Tajuk: Introducing Postmodernism: A Graphic Guide To Cutting-Edge Thinking
Oleh: Richard Appignanesi & Chris Garratt dengan Ziauddin Sardar & Patrick Curry
Terbitan: Totem Books
Tahun: 2007
Sinopsis:
Apa yang menghubungkaitkan Marilyn Monroe, Disney World, The Satanic Verses dan ruang siber? Jawapan: Pascamodenisme. Tapi apakah sebenarnya pascamodenisme? Buku grafik ini cuba menghuraikan dengan jelas konsep-konsep enigmatik juga sewel tentang pascamodenisme dan bagaimana pascamodenisme mendefinisikan kondisi budaya dunia bermula dari tiga dekad terdahulu.
Rasa:
Saya meminati buku-buku "pengenalan" ini. Grafiknya memikat (tetapi memerlukan pemahaman seni daripad konteks pemikiran barat) dan penyataan-penyataan yang disampaikan selalunya "senang". Saya katakan "selalunya senang" kerana kadang-kadang, dalam perjalanan membaca sebuah buku ini, kita akan "tersesat" atau "jahil" dengan beberapa istilah, di mana buku ini tidak akan memberikan pengertian kepada beberapa jargon falsafah/kemahiran subjek tetapi dianggap pembaca perlu sedia tahu atau sebuah kamus ada di sebelahnya. Kepada pembaca "blur" dan mula hendak mengenali pascamodenisme, lebih baik anda goggle dan baca entri wikipedianya, ia lebih senang difahami.
Pun begitu, buku ini cuba dengan semangat meringkaskan sebaik mungkin, segala isu dan kritikan serta ketistimewaan yang dapat dikhususkan kepada pascamodenisme, daripada pemusnahan bangunan Pruitt-Igoe pada 15 Julai 1972 (mengikut penaksiran pengkaji seni bina pascamoden, di sinilah waktu pascamoden bermula), kepada idealisme Foucault, Baudrillard, Derrida, Heidegger, dan pergerakan seni moden Picasso kepada Duchamp, Pollock dan Warhol, serta "Akhir Sejarah" Fukuyama kepada kepascaan 11/9 dan pascanya, buku ini cuba merangkul satu penafsiran yang bernas dan seimbang tentang pascamoden. Sebahagiannya boleh kita ikuti tetapi sebahagiannya masih tidak masuk akal dan memberi kita masa untuk "menghentamnya kembali". Pascamoden merupakan idea yang terhuyung-hayang, tetapi dalam masa yang sama tetap dinamis dalam sambil mengaitkan kewujudannya, semacam fizik kuantum. Ketidaktentuan ini berjaya disampaikan dalam buku ini, yang mungkin menyebabkan ketidaktentuan pembaca selepas membacanya.
Perkara-perkara menarik tentang buku ini adalah bagaimana ia mendasarkan ringkasan retrospektif kejadian yang berhubungkait dengan pascamoden, dan bagaimana realiti ini disampaikan dengan kemahuan atau ketidaksedaran manusia sekarang, dengan konsep globalisasi, similakrum, pemprosesan massa dan dengan kontreversi, kedatangan pengganas yang tidak diundang (buku ini menafsirkan pendapat Derrida bahawa pengganas merupakan cerminan atau "keinginan" pihak Amerika untuk "berlaku" terhadap mereka selepas perang dingin, "perang dunia ketiga yang maya" tamat).
Hal-hal ini sememangnya provokatif, dan kadang-kala bilazim (seperti intelektual ciptaan The Satanic Verses yang menolak "naratif agung" orang Islam terhadap sirah Rasulullah s.a.w.), kadang-kala bercampur (seni tidak lagi diiktiraf dari segi prestij atau jalanan, dan masalah kapitalisme dalam hal ini juga dinyatakan) menyatakan dengan betul kenapa orang menyukai dan membenci pascamoden sekali gus.
Walaupun mungkin buku ini tidak dapat menyatakan dengan sepenuhnya tentang pascamoden (seperti kegagalan memberi ruang suara feminis walaupun sengaja dinyatakan pada beberapa tempat), ianya sudah cukup untuk kita mengenali sedikit sebanyak tentang pascamoden, walaupun mungkin kita celaru apabila mengenalinya.
No comments:
Post a Comment