Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, September 9, 2008

Novel Ayat-ayat Cinta Yang "Profound" ...

... walaupun saya belum habis membacanya.

Entri kali ini pendek.

Pada bulan Syaaban yang lepas, adik saya dari Surabaya kembali bercuti untuk sebulan. Kami berbincang tentang pelbagai perkara (satu daripadanya ialah kesilapan stereotaip yang melihat kumpulan agama Muhammadiyah sebagai kumpulan Wahabi total, tapi adik saya juga dulu yang beritahu, memang kena cubit dia kadang-kadang), lalu saya membuka polemik tentang sastera. Saya ada memberinya novel "Tuhan Manusia" Faisal Tehrani (kerana saya tidak mahu kalah bahawa sastera Malaysia tidak progresif) yang sudah dibacanya. Adik saya memang bukan pengkaji sastera, tetapi dia seorang pembaca yang dalam dan tahu menilai 'sastera yang elok', malah ada mempelajari asas kesusasteraan Arab (dalam hal penulisan puisi-puisi Arab-Islam, satu kuasa retorik ulama dahulu menghimpunkan pengaruh dan menyampaikan ilmu/propaganda dan hal yang selembut mungkin). Maka dia mempunyai suatu pendapat akan hasil Faisal Tehrani itu yang tidak akan saya nyatakan di sini.

Apa yang dia mahu sampaikan sebenarnya (dia memang selalu mahu menang) ialah, "Abang De kena baca Ayat-ayat Cinta! Itu baru sastera yang bagus!" Saya jadi ruwet, ya, asyik-asyik produk Indonesianya, dalam tangan saya pun, beberapa buku Keris Mas, Shaari Isa dan Arena Wati yang belum sempat saya habiskan (saya pernah terpengaruh dengannya sampai bila saya di sana, saya terbeli CD lagu patriotik Indonesia ala okestra, yang memang hebat). Saya memberitahu adik saya bagaimana ayah saya mengatakan filem AAC lebih baik daripada novelnya. Adik saya melawan dan mengatakan tak (saya saja mengangkat debat ini kerana mahu melihat adik saya berkata sesuatu. Sudah tentu hasil Habiburahman jauh lebih baik daripada kerja adaptasi, itu satu hakiki yang tidak boleh diubah buat mana-mana hasil novel).
Dia memberitahu sesuatu yang sangat menarik untuk dikupas dalam novel ini:

Tak ramai pembaca yang tahu tetapi Habiburahman adalah seorang penulis yang pandai dalam pengkiasan teks naratif dalam paparan kritis makna, dan penyataan subliminasinya hanya dapat dicedok oleh mereka yang benar-benar memahami 'wit' mental ilmu agamanya.

Diketahui oleh semua, pihak Wahabi menyatakan haram tawasul pada orang mati (cth: apabila dalam tahlil, kita meminta Syafaat Rasulullah s.a.w. buat akhirat nanti) oleh sebab orang mati dan hidup berada pada dua alam yang berbeza (kenyataan adik saya).
Di dalam novel AAC, pada halaman 215-216, bab Siapa Malaikat Itu?, tertera sebuah cerita Fahri yang menerima 'blood clot' di kepala lalu menjalani pembedahan. Sewaktu pembedahan, Fahri mengalami sebuah mimpi rohani, bertemu seorang Ahl hadis, Abdullah b. Mas'ud. Syeikh Utsman, guru Fahri bertanya Fahri akan mimpi itu kerana beliau juga mendapat mimpi kehadiran sahabat Nabi itu:

"Bagaimana Syeikh boleh yakin aku benar-benar didatangi Abdullah bin Mas'ud?" tanyaku dengan suara serak untuk lebih meyakinkan diriku.

"Seperti keyakinan Rasulullah ketika bermimpi akan berhaji dan membuka kota Makkah."

Jawapan singkat Syeikh Utsman menyedarkan diriku akan kekuatan mimpi orang-orang soleh yang dicintai Allah s.w.t. Untung aku sudah membaca dan mentelaah Kitab Ar-Ruuh yang ditulis oleh Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi. Penerus mazhab Imam Ahmad bin Hambal, murid utama Ibnu Taimiyah, dan ualama terkemuka pada zamannya itu membahas masalah roh dengan lengkap disertai dalil-dalil yang tidak boleh diragukan. Bahawa roh orang yang telah wafat boleh bertemu dengan roh yang masih hidup. Semuanya atas izin dan kekuasaan Allah s.w.t. Kisah para sahabat dan ulama salafus salih menjadi bukti dan kenyataan yang terang tiada keraguan seperti terangnya cahaya mati di waktu siang.

Petikan itu kemudian diteruskan lagi dengan cerita mimpi sahabat Nabi. Apa yang adik saya mahu kemukakan ialah bagaimana dengan 'lembut'nya Habiburahman sebenarnya menyindir kumpulan wahabi dalam dua perkara:
- Jika dalam Kitab Ar-Ruuh menunjukkan bukti tiadanya perpecahan buat roh mati dan roh hidup bertemu, hujah mengatakan 'membaca al-Fatihah kepada si mati tak sampai' adalah salah, sekali gus, mengharamkan tawasul itu adalah salah.

- Jika Ibnu Qayyim seorang daripada tokoh ulama yang dirujuk oleh kumpulan Wahabi sebagai ulama yang sah dalam penggunaan metodologi Akidah (rujuk "Ulama'-ulama' Wahabi- Satu Penjelasan" oleh Hj. Zamihan Hj. Mat Zin al-Ghari, terbitan Jabatan Mufti Johor), bagaimana pula dengan hujah Ibnu Qayyim akan hal roh ini dan kredibiliti Ibnu Qayyim pada mata Wahabi selepas meneliti Kitab Ar-Ruuh Ibnu Qayyim.
Adik saya mengatakan, inilah kelicikan Kang Habiburahman, menyelitkan suatu teks retorik tanpa perlu menyuapkan dalam mulut pembaca atas 'relevansi'nya terhadap cerita atau tujuan, tetapi membawa pembukaan diskusi yang menarik untuk dikupas, juga penyindiran buat Wahabi secara lembut. Ini yang membuat saya benar-benar kagum dengan AAC. Ya, AAC memang "profound".

2 comments:

saat omar said...

ada buku ni tapi tak baca lagi...

akitiano said...

Bang!! bukan dia tengah menjalani pembedahan, tapi tidurnya sebelum pembedahan if i tak salah...cuba baca balik that part...jadi doktor cakap dia dah nak kene bedah...then dia tidur, lepas tu dia mimpi...bangun-bangun baik...hehehe