Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, October 7, 2009

Respon Terhadap "A man of Letters", The Sun, 8 Oktober 2009

Di dalam The Sun hari ini, Bissme telah melaporkan sebuah wawancara SN Anwar Ridhwan yang baik dan bermanfaat buat penggemar sastera. Saya selalu memuji tuan Bissme dan The Sun atas kemampuan mereka melangkaui isu kesusasteraan Malaysia yang pelbagai genre dan rencam, daripada penulis indie, penulis Inggeris yang dibuat tak endah oleh peminat sastera Melayu sehingga yang bernama Sasterawan Negara, Bissme telah melakukannya. Ini kiranya, maaf kata, melampaui keberadaan Dewan Sastera yang sepatutnya menjadi pemerhati dan pemberi wadah "apex" dalam hal-hal sastera yang berlingkar di Malaysia dan bukan hanya terhadap kesusasteraan Melayu sahaja. Itu belum lagi menyentuh aspek editorial bahagian sastera dalam Berita Harian dan Utusan yang masih "menakuk" buat penulis bahasa Malaysia sahaja dan hanya menjuarakan "kesusasteraan Islam".

Hanya saya ingin memaklumkan beberapa perkara tentang wawancara berkenaan:

Persoalan Bissme tentang pemilihan Sasterawan Negara (SN) semacam Michelle dalam Melodi. Mesensasikan hal sastera (yang kiranya perlu untuk mempopularkan sastera tetapi tampak janggal bila melihat perkembangan sastera secara luas), seakan menangguk jawapan atas hal ingin mengutarakan isu "hangat".

Atau itu memang kebiasaan wartawan kita sekarang yang memang sukakan sensasi untuk "menjual"?

Hal yang paling runcing mengenai pemilihan SN. Penganugerahan SN memang untuk semua penulis MALAYSIA tidak kira ras, agama yang menulis dalam Bahasa Malaysia. Perlu dikaji dahulu kenapa penulis bukan Melayu masih belum memenangi SN sebelum Bissme mempersoalkannya. Persoalan lagi, adakah penulis bukan Melayu sudah bersedia untuk penganugerahan sebesar itu dengan hasil karya yang mereka sudah sumbangkan buat Malaysia?

Sila rujuk kesemua SN sebelum ini (termasuk Datuk Anwar Ridhwan) dan sedari “sumbangan besar” mereka terhadap sastera Malaysia. Persoalan: adakah Lim Swee Tin setakat ini benar-benar menciptakan satu puisi atau kumpulan puisi yang benar-benar impresif dalam hal kesusasteraan dan pemikiran? Adakah Bissme sendiri (serta pembaca sastera Inggeris tempatan rata-ratanya) mengenali puisinya berbanding puisi Usman Awang ataupun Latif Mohidin? Walaupun ada beberapa cerpen Uthaya Sankar SB yang memang berjaya dan melangkau zaman, adakah cerpen-cerpen ini boleh dikumpulkan dalam satu kumpulan cerpen yang impresif? Lalu berapa banyak? Selain cerpennya, adakah Uthaya menulis genre lain yang boleh dibanggakan selain tulisan-tulisan sewaktu remajanya? Hanya yang saya nampak takat ini yang boleh menggarap SN adalah sasterawan Sarawak, Jong Chian Lai, di mana novel Pemberontakan (yang saya pasti Bissme pun tak tahu ia wujud!) merupakan novel sejarah (atau pascamoden-pascakolonial sejarah) yang impresif. Tetapi saya menunggu buat Jong mencipta lagi hasil-hasil kuat sebegini (novel barunya, Kota Larangan Qui contohnya amat susah dibaca [unreadable] walaupun diperkelaskan buat remaja).

Jika diperlihat hasil karya setiap SN, setiap SN itu telah membawa satu pembaharuan yang berimpak sekali gus baharu terhadap latar sastera Malaysia dalam bahasa Malaysia. Kita kenal Keris Mas dengan cerpen-cerpen humanisnya serta dua novel besarnya yang kritikal terhadap perkembangan sosio budaya Malaysia, Rimba Harapan (yang kini boleh ditafsirkan sekali lagi sebagai sebuah novel yang meramalkan pemecahan politik Melayu) dan Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (idealisme dan segala yang menentangnya dalam Melayu Baru, perniagaan Ali Baba, kapitalisme baru, suara baru Melayu yang tiba-tiba tercetus dengan kehadiran Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim), Shahnon Ahmad yang tidak perlu diperkenalkan dalam memperkenalkan kita dengan Ranjau Sepanjang Jalan, Menteri, Rentong, Srengenge, dan kemudian novel kontreversial TiVi dan Shit, Usman Awang yang menjadi penyair untuk semua, kemudian Pak A. Samad Said yang saya tidak perlu perkenalkan lagi (SN paling terkenal, atau kini beliau suka digelar Sasterawan Rakyat), Arena Wati dengan deretan novelnya yang melampaui dunia kecil Melayu dengan novel-novel antarabangsa dan impresif (yang ramai penggemar sastera Inggeris buat tidak tahu) seperti trilogi "Wanita Luar"nya, Sukma Anginnya, novel Lingkaran, trilogi Armagedonnya, trilogi "Busa"nya, novel satira-parodi Paradise Lost, Panritanya (sasterawan ini merupakan sasterawan kegemaran Faisal Tehrani dan juga saya), kemudian Muhammad Hj Salleh yang memperkenalkan Puitika Melayu (melarikan diri daripada penyesuaian pengkritik sastera tempatan yang hanya mengambil teori sastera Barat dalam menyelidiki sastera Melayu, bukan menolak teori luar tetapi memperkenalkan sisi baharu atau lain dalam menyelidik sastera tempatan) yang revolusioner buat sarjana sastera dan sudah tentu "penggegaran besar"nya terhadap Salatus Salatin dengan buku puisinya Sejarah Melayu dengan mempersoalkan kembali teks kalisk ini dengan alunan kata-kata yang memikat, serta beliau juga melahirkan banyak esei yang memperjuangkan pantun (yang sepatutnya dikongsi semua rakyat Malaysia dan bukan Melayu sahaja) di luar negara, dan selepas itu Nordin Hasan dengan koleksi drama Teater Fitrahnya yang membawa satu kelainan, melawan pemahaman kita akan teater-teater absurd yang dibawa oleh Backett, seterusnya Abdullah Hussain (juga SN kegemaran saya) yang telah banyak menghasilkan novel yang popular dan penting seperti Interlok, Konserto Terakhir dan teknik New Journalism yang menggoyah dalam Imam lalu beberapa memoir yang impresif seperti Sebuah Perjalanan serta beberapa buku biografi yang berkelas tinggi, dan kemudian S. Othman Kelantan yang membawa kita pelbagai cerpen kampung/urban juga naratif spiritual-puitis yang lain dalam Juara, Wajah Seorang Wanita dan setentunya Orang Kota Bharu yang amat impresif itu. SN Anwar Ridhwan hanya memperlengkapkan kehadirannya dengan cerpen-cerpen besarnya serta dua buah novelnya yang amat terkenal, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (walaupun novel ini bukan kegemaran saya, ia berjaya membawa satu pengaruh besar, baik dalam persada sastera, seni serta budaya pop, sedar atau tidak nama-nama filem/drama TV/cerpen/novel yang seangkatan "terakhir" itu seperti Perempuan Melayu Terakhir dan Konserto Terakhir?) lalu magnum opus Naratif Ogonshoto, sebuah novel pascamoden yang sememangnya impresif dalam melibatkan diri dalam politik dan intrig dunia Ogonshoto mensatirakan pergolakan reformasi era Tun Mahathir.

Adakah hal-hal ini Bissme kaji dan sedar dahulu sebelum bertanya secara spontan, "Kenapa penulis bukan Melayu tidak boleh mendapat SN?" Saya memang pun menunggu buat Lim Swee Tin menulis sesuatu yang agung dan dikenang zaman, untuk Uthaya melangkau ke novel atau drama atau perbanyakkan lagi dunia Siru Kambamnya, atau Jong dengan banyak lagi cerpen dan mungkin sebuah lagi novel yang impresif sebaik Pemberontakan. Baharulah kita boleh persoalkan, "Bila penulis bukan Melayu boleh mendapat SN?"

Yang saya tunggu-tunggu sebenarnya sasterawan wanita seperti Siti Zainon Ismail, Fatimah Busu atau Zaharah Nawawi untuk mendapat SN. Saya tampak, Siti Zaitonlah sasterawanita yang paling ke hadapan atas sumbangan besar beliau terhadap sastera Malaysia, mencipta satu perspektif feminiti yang lain dalam Pulau Renik Ungu (yang semestinya tidak disenangi wanita Melayu kerana kebebasan dan kelantangan wataknya dalam novel itu) atau bagaimana dalam dan kompleksnya dunia puisi dan cerpen Siti Zainon menyelami dunia nuasantara dan mengaitkannya dengan identiti Malaysia, serta sudah tentu tulisan budayanya yang menjadi rujukan utama penyelidik budaya Malaysia. Hal ini saya nampak lebih diutarakan daripada hal yang dimaklumkan oleh Bissme.

Sebenarnya, satu sahaja harapan saya. Buat penulis bukan Melayu banyak menghasilkan lagi karya-karya bahasa Malaysia yang bergegar (boleh sahaja konvensional atau subversif, itu tidak penting), dan banyak lagi kajian yang mendalam dibuat terhadap karya-karya ini. Itu harapan saya. Siapa mahu memulakannya?

3 comments:

Isma Ae Mohamad said...

Terima kasih,

entri ini bagai satu pertanyaan buat diri saya sendiri.

Naratif Ogonshoto yang membuatkan saya jatuh cinta pada sastera Melayu...

saat omar said...

ye betul..

fadli akiti said...

Isma, saya suka amat dengan cerpen2 Anwar Ridhwan... Macam masuk dunia lain..