Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, July 22, 2011

Kasino: Sebuah Buku Yang Kool



Tajuk: Kasino
Oleh: Saifullizan Tahir
Terbitan: Fixi
Tahun: 2011

Sinopsis:
Dato' Narcissus Yusof terjerat dalam pertimbangan orang-orang berkuasa. Tiba-tiba tanpa permintaannya, dia berhutang lebih Rm3 juta dengan Kerajaan Negeri Selangor milik PR. Kini, dia terpaksa memanggil kuasa yang dia kenal dalam alam hedonis dan materinya untuk berseteru membantunya- akalnya, dan segumpal nafsunya.

Rasa:
Untuk buat pertama kali saya membaca buku Fixi yang boleh membuat saya ketawa terbahak-bahak dengan mata membolen luas atas kecerdikan lawak teks penulisnya membanting saya, baik tersurat atau tersirat.

Novel ini mungkin (seperti wujudnya Fixi yang golongan wartawan sastera Berita Harian mempersendakan sebagai satu lagi bahan popular - dan sememangnya pun!) tidak diiktiraf sebagai sastera, tetapi PEDULI HAPA, memang inilah antara novel Fixi yang menggariskan dengan baik pemahaman fiksyen pulpa (pulp fiction). Tetapi hal fiksyen pulpa itu pun saya tidak endah sangat kerana novel ini, sepenuhnya memberi saya nikmat yang lebih dari menghiburkan.

Apa yang membuatkan novel ini menarik adalah atas latar masa sekarang yang saya kira relevan untuk dikupas, meletakkan seorang watak di tengah-tengah alam kapitalisme dan material pasca Mahathir yang begitu komited berlumba untuk kesenangan dan kekayaan. Dan hal-hal ini jauh menitik beratkan didaktisme yang tipikal kita jumpa dalam novel Creative atau Alaf21, yang penting di sini adalah cerita dan penceritaan yang disampaikan.

Dalam pembauran cerita ini, saya menjumpai suatu sindiran yang amat mengena dan menikam tentang politik semasa. Tidak pernah seindah ini, ia dipancarkan dengan sebenar-benar wajah hodoh/indah manusia "haiwan politik"nya berurusan dengan golongan rakyat. Lantas di sinilah kekuatan Saifullizan. Saiful mencoretkan sebuah watak bumiputera protagonis dalam suara orang pertama yang "out of this world" tetapi bukan "hero" yang mendepani hal ini, hasil anak-anak material DEB yang mengenali agamanya tetapi mendapat kenikmatan budaya dan hedonisme barat. Kod yang diselitkan adalah nama-nama jenama lumayan yang berterabur. Ini adalah "kanvas" kepada dunia watak tersebut, mengaburi pembaca. Saya kata "kabur" kerana Saiful "sengaja" melakukannya. Buat pembaca didaktik, hal ini menjadi bahan "bukti" novel ini "mengajar mendewa-dewakan kekayaan". Buat pembaca yang ingin "membaca", mereka menyedari, penciptaan watak Narcissus (menyukai diri sendiri, penting diri sendiri) dengan kod jenamanya adalah hentaman materi yang pedas terhadap pemahaman "kendiri" dan perlumbaan "Malaysia Boleh" yang dilaung-laungkan Kerajaan (sehingga kini). Saiful hanya memaparkan "mesin" ini hidup "hasil" daripada permintaan "semangat" tersebut, lantas mendepani "penciptanya" (oleh sebab itu, watak ini nampak janggal jika dibiar bergerak hanya dalam kalangan orang berniaga, dia MESTI ketemu MENTERI). Dan hal inilah menarik bila "mesin" ini sahajalah yang dapat "bertemu buku dengan ruas" dengan segala kehipokritan dan busuk ahli politik. Dan ini dilakukan dengan "suave" sekali oleh Saiful, seakan Ian Fleming yang menulis novel ini dengan berbahasa Melayu.

Pengkahiran novel ini sahaja ada penanda terkuat (dan diakhirkan dengan sangat bergaya) menunjukkan bagaimana Narcissus, hasil ciptaan mesin Kerajaan mendepani Kerajaan itu sendiri, dengan sistem yang mereka telah "ciptakan", memakan diri mereka balik tanpa mereka sedari. Semua ini sungguh menyeronokkan. Tetapi itulah, dalam keseronokan itu, Saiful mengkritik dengan lembut berkias berkenaan realiti ini. Dan hasil pemahaman ini mengesankan.

Saiful juga tidak "berbelah bahagi", seakan nujum buat dunia politik Malaysia, memaparkan kegelisahan kedua-dua pihak, baik pemerintah dan pembangkang tentang keadaan hati kecil mereka menghadapi dunia semasa. Ego Narcissus yang besar dan menelan memahami ini, dan mengitar mereka seperti seorang pemerhati arif. Inilah yang membuatkan watak ini "diyakini" dan dipersetujui ciptaan dan tindakannya.

Saiful tidak lupa juga memberi "sakit" kepada Narcissus, agar wujud manusiawi simpati terhadap wataknya. beberapa konflik timbul, dan ini diselesaikan dengan memuaskan sekali. Narcissus terpaksa (dia tidak menyatakan terus) berjudi juga merupakan satu pemahaman bahawa dunia yang dia selami (ingat, politik juga) adalah dunia disaluti mainan dan perjudian. Dia perlu menghadapi risiko, kerana itu membuatnya "lelaki sejati". Saya yang tidak pernah tahu selok-belok berjudi juga turut terikut menyokong Narcissus untuk menang, walaupun niat saya itu kemungkinan "haram".

Kasino buat saya adalah novel lawak dan politik yang paling relevan buat tahun ini. Buku yang patut dibaca praPRU dan dibincang di masjid dan meja kopi sewaktu menunggu keputusan wakil rakyat para pembaca menang.

1 comment:

shandye. said...

ramai yg kurang jelas tentang penyudah novel ini tetapi bg saya ending-nya lah yang paling kuat.

setuju dan bangga bila ada pembaca yg sependapat dgn sy.

teehee..