Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Monday, July 16, 2012

Berdana Berdenung


The Poor Poet by Carl Spitzweg (1839)[From HereSpitzweg depicts a writer living out the familiar image of the starving artist in wretched conditions in a small room in an attic. The painting contains many significant images. The poet writes while huddling under his bedcovers and wearing a tattered coat and nightcap. The writer has been burning some of his own work – most likely volumes I and II since volumes III and IV remain in bundles on the floor. The fire in the room has obviously gone out since the poet rests his hat on the cold stovepipe and no live coals are visible in the stove. Indeed this cold stove is the darkest part of the picture and symbolizes the writer’s sorry state of affairs.] Diambil dari http://derrickoniapineconeus.blogspot.com/2010/01/think-of-ending-first.html

"Show your worth," orang puteh kata.

Semalam saya mengunjungi satu majlis seorang menteri memberi anugerah kepada seorang pengarang. Saya duduk bersama seorang "orang kuat" korporat pancajuta yang mana kenalan saya di sebelah perkenalkan. Kenalan saya sungguh baik, "cuba" menyatukan saya, si kecil pemegang panji sastera dengan seorang "kultur tinggi" yang dikelilingi niaga dan urus janji berjuta. Si kenalan bercerita dengan selamba tetapi uja bagaimana "dua nodul berlainan" boleh bertemu dalam satu jalinan kerjasama yang mana HSKU diperkatakan lalu menyatakan kesediaan Exxon-Mobil (sekarang apa ya?) itu bagus bekerjasama dengan Utusan (malah antara satu-satunya korporat besar yang berbuat begitu), apabila hal-hal ini dicakap, saya yang baru kenali individu itu mahu sahaja menyatakan "Ah, apa kata pihak sekian-sekian meneraju sekian-sekian dengan Dewan Sastera," tetapi terkamit melihat mata menyinga menjuling individu itu dengan frasa bisu: "Oh, seorang lagi pengemis yang memohon duit, entah apa keuntungan yang dia dapat bawa kepadaku..."

Ya, sastera negeri kita sedaif dan sefakih itu. Kita ini pengemis, dan ini berlaku sebelum kata-kata harapan terpacul lagi.

Saya tidak hanya bervendeta terhadap individu itu dan simbol lantang niaga dan material yang dia wakili tetapi saya mengeji diri saya sendiri, sastera saya sendiri dan rakan-rakan saya sendiri, caranya, bagaimana hari sehari saya baca daripada akhbar atau ketemu, terdesak dan mengemisnya kita untuk "dana dana dana" (rujuk Berita Harian 17 Julai berkenaan hal ini lagi) tetapi bagaimana pula pihak sasterawan menangani dana itu, bagaimana digunakan, bagaimana ia kelihatan menelusuri masyarakat lalu kemudian mengangkat nama korporat itu (hal itu yang selalu dipinta mereka para kapitalis), bagaimana "syok sendiri" para sasterawan dalam lingkungan "damai" mereka sendiri dengan dana itu (tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja GAPENA dan nyatakan berapa ramai penulis muda yang peduli, malah berapa ramai masyarakat kini yang peduli), lantas bagaimanakah si berharta (yang kini terus berpaling jauh dari sastera Melayu) hendak menjenguk si pengemis?

Memang, paling biasa didengar, dan ini perlu dipuji pihak GAPENA adalah bagaimana sehingga kini Kementerian Pelajaran kini masih dayus memahami bagaimana susastera wajib diajar sedari kecil, ditanam "hidup-hidup" benihnya dalam otak "ringgit restu Mahathir" anak-anak sekarang, sekolah rendah pun (saya pandang enteng Mahathir kerana beliau berdabik mengejar materi masyarakat dengan sains dan teknologi tetapi wawasannya tidak pernah memahami humanisme masyarakat, dan hal ini sudah pun membarah dengan ketidakpedulian yang tinggi terhadap pengajaran kemanusiaan, lantas sebab itu saya tidak salahkan anak-anak sekarang jaguh malah wajib berfardu ain dengan ilmu muat turun filem via maya, ini KPI terbaik Mahathir capai untuk anak bangsanya). Saya tidak perlu pergi jauh. Di UK, anak buah saya sedari "darjah dua" sudah perlu mengenali Shakespeare, dan perlu baca novel-novel kanak-kanak baik, maka penulis kotemporari seperti Roald Dahl diberikan kelas dalam bidang pengajaran bahasa (di bawah pengelasan "Bacaan"). Bukan itu sahaja, anak murid dipaksa "khatam" (mereka tiada Al-Quran dan Kelas Ahad sudah memecahkan kurikulum Bible kepada bahagian-bahagian menyenangkan) buku itu dengan mengikat ibu bapa untuk duduk, dua jam sehari mendengar dan membetulkan bacaan anak-anak mereka di rumah, ini mengajar: kalau anak kau tak tahu baca, itu salah kau sendiri sebab tidak mahu mengajarnya, bukan kami pihak sekolah. Sekolah UK mengajar ibu bapa sekurang-kurangnya memeluk anak-anak mereka untuk dua jam sewaktu mereka membaca buat mereka. Saya ingat lagi zaman kecil saya, si cikgu, mungkin kerana memenuhi "permintaan Kementerian" agar ada satu sesi pembacaan, lalu dengan "kreatif"nya si guru mengumpul kesemua murid lalu menghumbankan kami ke dalam pustaka dengan berkata, "OK murid-murid, pilih dan ambil buku dan baca diam-diam untuk masa ini, nanti dah habis masa, cikgu panggil." Tahap itulah "kreativiti cikgu" yang saya ingat.

Lalu bagamana dengan miskin papa para peminta dana kawan-kawan sasterawan kita apabila dunia massanya tidak endah pun dengan mereka jika "kalian hidup atau mati"? Apakah terus-menerus menyatakan kenyataan "kita perlukan suara politik" terus-menerus, mengharung pelbagai media dengan jeritan "Kami perlukan dana lagi untuk hidup!", cuba berbuat baik dengan ahli politik atau memuji fesyen rambut Rosma setiap kali dia berjalan atas karpet merah? 

Nah, saya kongsikan apa yang diperkatakan oleh seorang rakan, Hazwan, penulis muda dari UK. Beliau menyatakan bagaimana di UK, apresiasi sastera (tradisi mahupun moden) berlaku saban minggu tanpa henti, di mana-mana dan bila-bila. Menariknya, kerja seni ini yang dilakukan baik di dewan umum (dewan umum kita dipenuhi kenduri kahwin dan mainan badminton), tepi jalan, kafe minum, kedai buku, perpustakaan dan taman-taman dipelopori oleh sebesar-besar badan berkecuali (yang ada sangkutan dengan dana majlis kebudayaan negara mereka secara antarabangsa) yang bernada antarabangsa, sehingga sederhana kedai buku (setiap hujung minggu contohnya di satu bandar, satu pertandingan bacaan puisi diadakan dengan pemilihan puisi penyair Inggeris yang terpilih) sehingga sekecil-kecil kelab atau kultus. Sayembara "menulis" pun begitu, sebesar-besar badan yang berhadiah ribuan pound sehinggalah sekecil "kumpulan penulis dari Pekan Bradford" contohnya yang mengadakan sayembara penulisan puisi dengan hadiah 5 pound bagi juaranya!

Pengajarannya di sini ialah, apa-apa yang kita ada, sekerat tikar pun, lestarikan, caknakan, gunakan untuk sesuatu. Apa, 5 sen untuk seorang jaguh pendeklamator tidak boleh untuk suka-suka? Yang pentingnya semangat "bersaing" itu dan apresiasi itu tidak mati. Inilah sebenarnya rahsia PENA dengan Borak Buku mereka, Dialog Orang Muda mereka yang entah berapa kerat sahaja yang ikut pada awalnya, yang entah berapa seciput mana belanja yang dikeluarkan oleh "kawan-kawan sekeliling" Lihat berkat "buat sahaja, janji gerak setiap bulan", dihina kawan-kawan luar "takde orang nak pergi pun", lama-lama membuka mata "pihak luar" kerana kelihatan "satu gerakan", lantas terus, 5 juta jatuh di riba, yang bukan pun untuk seronok-seronok tetapi terus menjelajah negeri mencari karya dan menjana lebih banyak karya. Tidakkah itu yang sepatutnya?