Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, July 21, 2008

Citra Citrus Julai 2008



1. Dalam masa yang terdekat, saya akan memasukkan sebuah entri baru yang memaparkan sedutan daripada buku-buku yang saya 'sedang baca' (kalau saya boleh baca Tamil atau Mandarin pun saya akan cuba tapi saya tak boleh :p ) yang membuat saya tersentuh. Saya akan namakan entri itu, "Beginilah Baru Betul!" Ia akan memaparkan entri 'ayat/perenggan pertama' dalam sesebuah bab pertama buku, juga sedutan ayat/perenggan terbaik dalam sebuah buku. Entri akan dimasukkan setiap bulan.


2. Saya tidak tahu kenapa, sudah dua kali novel Panrita tulisan Arena Wati saya dikebas orang. Saya cuba cari-cari tapi sampai sekarang tak jumpa. Macam novel itu ada 'nyawa' sendiri dan tak beri saya peluang menghabiskannya. Buat pengetahuan umum, novel itu mempunyai pancaran Divine Comedy oleh Dante Alighieri, ya sebuah Divine Comedy buat kita, malah saya berani mengatakan, Divine Comedy buat seluruh umat Islam.


3. Oh ya, kalau para lelaki Muslim ada kesempatan, silalah bersolat Jumaat di 'surau DBP' di bangunan lama DBP setiap Jumaat. Anda akan terkejut dengan jemaah yang anda jumpa di sana. Saya sendiri, ditegur oleh SN Prof. Muhammad Hj. Salleh kerana benang yang terkeluar dari kocek seluar saya, bayangkan Bapak Puitika Melayu menegur benang kocek saya sewaktu hendak solat!

4. Fakta: agen pemakmur bahasa Melayu Malaysia bukan para munsyi dewan, staf DBP, cikgu bahasa Melayu, diplomat, penulis atau telefonis, tetapi para pendatang Indonesia yang bekerja di serata pejabat, kedai makan, kompleks beli-belah, rumah, kilang dan tepi jalan serata Malaysia. Fakta ini saya dapati apabila (antara semua tempat!) saya berada di dalam tandas awam di pusat membeli-belah Pavillion. Seorang wanita Indonesia dengan bertungkus-lumus mengajar si pencuci Bangladesh dengan BAHASA MELAYU BAKU bagaimana hendak mencuci tandas selepas pengguna menggunakannya. Ya, satu-satu arahan itu disampaikan dengan bahasa Melayu yang lancar dan kemas, tanpa mempeduli jika si Bangladesh memahami makna sebutan wanita itu, sampai si Bangladesh itu boleh FAHAM dan mengangguk dan melakukan kerja dengan elok. Patutlah pendatang Bangladesh cepat benar boleh bertutur bahasa kita. Fakta lain: majikan Cina Malaysia terpaksa menggunakan BAHASA MELAYU apabila bercakap dengan pembantu rumah Indonesia mereka, malah anak-anak majikan lebih senang berbahasa Melayu kerana dijaga oleh pembantu rumah sejak kecil. Buat itu, saya doakan keberkatan dari Allah kepada pendatang Indonesia ke tanah air kita, dan sekalung-kalung terima kasih yang tinggi buat mereka. Kerana mereka, bahasa Melayu masih hidup mekar, dan segar makmur sampai ke bangsa asing kerana tanpa malu mereka menggunakannya.

No comments: