Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, October 25, 2010

Muhammad Akhir: Novel Islam Melayu Terunggul



Tajuk: Muhammad Akhir

Oleh: Anas K. Hadimaja
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 1992

Sinopsis:
Muhammad Akhir, seorang pemuda Melayu yang berjalan dalam arah yang tidak ramai boleh dititi orang, termasuk mereka yang beragama dan mengaku berjalan untuk agama Allah. Maka sentuhannya seperti mimpi indah yang sudah lama tidak dirasai orang, mendayu mereka dalam hak Tuhan yang sentiasa dalam rahmat-Nya, sedang yang tidak melihatnya mencari jalan menyingkirnya dari dunia fana. Novel ini diceritakan dalam dua pandangan pertama, seorang lelaki yang jahil agama, dan kemudiannya berubah, dan seorang wartawan.

Rasa:
Shahnon Ahmad dan sekumpulan penulis yang sudah membaca novel ini memanggil novel ini "ajaib" dan "luar biasa". Bagi saya, sebenarnya novel ini sebuah novel sufi (yang dipanggil Habiburahman sebagai novel ruhaniah, pembina diri) yang secara haknya sebuah novel yang "mengajar" tentang "mengenal diri" (ingat buku yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri?), disaluti dengan plot berkenaan seorang lelaki (lelaki ini kiranya seorang wali Allah yang nyata/hidup) yang mengajar secara sengaja atau tidak sengaja tentang Islam dan kemanisannya kepada mereka yang dijumpainya.

Setentunya hal ini masuk akal kerana mengetahui novel ini ditulis oleh seorang warga Kelantan yang sudah mafhum mempunyai pondok-pondok tradisional paling terkemuka (sekurang-kurangnya sebelum era korikulum bersepadu yang diterapkan kerajaan sekarang) di Nusantara, malah jika mereka yang "mengaji" akan menyedari bahawa teks-teks "rahsia" (seperti yang dinyatakan oleh Shahnon Ahmad dalam mengulas novel ini) sebagai teks-teks tasawuf yang pernah diajar di pondok Kelantan, juga sebuah "kitab" yang dikatakan "kitab Tuk Janggut" dalam mengajar insan tentang mengenal Allah, Islam dan diri mereka. Wallahu alam.

Ini sebuah novel yang amat-amat luar biasa. Dalam beberapa bab dan babak novel ini, saya jadi terlalu tersentuh dengan pilihan teks dan kisahnya, saya jadi menangis dan menangis. Ya, ia telah menyentuh kalbu saya berkenaan indahnya ciptaan Allah dan segala yang sempurna, lemah dan buruk itu dari Allah jua. Malah persoalan dan isu yang tampak "tegang" (jika dinyatakan dalam teks politik, seperti perkauman) tampak indah dan "terjawab" secara humanis di dalam novel ini, menunjukkan kekuasan Islam sebenarnya. Lihat secara lembut dan selamba satu perbualan berlaku:

"Rezeki manusia, Melayu atau tak Melayu, Islam atau tak Islam, semua Allah yang beri!" (hlm. 108)

"Kalau Allah buat Dol, Allah buat anak Cina, Allah buat anak India yang Dol kasi aiskrim tu, pasal apa Pak Cik Hod buat sibuk, pasal apa Dol Pak Cik Hod sayang, anak Cina tu Pak Cik Hod kurang sayang, anak India tu Pak Cik Hod tak sayang? Sayang semua tak boleh?" (hlm. 146)

Novel ini disengajakan "diceritakan" oleh dua orang, malah dipecahkan dalam dua bahagian. Satu dalam bab yang begitu panjang, menceritakan kisah seorang lelaki tua (Pak Mat) yang baru mengenal Muhammad Akhir di tempat kerjanya. Bahagian ini seakan-akan satu testimoni panjang si tukang cerita berkenaan Muhammad Akhir. Pak Mat ini seorang yang "buta agama" dan banyak melakukan dosa tetapi "berubah" apabila bertemu Muhammad Akhir. Sebenarnya "testimoni" ini seakan-akan dirakam oleh si pencerita bahagian kedua, si wartawan. Ini berlaku sewaktu lelaki tua itu ditemuramah oleh pihak berkuasa agama (kita umpamakan pihak Jakim) yang mana si wartawan ada. Saya teringat dengan novel Imam oleh Abdullah Hussain dan tanpa ragu-ragu, saya merasakan bahagian novel inilah yang di"angkat" oleh Abdullah dalam novel besarnya itu. Hal ini kerana babak "mencemas"kan ini menyatakan idealogi novel ini "dipersoal" (di sini, akidah Muhammad Akhir dipersoal) sepertimana Imam Mihad dipersoal (di sini, persoalan iktikad dan mazhab Imam Mihad). Jika saya membandingkan kedua-duanya, saya terpaksa akur kekuatan teknikal Abdullah Hussain. Tetapi sebagai satu hasil kerja menyentuh sanubari dengan cara yang amat mudah, novel ini telah lebih menyentuh jiwa saya untuk "mempercayai" Muhammad Akhir, tanpa perlu berdiskusi akan retorik agama yang berjela-jela dan konon bersifat intelektual tepu. Di sini, Muhammad Akhir menyentuh saya dengan "hati", bukan lagi "minda". Jika Imam Mihad dan Muhammad Akhir di hadapan saya, saya memilih Muhammad Akhir sebagai guru saya. Ini yang susah hendak dilawan oleh mana-mana Tehrani, Razy, Hussain atau Ahmad.

Bahagian keduanya ialah seorang wartawan yang hebat agama. Ini merupakan bahagian yang "mencabar" kerana wujud satu konflik yang besar (Jakim mencari dan mahu menangkap Muhammad Akhir, sepertimana pihak berkuasa agama mahu menangkap Imam Mihad dalam Imam) yang tidak dihabiskan oleh Anas, malah bahagian ini diberi satu anti klimaks yang agak menggusar kerana mencacat kesempurnaan novel ini. Saya merasakan "babak" ini wujud tetapi mungkin terlalu kontreversial buat DBP untuk menerbitkannya, kerana dipaparkan tanpa segan-silu dalam novel ini, bahawa ulama yang mahu Muhammad "ditangkap" merupakan ulama "makan gaji", ulama "pengikut pemerintah", dan ulama "wahabi" yang secara mengejutkan, wujud dalam mana-mana negeri pejabat agama Islam sekarang! Tetapi cara Anas menulisnya pun sungguh "lembut" ia tidak nampak pun seakan watak-watak ini "dicela". Inilah adab penulisan Islam yang saya kagumi dan saya menangis membacanya. Inilah novel Islam sebenar-benarnya.

Sebenarnya, novel ini disengajakan "memilih" dua individu tersebut, dengan gaya kolikual (bahasa percakapan/monolog) atas menyatakan "alam" mereka untuk disentuh oleh watak protagonis, dan bagaimana mereka terpesona akan "keganjilannya" kerana ia merupakan strategi pembaca untuk "merasai" pengalaman watak-wataknya (ini mengambil perumpamaan yang diajar oleh Imam Ghazali, ilmu seperti cinta, iman, hanya boleh dipelajari dengan mengalaminya). Sememangnya bahagian si wartawan itu disengaja "panjang" kerana si wartawan merupakan seorang watak "biasa" yang lebih "berilmu", maka untuk si "berilmu" itu terpesona dengan sesuatu yang "luar biasa" tentu mengambil masa, seumpama kata: "cawan hanya boleh diisi bila ia kosong dan tidak penuh", hal sufisme ini (mengosongkan diri, membersihkan diri daripada besar diri, membuang ego sebagai seorang yang hebat) yang jarang-jarang disediakan oleh penulis generasi sekarang kerana mungkin kekusutan mereka atau tidaknya mereka tahu tentang wujudnya tasawuf dan tarekat sufiyah.

Inilah novel yang memahami sebenar-benarnya roh dan sifat "tasawuf" Islam dan bukan teks berjela-jela intelektual dan keras kenyataan fiqh, tauhid dan falsafah tetapi tidak mengenal "tubuh", "baju" dan "roh" Islam tu. Novel ini, dengan garapan Anas, benar-benar memahami setiap "petanda", "jiwa" dan "aksi" yang menyebabkan insan itu Islam atau tidak. Ada sesuatu yang "besar" dan rahsia, dan hanya dapat dirasai oleh mereka yang sudah menyentuh dan membaca novel ini, lebih-lebih lagi kepada mereka yang "mencari jalan ke Allah" akan dapat sama merasakan kemanisan teks Anas. Mereka tahu, ini sebuah novel sufi yang sebenar-benarnya sufi. Dan ianya hidup dengan nur yang dihadam teliti.

Saya tidak pernah merasa "sebak dan tenteram sekali gus" apabila membaca sebuah novel. Watak protagonisnya jelas menyentuh, termasuk watak-watak yang mengelilingi Muhammad Akhir, dalam kelemahan manusiawinya mereka (termasuk narator novel ini). Mereka semua mencari. Kami (pembaca) juga mencari. Alhamdulillah, saya menjumpai sedikit "titis air"nya dalam novel ini, yang setentunya membuka jalan yang lebih luas untuk menemui lautan Allah yang tiada sempadan untuk menemui kebenaran-Nya. Ianya, bolehlah bermula dengan novel ini.

Semoga Allah memberkati dan merahmati Anas K. Hadimaja untuk novel ini.

Saya sudah menjumpai novel Islam Melayu saya, walaupun tidak sempurna, setakat ini.

11 comments:

Pet Shop Boys said...

Saya akan cuba membeli buku ini.

Norziati Mohd Rosman said...

Sudah lama memiliki, sudah membeleknya beberapa kali untuk memulakan bacaan tetapi ditinggal sepi begitu sahaja. Ulasan ini menarik hati membacanya semula. Terima kasih

arjunasetia said...

Saya membaca novel ini ketika berusia 18 tahun, dengan cara meminjam dari perpustakaan awam. Sekarang ini saya telah berusia 40 tahun. Dan saya ingin berkongsi disini bahawa, Novel inilah yang sebenarnya meberikan satu inspirasi, motivasi dan 'anjakan paradigma' kepada diri ini dan membawa kesan dan pengaruh yang amat mendalam didalam perjalanan hidup saya selepas itu. Tahniah kepada penulisnya. beberapa babak masih saya ingati antaranya ketika Muhammad Akhir mencabar pak Hod mencabut paku dari dinding..Allahu Allah..!!

Anonymous said...

Assalamualaikum, saya sedang mencarik buku ni sesaper yg tau kt mane leh dapatkan buku ni tlg email kt saya yerk ashaari_ahmad@yahoo.com thax

Anonymous said...

Salam

Sedikit pembetulan di sini:

1. Allahyarham Anas Karta Hadimaja atau nama sebenarnya Muhammad Dzan bin Abdullah zahirnya pada 18 Februari 1937 di Bagan Datoh, Perak Darul Ridzuan.

2. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 Disember 2011 di kediaman beliau di Petaling Jaya, Selangor.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan beliau di kalangan para salihin.

Ila hadhratin Nabiyy ahmadim Musytaba Muhammadim Mustafa Rasulil Lahi (saw) khususun ila ruhi Muhammad Dzan bin AbdulLah al Fatihah..

3. Allahyarham Anas K Hadimaja mempunyai seorang anak yang juga seorang penulis muda, H.S. Anas yang bakal bergraduan (Anugerah Sijil Dekan Pelajar Terbaik) di dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.

Terima kasih dan Wassalam
Abu Abdullah Anas Al-Banji
http://muslim-melayu-malaysia.blogspot.com/

zryl said...

Assalamualaikum. Kali terakhir saya membaca karya hebat ini ketika di tingkatan 5. Ingin memiliki naskah ulung yg menyentuh hati dan jiwa ini apakan daya ianya milik perpustakaan. Andai sesiapa yg ketahui sama ada masih dijual nafkahnya saya tersangatlah suka hati untuk membelinya InsyaAllah...

sarena said...

Boleh pinjam x...call saya 019 288 7550
Thks

sarena said...

Saya juga mcarinya...tp dh x dicetak lagi...

sarena said...

Saya juga mcarinya...tp dh x dicetak lagi...

sarena said...

Saya juga mcarinya...tp dh x dicetak lagi...

Mat Azhar said...

Saya ada menyimpan novel ini yg dibeli sekitar thn 1986-1988..karya yg amat hebat..Alfatehah utk arwah penulis.