Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, June 15, 2009

The Harmony Silk Factory: Pecahan-pecahan Mitos Mencipta Makna


Tajuk: The Harmony Silk Factory
Oleh: Tash Aw
Terbitan: Harper Perennial
Tahun: 2005

Sinopsis:
Ini sebuah kisah Johnny Lim, seorang usahawan kain, samseng dan pencipta Mesin Todi Yang Menakjubkan, serta kisah perkahwinannya dengan Snow Soong. Pada 1940, sewaktu Jepun bersedia menduduki Tanah Melayu, Johnny dan Snow memulakan sebuah pengembaraan bulan madu mereka ke Pulau Dara Tujuh yang misteri, ditemani oleh seorang profesor Jepun, dan Peter Wormwood, seorang lelaki Inggeris yang menjelajah tanah Asia tanpa hala tuju. Beberapa tahun kemudiannya, Wormwood mengimbas kembali pengembaraan yang dilaluinya, sedang anak tunggal Snow menjejak kebenaran ibunya serta ayah kandungnya yang amat dikagumi dan dibenci oleh orang ramai.

Rasa:
Tash Aw merupakan satu-satunya penulis fiksyen Malaysia (yang sudah lama menetap di England) dalam bahasa Inggeris yang berjaya mengecapi pengiktirafan antarabangsa (mengikut sekumpulan penulis perantau negara India dan China), dan amat membanggakan, novel sulungnya mendapat pengiktirafan sebegitu tinggi. Sememangnya saya kira Aw adalah inspirasi buat semua penulis Malaysia bahawa tidak ada sempadan yang tidak boleh kita rintangi. Permulaan Aw membuka peluang buat novel-novel Malaysia diperlihat oleh orang luar, yang kemungkinan membuka peluang untuk penterjemahan lebih banyak novel Melayu/Cina/India tempatan ke bahasa-bahasa asing buat pasaran seluruh dunia sepertimana yang berlaku terhadap beberapa negara.

Secara umum, saya menyukai novel sulung anak kelahiran Taipei ini. Rekonstruksi demi rekonstruksi budaya berlaku, walaupun mungkin agak "kurang ajar" (beberapa mitos Malaysia dicampur aduk atau dibengkokkan, seperti keris Hang Jebat, Bintang Tiga, orang Melayu dan beberapa legenda/mitos lain), tetapi perlu dalam konteks cerita (kita membaca sebuah cerita yang "dibuat-buat" - mengambil semangat naratif tukang karut, dengan soalan: apakah yang kita dengar/baca itu betul-betul pernah berlaku?) Pergerakannya atau persoalan utamanya terletak dalam hal misteri eksotik (pengembaaraan Snow dan Johnny, perjalanan Peter Wormwood) serta pencarian identiti (seperti mana kebanyakan novel Malaysia "pasca kolonial" baru-baru ini) yang berlaku dalam suara pencerita "anak" si samseng Johnny Lim "yang pelik". Segalanya di mata pencerita tampak terasing dari tempat yang di kelilinginya, mengambil semangat keterasingan pihak luar (penjajah) memahami jiwa tanah yang diduduki juga keterasingan anak Malaysia yang sudah lama tidak mengunjungi tanahnya (seperti Tash Aw) dan cuba memahaminya.

Percubaan memahami ini yang dicurahkan dan dilakukan dalam bentuk fragmen (tiga bahagian) di dalam novel, di mana kita dapat membaca suara anak Johnny, kemudian Snow dan akhirnya Peter Wormwood. Saya mendapati hal ini ada persamaan dengan Bedar Sukma Bisu dalam eksplorasi pencarian "jiwa" atau roh tanah yang dipijak. Jika dalam Bedar, Faisal mengikat mitos, dunia mistik dan rekonstruksi sejarah dengan individu-individu di sebuah pulau dengan amanat "yang lurus" untuk benar-benar memahami "jiwa" tanah yang dipijak, Tash lebih cenderung mencelarukan "sejarah" kelahiran anak Johnny sebagai simbolisme kecelaruan kemerdekaan Malaysia lalu anak ini (kita?) perlu mencari jawapan tentang ayahnya dan kelahirannya. Saya menyukai struktur plot Faisal yang membentuk ceritanya seperti sebiji epal yang dikupas dan dikupas untuk menjumpai "biji"nya sedang bijinya sudah tersedia diketahui sedari awal (plot awal), semacam satu buku yang tiada awal dan akhir. Sedang Tash membentuk sesuatu cerita seperti yang dibuat oleh Micheal Odjante dalam The English Patient di mana fragmen-frgamen cerita yang keterasingan antara satu sama lain membentuk satu "teka-teki" yang penuh. Malang bagi Aw, Odjante "mencantumkan" cerita-ceritanya dengan bahasa lirikal yang mantap. Aw tidak mempunyai kekuatan itu. Lalu kadang-kadang pergerakan cerita daris atu bahagian ke bahagian lain tampak sedikit tidak bertempat, kaku dan "dingin" untuk dimesrai pembaca. Kadang-kadang kita "penat" membacanya. Hanya bahagian awal, penceritaan oleh anak Johnny yang bergerak menarik (diisi dengan analogi dan "tall tales" tentang ayahnya), serta halaman-halaman terakhir sewaktu Peter mula menunjukkan tanda-tanda nyanyuknya.

Semenangnya ini ialah cabaran Aw kepada pembaca. Sebenarnya novel ini perlu dibaca sekurang-kurangnya dua kali. Ini adalah kerana Aw, bukan seperti Faisal, langsung tidak menyimpan kod-kod tertentu untuk kita membuka "rahsia" yang tidak dinyatakan dalam novel ini (tetapi sangat jelas untuk kita ketahui), malah fragmen antara bahagian itu disengajakan untuk kita "tidak tenteram" memahami apa yang Aw hendak bawakan kepada kita. Hanya apabila kita sedar, membaca sesuatu yang tidak tertulis dan tidak dinyatakan untuk mengikat apa yang tidak tertulis dalam teks, kita sedar tujuan Aw yang sebenar. Ada yang melihat perkara ini sebagai genius, ada yang tidak.

Pun begitu, novel sulung Aw memang memenuhi semangat misteri yang selalu kita cari dalam mana-mana novel yang mengajak kita mengembara di dalamnya. Saya amat menyukai 100 halaman pertama novel ini yang berjalan sangat laju, mengujakan dan tidak pernah tidak merasa resah (cipta/reka mitos Johnny Lim). Aw mempunyai kekuatan untuk "disattach" dirinya daripada watak ciptaannya, maka watak-watak dalam novelnya semacam "hidup kendiri" - dengan penting lagi untuk mereka (watak-watak) melakukan apa yang mereka lakukan tanpa ada nukilan keterlebihan emosi yang terlalu (kadang-kadang memaparkan watak-watak ciptaan Aw agak dingin) oleh penulis. Keindahan Aw ialah dalam penciptaan dunia eksotik Tanah Melayu yang mengkagumkan atau menjijikkan orang luar yang melihatnya.

Saya menunggu untuk membaca novel kedua beliau. Tetapi buat masa ini, saya berpuas hati membaca sebuah novel Malaysia yang sudah diiktiraf di latar antarabangsa.

2 comments:

Luqman Hakim QA said...

salam menumpang lalu sahaja!

shandye. said...

oh. tepat sekali. aku terpanggil untuk membaca the harmony silk factory setelah ada rebiu tentang tash aw keluar lewat majalah klue.

susah juga hendak cari senaskhah kerana ketika itu buku itu masih belum dilancarkan sepenuhnya dan belum mendapat liputan luas oleh media. aku kira aku antara orang pertama yang membacanya.

memang. aku setuju tentang gaya penceritaan tash aw yg dengan sengaja dan penuh bersahaja menyuntik sejarah ke dalam kepompong mistik dan mitos dan digaul menjadi watak-watak yang kamu akan hampir mahu percaya wujud.

aku baca dua tiga kali baru aku faham dan dapat asingkan yang mana hanya imaginasi dan yang mana plot sebenar tash aw.

dengar khabar dia sudahpun melungsurkan novel keduanya. entah apa tajuknya aku sudah lupa.

apapun, tahniah di atas ulasan novel ini. hehe. ^^,