Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Wednesday, February 17, 2010

2 Novel Grafik Menarik



Tajuk: Carnet De Voyage
Oleh: Craig Thompson
Terbitan: Top Shelf Production
Tahun: 2004

Sinopsis:
Craig Thompson yang memperkenalkan anda dengan novel grafik adikaryanya, Blankets serta buku comel tetapi bertema dewasanya, Good-bye Chunky Rice kini menjelajah beberapa bahagian Mediterenean dan Eropah, memperkenalkan novel grafik anugerahnya kepada peminat komik di benua itu. Kita mengikuti perjalanan Thompson secara jurnal, emosinya dan kesunyiannya di dunia orang lain, rasa dan warna yang amat berbeza buatnya.

Rasa:
Secara tidak terancang, saya mendapat peluang meminjam buku ini dan membacanya daripada seorang kawan, pada masa yang sama saya sedang membaca novel grafik Palestine ciptaan Joe Sacco.

Yang menariknya ialah, di dalam buku ini, Craig Thompson bertemu dengan Joe Sacco yang menceritakan pengalamannya bersama dengan orang Islam Palestin dibawah kekejaman pemerintah Israel. Pada masa itu, Thompson pula mempunyai perspektif berbeza dan sedikit tersinggung terhadap tamadun dan budaya Islam (berdasarkan pengalamannya di Morocco) yang mana kita akan dapat melihat jiwanya di dalam buku yang masih dilukisnya dan akan dikeluarkan, Habibi.

Ini merupakan buku yang telus daripada Craig Thompson, yang memerhati dunia dengan sikap keanak-anakannya terhadap alam (dengan tidak memberi penghakiman, tetapi hanya merasa dan kenal dahulu), sikap sunyinya dengan perempuan dan neurotiknya terhadap keterasingan dan masa lampaunya. Pembaca Islam sudah tentu akan membaca "pegangan agnostik" Thompson sebagai "benteng" terhadap pemahamannya tentang kultur asing buatnya (di sini, Islam), ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita mencari perasaan dan jiwa individu mendepani hal asing dan keterasingan, dan Craig Thompson mempunyai kuasa ini, cuba mencari persamaan dan sejarah serta identitinya dan bagaimana hal ini dapat diikat dengan alam serta manusia yang dijumpainya. Ada yang cantik, sungguh, tanpa perlu kata-kata dan dibayangkan dalam bentuk grafik sahaja, malah disengajakan berbentuk travelog. Ada yang amat murung, kita akan diperkenalkan dengan watak "alterego" Thompson dalam Good-bye Chunky Rice untuk memberi rasionalisasi, malah humor dalam perasaan murungnya sewaktu itu.

Tetapi buku ini amat sesuai untuk mereka yang benar-benar sudah membaca adikarya Thompson yang terdahulu, Blankets, daripada terus menelaah buku ini kerana sememangnya ia merupakan buku yang amat peribadi, malah mungkin dituduh merupakan buku "pendedahan sensasi" jika tidak memahami penalaman dan apa yang membuat Thompson bercahaya.


Tajuk: Palestine
Oleh: Joe Sacco
Terbitan: Fantagraphics
Tahun: 2001

Sinopsis:
Joe Sacco menjelajah dunia Palestin yang dinafikan sejarah dan identitinya oleh Israel. Joe Sacco bergerak seperti seorang wartawan, dan sebagai wartawan serta pelukis komik, dia cuba menggambarkan Palestin seadanya.

Rasa:
Buat saya, ini sebuah buku yang penting untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam tanah terjajah orang Palestin dibawah kuasa Israel. Dicipta sewaktu 1991-1992, masa Joe Sacco menemui orang-orang Palestin yang lalu lalang, mendengar rintih dan seksa mereka dibawah penderaan mental dan emosi dibawah cengkaman Israel. Malah, kita memahami di sini, secara pengkajian, kenapa segelintir anak muda Palestin jadi terdesak untuk membunuh diri dengan meletupkan diri mereka seperti bom di kawasan awam Israel.

Yang penting, Joe Sacco bersikap agak kalkulatif, dia menginginkan sensasi, dan dia sendiri mengaku, dia bukan seorang satria, tetapi lebih semacam "seekor tikus" yang mahu menghidu keju lalu makan (menyiarkannya). Menariknya, kita dapat merasakan, sedikit demi sedikit, walaupun kepala Sacco masih siuman, memahami semangat pahit Palestin yang terpaksa berjiran dengan orang seperti Yahudi-Zionis Israel. Malah, sebulat-sebulat, walaupun tidak akan disanggupi oleh Israel atau Yahudi-Zionis, pandangan zionis dan rasis Israel memang secara terang-terangan dipaparkan "menipu", baik rakyat antarabangsa (di sini, Sacco) juga diri mereka atas hak membina satu identifikasi kebangsaan berdasarkan kitab mereka (bahawa mereka Anak Tuhan Terpilih). Hal ini menarik diperkatakan kerana buku Sacco ini tetap dikritik "menyokong sebelah pihak" walaupun Sacco sendiri mengaku dia memerlukan masa dan buku satu lagi untuk "menceritakan pihak Israel pula". Ini bukan poinnya. Yang penting adalah cerita-cerita Palestin itu. Sacco hanya menjadi "perakam" dengan membantu kita melihat dengan ilustrasinya, jauh daripada mendramatikannya (walaupun beberap cerita tahanan memang kuat unsur seramnya) untuk memahami secara objektif "apa yang sedang berlaku di balik benteng dan pagar sempadan Israel".

Malah ini dikuatkan dengan satu babak, hanya satu babak yang cukup membuat sesiapa yang membaca buku ini untuk mendecit kepada askar Israel. Malah, ada beberapa pembaca Barat yang tidak menyukai buku ini secara jujur menyatakan, babak budak di tengah hujan itu betul-betul membuka mata mereka terhadap sikap kealpaan askar Israel yang terbawa kepada pemahaman zalim buat penduduk Palestin.

Ini sebuah novel grafik yang berkuasa, yang perlu dibaca oleh sesiapa.

3 comments:

mukhsen_x said...

terasa nak baca ni.
pinjam, hehe.

azhar said...

saya setuju,,

2 komik ini ada dalam wanted list utk saya beli..

baru saja beli Blankets by craig thompson..anda sudah baca?

fadz said...

mukhsinm buku Palestine tu bolehlah pinjam, tu buku saya.. nanti eh..

azhar, hehe yeap, dha baca Blankets, sgt menyentuh..