Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, February 8, 2009

Vamphra juga bermaksud Lampir!



Tajuk: Rahsia Agenda Alam Hitam II: Vamphra

Oleh: Zehann ur Rakhie
Terbitan: Pekan Ilmu
Tahun: 2008

Sinopsis:
Selepas kumpulan Alam Hitam digegarkan dengan kehadiran seorang pemuda Melayu di Perpustakaan Bodliean Oxford, Alam Hitam benua Eropah menjadi huru-hara. Pemuda itu ialah Massurya Syah, seorang putera berdarah campur titisan manusia dan makhluk alam hitam tetapi berpandu iman dan berkiblatkan ihsan. Dengan pertolongan seorang kapten Inggeris dan kapal Blue Spirit, Massurya Syah meneruskan perjalanannya menyiasat rahsia Alam Hitam daripada manuskrip yang dicurinya dari Oxford. Juan Kilaninta, seorang panglima tinggi dalam kumpulan Alam Hitam dari Sepanyol dikatakan seteru yang sama hebat dengan Massurya sedang mencari Massurya atas satu rahsia keturunan. Dan di sebalik semua ini, The Dark Doyen merancang dari atas mimbarnya buat menakluk Massurya Syah mengikutinya selama-lamanya.

Rasa:
Ini sebuah buku yang ajaib buat saya. Selama sebulan saya membelek novel ini, saya tidak dapat berhenti daripada meneruskan pembacaan novel ini. Ini adalah sebab kekuatan Zehann kali ini, di dalam novel sekuel "Alam Hitam"nya menggerakkan plot demi plot, intrig demi intirg dan watak demi watak yang senantiasa menambat hati dan membuat pembaca pasrah ingin mengetahui siapa di balik wajah, peristiwa apa yang seterusnya berlaku serta debaran apa yang menghampiri.
Malah, novel ini menunjukkan betapa jauh Zehann boleh pergi dalam "menyelami" dunia yang beliau telah cipta dan hidang dalam novel pertama. Pembinaan "dunia" ini penting dengan setiap sejarah, tempat dan budayanya yang dijaga dengan teliti (pembauran unsur fantastik itu tetap berlaku tetapi berkait dengan dunia abad ke-17 yang saya kira logik terhadap dunianya), malah berani membuka persoalan-persoalan dekonstruksi mitos dan legenda lama, kadang-kala terhadap mitos barat, kadang-kala terhadap Melayu, dan paling memeranjatkan, penghibridan kedua-duanya. Saya kira ini satu hal yang segar yang dibikin oleh Zehann, tidak menolak bahawa hal sebegini sudah biasa dalam novel-novel barat dan Jepun, hal sebegini jarang benar berlaku dalam dunia fantasi Malaysia.
Pun begitu, kali ini novel Zehann lebih berupa sebuah advencer daripada satu siri seram dan mistikal seperti novel pertama Rahsia Agenda Alam Hitam. Ini dikira disengajakan oleh Zehann untuk menggerakkan cerita dalam nada yang lain, oleh sebab "rahsia" yang kita kenali akan Alam Hitam itu sedikitnya sudah terbongkar (misterinya sudah sedikit hilang, malah kelihatan persis dengan beberapa cerita popular pontianak versi barat). Ini satu kebiasaan dalam penulisan novel fantasi, yang juga diikuti dan dijalankan oleh Anne Rice (novel The Tale of the Body Thief dalam siri Vampire Lestat Rice adalah sebuah novel fiksyen sains disalut fantasi!). Memang, saya kira, dengan pembikinan dan penerusan perjalanan satu "hero" ke satu "tempat yang dituju", cerita mula berupa "romantisme" (perjalanan mencari keluhuran diri, dan semestinya ada persoalan "cinta"). Advencer diterapkan agar cerita perjalanan itu mempunyai misteri dan debaran yang penuh unsur-unusr dramatik, tetapi hal inilah yang digunakan sepenuhnya oleh Zehann untuk menggerakkan perjalanan Massurya Syah ke dalam lubang gelap Alam Hitam. Maka hal-hal yang sebalik yang kita sudah kenal akan Alam Hitam, seperti cara hidup Alam Hitam di Eropah dan India, serta politik yang bermain di antaranya yang menjadi kuasa intrig di sini, dan hal ini digerakkan oleh Zehann dengan kemas sekali. Malah, sejarah budaya pesanteren Islam di India dan pelayaran kapal Inggeris juga disalut dengan budaya yang seasli mungkin tanpa menolak unsur hiburan yang terikat dengannya. Ini kepandaian Zehann. Kita membaca sebuah novel berat tapi bergerak sekali gus.
Apa yang menarik di sini ialah, bagi sebuah francais fantasi, novel ini sudah berjaya membina budaya dan sejarahnya yang tersendiri (walaupun terselit ketahyulan) dan boleh disediakan dengan "kompedium" kerana setiap tempat, budaya dan wataknya sudah hidup dan boleh diingati penting dalam penakrifan entri ensiklopedia fantasi. Malah penggunaan nama popular (seperti Lestat, walaupun hal ini sedikit menjanggalkan) menyebabkan siri novel ini boleh diikat kaitkan dengan kompedium fantasi-seram pontianak yang lain yang terdapat dalam dunia novel fantasi, membentuk satu lagi "pemaknaan" dan "pengiktirafan". Hal inilah yang membuat novel ini "hidup", bukan sahaja sebagai sebuah buku sahaja, tetapi betapa jauh, "isi" dalam buku itu boleh pergi. Di dalam dunia fantasi, ia penting untuk membuka peluang terhadap cerita dan mitos mengalami pengolahan semula dan perkaitan semula. Dan novel ini melakukan kedua-duanya sekali gus.
Saya khuatir jika ada beberapa istilah di dalam novel ini yang tidak mengikut nada budaya zaman yang di latarkan. Pun begitu, dan mengikut keberhasilan novel ini pun sebuah fantasi, ianya hal yang kecil dibadingkan dengan dunia yang berani ditempuhi Zehann. Buat saya, inilah satu-satunya novel fantasi Malaysia high adventure yang terbaik pernah saya baca. Merundum dan kuat dalam drama dan intrignya dan tetap berisi dengan santapan rohani serta sejarahnya.

8 comments:

kingbinjai said...

menarik nanti aku cari

ulasbuku said...

Cuma Zehann ni perbendaharaan katanya kurang sikit. Dalam satu perenggan kata yang sama diulang-ulang. Mungkin kena guna sinonim baru la nmpak menarik.

Tak tahulah, boleh jadi hal yang kecil spt kata Fadz. Ceritanya boleh tahan, cukup berupaya untuk mengumpulkan peminat Zehann yang tersendiri.

Kalau buat trilogi nanti, sah orang akan mula cari balik RAAH I dan RAAH II semula. Masa tu, KHAR terpaksa timbang semula untuk cetak lagi. :)

fadz said...

king binjai, sememangnya sebuah novel yg baik.

mxy, ya, tetapi mmg bukan masalah buat saya kerana ia ditulis macam air jadi saya tidak tersekat. Tapi saya rasa, penulisan sebegitu biasa dalam tranleterasi Inggeris-Melayu

Anonymous said...

citew ni mmg menarik,,
dann... buku ke3 da kuar ke blum?

Ayien,Inaz,Dora said...

sy suka buku2 mcmni. pnceritaan mistik lebih kurang ramlee awang murshid. ~ayien

Anonymous said...

Mana nak beli novel ni di jb

Anonymous said...

Saya nak beli buku ini dan sambungannya mcm mana ya

Anonymous said...

Macam mana nak beli buku ni dan sambungannya