Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, October 25, 2010

Pendekar Melayu Terakhir: Cukup Keras dan Tangkas



Tajuk: Pendekar Melayu Terakhir

Oleh: Azhar Abdullah
Terbitan: PTS (M-Komik)
Tahun: 2010

Sinopsis:
Seorang lelaki Melayu menjadi benteng terakhir kepada sebuah kampung yang dilanda dengan kehadiran tentera Jepun pada awal pendudukan Kepun di Tanah Melayu. Darah tercalit antara senapang dan keris.

Rasa:
Azhar kali ini memberi kita sebuah cerita yang mikro berbanding dengan Liga Pendekar, tetapi masih bercirikan perjuangan, dan kali ini lebih teliti dalam perjuangan kebangsaan.

Kisah seorang lelaki yang tidak dikenali namanya, asal-usulnya (hal ini menarik, mungkin Azhar mengambil semangat filem-filem Spagetti Western yang selalu dilakonkan oleh Clint Eastwood, the man with no name) memberi resonans dan kuasa psikologi yang tersendiri apabila beliau meletakkan kepentingan diri dengan kepentingan orang lain. Hal yang samar-samar terdahulunya (kerana saya inginkan lebih daripada itu dalam latar) di"jawab" dalam keadaan anti klimaks yang nikmat. Keadaan zaman (pendudukan Jepun) dan perwatakan si "pendekar" membaur dalam kekelabuan yang amat dirasai.

Kali ini, tidak ada ramai watak, malah ini disengajakan sebagai menggerak watak protagonis "lelaki Melayu tanpa nama" yang membela sebuah kampung dijajah Jepun. Malah dialog juga dikurangkan secara minimum. Kerana kekuatan komik ini kali ini ialah penceritaan visual, yang mana Azhar melakukannya dengan berhati-hati dan lunak, seakan-akan sememangnya seperti jurus-jurus silat yang dilakukan, berhati-hati, tangkas dan pasti - ia sekali gus indah, ganas dan menyentak. Drama Azhar terletak dalam gubahan gerakan dalam panel dan aksi-aksi yang digerakkan, bukan lagi watak-wataknya sahaja.

Saya hanya mempunyai satu masalah sahaja, yang mungkin ini disengajakan oleh Azhar (memperlihatkan cara Azhar bermain dengan suspens) iaitu watak yang mana si pendekar sengaja tinggalkan selepas diselamatkan daripada mangsa rogol si sarjan Jepun. Yang lain-lain membuak perasaan sakit dan derita yang setaraf sadis, kewajarannya amat terasa. Lakaran Azhar menyatakan ini dengan kuat dan tanpa terlindung (kekejaman Jepun). Ini penting sebagai satu suara humanisme serta justifikasi si pendekar membela penduduk kampung dengan darah. Di sini, Azhar dengan telus menyampaikan maksudnya, generasi sekarang perlu bersemangat dan kenal kekautan diri sendiri supaya tidak diinjak-injak lagi.

Secara lembut juga, Azhar memberi "suara" kepada penduduk kampung Melayu, kepada si pendekar, dengan adab sopan santun orang Melayu, memaparkan ketinggian tamadun Melayu dalam budi dan jati diri (dan hal ini sengaja dikontrakan dengan keadaan mendepani kerakusan Jepun, yang saya kira, sindiran Azhar yang sengaja terhadap isu-isu "moden" sekarang yang mengganggu jati diri Melayu sekarang). Saya amat mengkagumi Azhar yang boleh menyatakan kekerasan dan kelembutannya Melayu dalam satu ikatan yang tersulam cantik, lantas membentuk suatu suara yang bukan lagi bersifat didaktik, tetapi seni.

Azhar secara rasminya memasuki leksikon saya sebagai satu-satunya "pelukis komik Melayu terunggul abad ini".

1 comment:

Anonymous said...

laksamana sakti,

salam tuan tanah,hamba tau sapa nama pendekar melayu terakhir itu,haha..
sapa lagi saudara azhar sendiri lah..
muka beliau pun sama..heheh..

jgn marah bro azhar..PMT memang bakal klasik!