Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Wednesday, October 19, 2011

Kala Yuda: Pemenang Pertama Yang Diragui

Susahnya hendak berjuang bila kita bersendirian. Sai-fai.com mati sekali lagi. Saya terlalu sibuk maka saya tidak dapat menjaganya (menjadi moderator), lantas ia terus menghilang apabila rakan-rakan lain yang "kononnya" sidang editor tidak bersama untuk membantu.

Kini, saya hanya akan mengulas di blog ini.

Kini, saya tidak percaya kepada himpunan bersama kawan-kawan. Saya harus bergerak sendiri, untuk diri sendiri dan memuaskan diri sendiri.

Tajuk: Kala Yuda
Oleh: Amer Hmzah L. Kadir
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2010

Sinopsis:
Dunia futuristik, tamadan baharu pasca apokalips. Sistem manusia berubah apabila kota tertutup manusia dipenuhi dan diaturi oleh teknologi, khusus "sepman" (separuh manusia) yang beraksi sebagai siborg tetapi bukan siborg sebagai "polis rahsia". Sekumpulan saintis lain pula tinggal di "Pelabuhan" sebagai pusat pemberontak dan mengancam kerajaan kota serba moden tanpa jiwa dan cengkaman mereka terhadap manusia. Satu revolusi sedang berlaku dengan perlahan dan teliti.

Rasa:
Ini sebuah novel yang jika diberi masa untuk diuliti dan dieram, akan menjadi sesuatu yang besar. Ideanya menarik, dalam garisan kemanusiaan yang halus, berlakulah konflik dalam memahami berapa jauh manusia sanggup menjual roh suci mereka untuk pembangunan material (atau mencapai satu falsafah hidup yang tinggi). Konflik ini dijadikan dengan lebih baik dengan mengambil ideal "kontra" dua alam, yang dikondisi sebagai "buruk" serta alam sekeliling realiti yang sebenarnya mencengkam secara prasedar. Ini sebuah tema yang sudah biasa dibikin dan selalu diguna oleh penulis fiksyen sains barat (rujuk novel Logan's Run yang difilemkan pada 1976, idea "utopia" atau "distopia" ini juga wujud dalam filem-filem Hollywood baharu seperti Wall-E, Repo Man dan The Island).

Dalam novel ini, wujud sentuhan dan perbandingan menarik berkenaan "utopia" dan "distopia" tersebut. Hal ini berikutan sistem pemerintahan Kota Jagat yang kelihatan aman di luar tetapi "mendesak" anak-anak kotanya (kritikan penulis terhadap realiti zaman kehidupan kota penuh mencabar sekarang). Tidak ada "ruang lain" yang mereka boleh pergi memandangkan kawasan yang dinamakan "Pelabuhan" di luar kota merupakan tempat "sisa" dan "kehancuran" (simbolisme tamadun berakhir). Maka di beri "suatu lagi" dimensi berkenaan "kehidupan" di Pelabuhan yang walaupun selelau dikacau dan diburu, kelihatan liar dengan hutan belantara, misterius, tidak terusik - alam menjadi alam sebenar semahu-mahunya.

Semua ini menarik, dan petanda suatu naratif agung dapat dikeluarkan daripadanya. Dengan pandangan penulis yang didaktik berkenaan pengubahan genetik, pencampuran manusia dan haiwan, eksperimen larangan dan robotik, ia memaparkan sisi manusia yang dinamis yang selalu melihat kepada perubahan untuk membaiki keperluan hidup, berbentuk peribadi ataupun negara. Satu percubaan lagi, ia cuba menunjukkan, tiada yang "baik" atau "buruk" dalam watak, walaupun pada mulanya diperlihatkan "cengkaman" watak itu mengikut sistem yang menghimpit masyarakat Kota Jagatnya secara prasedar.

Tetapi hal inilah yang tidak dijaga oleh Amer Hmzah, dengan susunan watak yang berselerak, kita susah untuk betul-betul "mencakupi" pemahaman motif dan sikap watak tersebut, malah kadang-kadang bila dibaca teks, watak seakan-akan beraksi seakan dibuat-buat semata-mata "untuk menghabiskan cerita". Contohnya sikap Ishmael yang "bertukar-tukar" tanpa kawapan yang betul, atau persoalan watak seperti Zaman yang tenggelam timbul dipayungi Prof Abe dan beberapa doktor lain. Saya merasakan, ini percubaan penulis yang pertama dalam menulis fiksyen sains, kerana kelihatan ambitious tidak bertempat (terlalu mahu memasukkan segalanya untuk diceritakan, baik politik, agama dan kritikan sosial ke beberapa tempat tanpa kawalan). Saya ingin menasihatkan penulis agar cuba membaca Manuklon Rahmat Haroun, sebuah novel fiksyen sains yang sudah ditahap klasik, yang mempunyai bumbu sebenar dan memahami ideal "distopia/utopia" dalam agenda politik yang jelas dan penggunaan gaya yang ligat dan berkesan. Malah, novel ini menjadi novel rujukan saya untuk Saga Horizon.

Contoh yang paling saya tidak gemari adalah percubaan beliau menggunakan abjad A-Z sebagai pecahan bab, di mana setiap abjad tersebut dijadikan huruf pertama untuk menggerakkan cerita. Idea penggunaan rumi ini menarik jika Amer faham mengapa ia dibuat dan bukan atas dasar "gaya" sahaja. Penggunaan 26 huruf ini adalah untuk menyatakan secara konkrit bahawa apa-apa yang wujud dalam kandungan teks ini sudah dirancang dan teratur sikpanya (kerana huruf dan aturan A-Z "lengkap" dan teratur). Tetapi hal inilah yang tidak dijumpai wujud dalam teks kandungan, tetapi lebih kepada "meminjam huruf atas kerana huruf". Maka penceritaan yang sepatutnya boleh dikembangkan (kenapa ada orang rahsia di balik senat, kenapa sikap Dr. Zakry yang berubah-ubah dan tidak konsisten terhadap motif, kenapa wujud beberapa momen kejutan yang palsu?). Inilah masalah novel fiksyen sains ini.

7 comments:

ainunl.muaiyanah said...

Yup, ada pada mulanya sangat excited nak buat itu itu, bila kita dah gerakkan, tiba-tiba ada sahaja seeribu alasan. Be there done there :)

Lebih baik buat semua sendiri :)
BFF, u buat je. kadang-kadang solidariti tak perlu untuk buat benda yang kita suka kalau askar-askarnya jenis yang jaga kubu masing-masing sahaja. :)

Hehe. :)

Go, Fad!

Anonymous said...

salam, fadz.

dulu pernah baca manuklon dekat perpustakaan sekolah menengah. mana ya nak beli buku ni?

AG said...

Setuju dengan ulasan ini. Sebelum membacanya, saya fikir, sudah tertarik lebih dahulu dengan reputasi pengarangnya. Kembara Amira yang memenangi HSKU hingga dijadikan teks KOMSAS tentunya memberi petanda awal (kalau boleh dijadikan kayu pengukur) bahawa penulisnya mempunyai kredibel, reputasinya kalau tidak cemerlang, mungkin baik. Penulis yang sedang mencipta nama mungkin.

Malangnya, daripada satu halaman ke satu halaman, saya kecewa.

Tidak seperti membaca FS lazim, saya mudah 'lost' ketika membaca Kala Yuda. Pengarangnya mungkin terlalu gopoh dalam menentukan hala tuju cerita sehingga mengabaikan mood pembaca. Kadangkala pacenya laju, buru-buru dan adakalanya semacam sesat terus. Memandangkan ianya sayembara yang pertama kali diadakan, saya mengandaikan (mungkin) jumlah penyertaannya terlalu sedikit lantas memaksa pihak penganjur tidak memiliki pilihan selain menobatkan Kala Yuda sebagai pemenang. Atau mungkin saya silap (tetapi ianya boleh menjadi isu kerana tidak ada laporan daripada panel hakim seperti mana HSKU).

Apapun, penganjut patut dipuji kerana berani menganjurkan sayembara yang memasuki tahun kedua. Hadiahnya juga lumayan, tentunya menggoda. Tetapi andai dikira daripada segi kualiti pemenang, seperti yang anda katakan, mungkin juga kemenangannya boleh diragui.

fadz said...

salam, trimas AG.. saya masih menghormati dan menjunjung kesetiaan UTM dan Utusan utk meneruskan sayembara ini. Itu merupakan suatu perjuangan yang tidak boleh dinafikan kepentingannya.. saya berharap, dgn adanya ruang sebegini, muncul penulis FS yang betul2 menyerlah seperti yg wujud beberapa sebelum ini.apa2pun, saya belum membaca pemenang kedua dan ketiga.

fadz said...

anon, cuba PUJUK (masuk FB DBP) pihak Dewan dan suruh mereka terbit kembali judul Manuklon tersebut.

MARSLI N.O said...

Sdr Fadli, Saya suka dan sangat bersetuju dengan catatan Sdr yang ini: "Saya harus bergerak sendiri, untuk diri sendiri dan memuaskan diri sendiri."

Ya, sendiri. Untuk tidak terus kecewa kerana terlalu mengharap. Biar apa pun duganyanya. Pokoknya mandiri.

MARSLI N.O

paw said...

http://www.sai-fai.com/ >>> back to square one ...