Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Thursday, July 29, 2010

On Writing Stephen King



Tajuk: On Writing: A Memoir of the Craft

Oleh: Stephen King
Terbitan: Hodder & Stoughton
Tahun: 2000

Sinopsis:
Separuh memoir, separuh ceramah Stephen King tentang hidup dan perkembangan menjadi penulis, penulis yang berhemah dan menulis untuk hidupnya.

Rasa:
Saya amat mencemburui Stephen King, malah dalam sejarah diri saya, pernah dalam satu ketika menolak untuk membaca novel-novelnya, atas kepopularitinya (saya menyangka, buat apa saya kayakan seorang penulis apabila beliau sudah jutawa, baik saya beli novel orang lain yang jauh lebih baik tetapi tidak popular). Betapa ceteknya saya kerana apabila mendalami buku ini, saya sedari, bahawa Stephen memang mempunyai bakat (malah melangkaui bakat yang sedia ada), hanya beliau agak bernasib baik (beliaulah yang menemukan sastera dan seram boleh bercantum membentuk karya yang berwibawa, ini bermula dengan Salem's Lot, malah hal dan fenomena inilah yang diikuti seterusnya oleh penulis seram sehingga sekarang. Tetapi rujuk di mana beliau dapat idea mencipta novel ini, ya, dari novel popular Peyton's Place).

Buku ini memberi saya banyak ilmu dalam penulisan dan etikanya, serta bagaimana King melihat, bahawa semua penulis adalah serupa (kecuali beberapa penulis tahap dewa seperti Hemmingway), mereka semua manusia. Malah kemanusiaan inilah yang dibawa oleh King (saya tidak menyukainya sangat atas beberapa teks dan dialognya yang mengikut dialek pedalaman Amerka) dalam novelnya. Ini amat penting. Beberapa hal berkenaan tatabahasa juga boleh dijadikan sumber kekuatan dalam penulisan (lari daripada terlalu menggunakan/menerangkan ilmu bantu, sepertimana yang rakus dilakukan oleh penulis muda tempatan sekarang [ya, bagi King, CERITA lebih penting daripada IDEA atau ILMU], lari daripada terlalu menerangkan, lari daripada menggunakan kata penerangan kerja atau adjektif yang lewah).

Paling memikat saya ialah hal-hal halus dan intimasi yang King tulis tentang dirinya, isterinya dan keluarganya, ianya sekali gus lawak dan sedih. Satu hal yang saya hormati, King tetap dengan pendiriannya untuk tidak "melacurkan diri" dengan menulis sesuatu yang dia tidak mahu atau mampu (cth. di Malaysia, untuk menjadi popular, kita perlu menulis novel cinta). King menyatakan bagaimana penulis seperti Grisham, Brown, Rowling, yang kesemuanya pernah ditolak manuskrip mereka (seperti King sendiri), malah mereka mendapat tempat mereka atas ketulusan mereka menulis, merasai yang apa mereka tulis itu betul, dan paling utama menulis untuk hidup (menulis itu hidupnya). Azam ini amat-amat saya tekuni dan saya percayai.

Saya mendapat semangat baharu daripada membaca memoir ini.

Tidak Akan Mengulas Karya Sai-Fai Di Sini

Salam,

Hanya mengumumkan, saya tidak akan mengulas novel/cerpen sai-fai di sini, sebagai ganti, akan diulas dalam laman Sai-fai.com yang sudah dibangunkan. Saya mendapat azam ini setelah habis mengulati novel Revolusi Nanik tulisan Nurul Izwazi Mohd Nor. Ya, ulasan itu akan dimasukkan dalam laman tersebut. Ulasan-ulasan saya yang lepas akan turut dimasukkan dalam laman itu.

Maka berkunjunglah ke Sai-fai.com.