyataan saya ini: "Lebih lama Najib melengahkan pembubaran parlimen untuk PRU, lebih berpeluang para pembangkang menang PRU." Mungkin sahaja ayat ini falasi tetapi jika saya berdiri teguh dengan "hujah" dan kononnya "fakta" mempengaruhi kenyataan itu, lalu dengan kekuatan berpolemik ala Faisal Tehrani, ramai yang angguk menyanggupi lalu menyatakan, "Oh, penulis itu benar sebenar-benarnya!"

Salah!

Tanggapan adalah mainan paling licik dalam dunia mempengaruh, sedari zaman Plato lagi ianya merupakan seni paling licik, malah di sinilah golongan dan kemudiannya disiplin "retorik" diperkenalkan.

Sebab itu, ramai penulis kita sentiasa menyandarkan diri mereka dengan "agama". Agama merupakan hal yang paling selamat untuk mengaitkan satu-satu karya itu sebagai "benar".

Al-Quran, siapa yang dapat mempersoalkan kebenarannya (kecuali jika anda kafir dan kristian). Atau Bible itu benar untuk para kristian (kecuali jika anda agnostik, kafir dan Islam). Maka kebenaran juga terluah kukuh dalam kata-kata Nabi, malah Rasulullah s.a.w. itu benar sebenar-benar contoh. Salinan "benar" itulah yang ingin, kalau boleh, cuba dipakai oleh ahli ulama dan seterusnya umat yang kita kenali sebagai "mukmin". Maka ada perbezaan dari segi itu, dia yang benar (atau mengetahui hal kebenaran) dengan dia yang cuba sedaya-upaya mengikut kebenaran. Kita bukan nabi apatah penulis Al-Quran. Saya pernah berhadapan dengan seorang penyair lama, dikatakan kepadanya, apakah penyair yang dicita-citakan "sempurna". Dengan selamba beliau menjawab, "Jika kita boleh menulis Al-Quran, sedalam-dalam makna, seindah kosa kata, diksi termasuk rima dan susunannya. Seakan-akan kita menulis 'syurga'." 

Saya menggeleng kepala. Bagi penyair itu, itulah lingkungan "kebenaran" yang dia mahu selubungikan dirinya.  Saya memikir kembali bagaimana Hamzah Fansuri menulis, jika ianya "mendekati kebenaran". Oh, tidak, Hamzah sendiri punya hanya mengucapkan dan si murid yang menyayanginya yang menukilkan satu-satu kata-kata puitisnya, menghafalnya jua. 

Kata-kata benar zaman dahulu sememangnya dihafal, bagi difahamkan, sebati dalam akal dan tubuh.

Kini banyakkah layar kata yang boleh dihafal maksud dan tujuan kebenarannya? 

Hakikatnya, kita lebih sebagai sang pencari kebenaran, dalam satu perjalanan yang masih panjang, kadang-kala tidak kenal, kebenaran sudah di sebelah kita mohon menumpang, hanya kita perlu mengerling dan mencapai tangan.

1 comment:

lutfi said...

Penulisan yg baik mesti memancarkan kebenaran. Cuma, cahaya kebenaran itu saja yang berbeza, sesuai dengan martabat dan ketinggian kreativiti dan ilmu yang dimiliki oleh penulisnya. Jadi, sebagai pembaca, kita menghargai sesuatu tulisan itu, sesuai dengan cahaya yg diberikan. Dan untuk itu, pembaca sendiri harus memiliki ilmu untuk menilai cahaya itu.

Sama ada penulis atau pembaca, mereka mencari kebenaran. Seperti mendaki tangga, mereka akan memijak setiap anak tangga, yakni mendaki kebenaran demi kebenaran yg lebih tinggi.

Teringat kata-kata para sufi, apabila keluar matahari, cahayanya memadamkan cahaya-cahaya yg lain. Jadi kita semua mencari cahaya matahari itu (:

Wallahua'alam.