Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Wednesday, May 7, 2008

4 prinsipal proses ciptaan Saga Horizon

Ihsan blog Peminat Novel Alaf21


Saya cuba tidak mahu tampak 'pandai' dalam fiksyen sains (FS). Saya mahu FS diterima khalayak, seperti mana khalayak menerima Mawi dan Faisal Tahir. Di WW Awani baru-baru ini pun, saya menjawab soalan-soalan Dang Suria dengan jawapan-jawapan 'biasa' terkeluar dari mulut seorang penulis yang biasa (cth: tergilakan FS kerana dibesarkan dengan Star Wars dan E.T., yang sememangnya benar dalam satu sisi). Saya sebenar-benarnya mahu pembaca Saga Horizon terhibur dengan Saga Horizon. Saya takut kalau mereka tidak faham. Terhibur perkara pertama, mencedok roh di sebalik Saga Horizon baru cerita kedua.

Dua hari lepas, seorang kawan pembaca memberitahu saya perkara ini: "Buku saudara layak untuk pembaca berumur 35 ke atas. Saya tak nafikan ia boleh dibaca oleh pembaca remaja, atau pembaca biasa (yang tidak biasa membaca novel), tetapi intipati yang saudara sampaikan, dengan bahasa yang tinggi (errk..! Biar betul???) dan halus, memang susah mahu dihadam oleh budak-budak remaja. Selepas ni, tulis biar 'simple' sikit, biar semua orang boleh baca. Baik remaja sampai dewasa."

Saya tergamam sebentar. Saya persoal diri saya, betulkah, budak remaja naik pening kalau membaca novel ini? Saya tahu istilah-istilah 'budaya' dan 'sains' yang dicipta dalam novel itu tidak boleh diubah, ianya satu kemestian dalam fiksyen sains. Adakah pembaca kita belum lagi sofistikated (pada 50-an, kitab LOTR dibaca oleh budak-budak sekolah sehingga universiti) dan sebab itu memerlukan glosari buat istilah-istilah sains yang asing buat mereka?

Tetapi saya percaya satu perkara: para pembaca kita ke arah pembacaan yang lebih lunak, malah budaya pembacaan FS sedang berlaku, sedang lahir dan membentuk sebuah kumpulan pembaca/penulis/peminat baharu dalam susastera tempatan. Saya sendiri percaya, Saga Horizon ringan kalau dibandingkan dengan novel-novel Ben Bova atau Athur C. Clarke, malah perkara ini diperakui oleh seorang rakan yang menjadi peminat 'kipas mati' FS. Oleh sebab itu, saya tampak dan syorkan, kalau para pembaca baharu FS mahu mulakan pembacaan fiksyen sains ringan tetapi berimpak, mereka boleh mulakan dengan Opera Angkasa, novel berbahasa sederhana, laju dan senang diikuti tetapi mempunyai elemen-elemen fantasi dan sains yang mengujakan pembaca dalam pelbagai lapisan. Saga Horzion mungkin 'susah', tetapi percayalah, ia sebuah novel yang 'senang' jika virus FS sudah menghinggapi anda.

Apa 4 prinsipal yang membuat saya teruja mencipta dunia Saga Horizon. Saya tidak akan jelaskan di mana-mana tempat selain di sini (kerana tidak mahu dituduh pandai):

1. Cerpen "Tetamu Dari Langit" oleh Sabda S:
Antara cerpen fiksyen sains-satira yang tidak dikenali ramai, disiarkan dalam antologi Sayembara anjuran DBP pada pertengahan 80-an. Memang, kalau dibaca sepintas lalu, pembaca akan menggambarkan cerpen ini 'didaktik' terhadap bayangan kemodenan dunia sekarang (cerpen ini membayangkan kiamat dunia yang dimulakan oleh kedatangan 'tetamu dari langit'). Kalau pembaca membaca dengan mata FS, pembaca dapat menangkap bahawa cerpen ini memaparkan idea manusia dan keinginan sejati mereka untuk berkomunikasi (baik yang fizikal, asing dan rohani). Bahawa manusia tidak boleh lari daripada berinteraksi.

Saya sangat meminati cerpen ini. Satunya kerana penciptaan imej bangunan dan kota yang berlapis-lapis (kota lama dilapisi dengan kota baru), bertindih antara satu sama lain. Idea inilah yang saya masukkan di dalam gambaran Metropilitan Raya (yang juga pernah digambarkan dalam filem Fifth Element arahan Luc Besson).


2. Novel "Manuklon" oleh Rahmat Haroun:
Antara novel FS terpenting Malaysia. Manuklonlah yang memulakan penggunaan siborg (cyborg), klon dan robot yang sofistikated, melampaui zamannya (walaupun terarah kepada moral 'kehaiwanan' id dalam kepintaran robot). Juga idea kota lama di bawah kota baru yang mengujakan saya. Hanya saya tidak terikut dengan penggayaan Haroun yang dekat dengan mentaliti perjuangan nasionalisme Robert A. Heinlein. Manuklon mempunyai tanda-tanda perjuangan ketuanan Melayu yang kuat menandingi budaya yang lain (di dalam novel ini, digambarkan tentera pemberontak memerangi budaya sofistikated pemerintahan robot-klon, yang boleh disatirakan sebagai Singapura yang 'sistematik' dan 'squeeky clean').

Saya tidak percaya kepada perjuangan kelompok. Setiap perjuangan selalunya datang dari sifat individual dahulu, kemudian berkelompok, melainkan ada sinar diviniti atau sikap kebangsaan yang kuat (dan suci) seperti yang berlaku dalam LOTR, Beowulf, sirah Rasulullah s.a.w. serta propaganda Aryan-Nazi. Tetapi semangat 'peperangan' dalam Manuklon segar dan murni. Di dalam novel saya, manusia berperang dengan 'bersatu' sebagai 'manusia', dan tidak mengamalkan perasaan berkelompok atau berpuak (yang mungkin akan berubah dalam sekuelnya, insya-Allah).

3. Novel "Dune" oleh Frank Herbert:
Dalam Dune, satu-satunya perkara yang saya suka sangat ialah penggunaan "teks petikan" daripada kitab sejarah tulisan Puteri Irulan. Idea "daripada peristiwa menjadi sejarah, menjadi mitos, menjadi kitab suci yang dirujuk generasi terkemudian" ialah motif saya mempamerkan petikan-petikan teks 'kitab' dalam Saga Horizon. Idea ini juga memaparkan, dalam zaman apa pun, manusia tetap candu ilmu (atau mempunyai standard pensejarahan ilmu), dan manusia faham akan kekuatan 'sejarah yang ditulis'- pembentukan 'kuasa' dalam mitos-lagenda.

4. Sebuah novel yang tidak boleh dinamakan:
Biarlah yang satu ini menjadi rahsia buat diri saya sahaja, kerana novel saya ialah antitesis terhadap novel ini :)

3 comments:

Serunai Faqir aka SF said...

Tulis saja fadz, suatu masakan yang pedas, lama2 akan dimakan oleh semua peringkat. Mungkin yang merasa dan menterjemahkan kepedasan itu berbeza-beza namun ia tetap dimakan, e.g - sambal belacan hehehe ...

fadli said...

terima kasih abang sf:) ya, saya percaya pada perkara itu juga..

Anonymous said...

en fadli memang penulis yg kacak!