Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, October 3, 2007

Antologi 9!


Tajuk: 9!
Oleh: Kumpulan Penulis (MPR)
Terbitan: Tiada
Tahun: 2007

Sinopsis:
Antologi yang memuatkan 9 cerita daripada 9 orang penulis MPR paling aktif(?) mutakhir ini di Malaysia. Pelbagai ragam, rencam dan rentak dimainkan, dari yang menggoyah sehingga yang entah apa-apa. Suatu himpunan baharu dari penulis generasi baru.


Senarai penulis:
Cinta Menyala Di Constantinople
Oleh: Fahd Razy


Teratai
Oleh: Amir Mukhriz

Homo Fabulans Homo Islamicus
Oleh: Faisal Tehrani

Rumah Nurul Iman
Oleh: Ghafirah Idris

Elegi Puteri Sa'adong
Oleh: Nasriah Abdul Salam

Sepaun Daging Hutang
Oleh: Nisah Haji Haron

Warna-Warni Aidilfitri
Oleh: Saharil Hasrin Bin Sanin

Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah
Oleh: Salman Sulaiman

Demi Cintamu, Husnil Khatimah
Oleh: Zaid Akhtar

Rasa:
Terbitan bebas ini boleh didapatkan dari kedai e-buku Melayu terulung, Ujana Ilmu. Sebuah antologi yang menghimpunkan cerpen para graduan MPR DBP, mereka yang dikenali sebagai 'artis' di antara para sasterawan muda tempatan. Di sini, kita boleh mendiskusi dan menganalisa bagaimana 'jauh' perginya 'artis-artis' muda kita ini selepas beberapa tahun dididik di bawah program MPR. Beberapa koleksi cerpen ini menunjukkan kesungguhan, pembaharuan, kesederhanaan dan tidak kurang 'buang ruang'.


Cerpen pertama tulisan Nasriah Abdul Salam adalah di antara yang menarik di dalam antologi ini buat saya. Ia menceritakan tentang seorang wanita Kelantan yang mendambakan kehadiran suaminya yang tidak kunjung tiba di sempadan Kelantan Malaysia dan Sungai Golok Thailand. Ruak risau dan deru dendam wanita itu, yang seakan sebuah drama monolog, memperincikan cetus sosial dan sejarah yang benar dan sedang dihadapi oleh masyarakat Melayu di Selatan Thailand dan Kelantan sekarang. Malah, cerpen ini berjaya men'transendental' isu-isu politik rumit yang berkait tentang pembelaan orang Melayu Patani dan perhubungannya dengan Kelantan. Ini dilakukan dengan 'subtle' sekali oleh Nasriah, memaparkan bagaimana isu Melayu Patani sudah mencapai tahap 'deadlock' dan langsung membawa tanggapan pesimis, dan sudah tentu yang paling merasainya adalah masyarakat Melayu dan Thai Kelantan yang mempunyai kepentingan dengan Selatan Thai. Emosi dan gundah, tanpa terlalu meliuk ke sentimentaliti telah berjaya digarap dengan jujur oleh penulisnya. Ini adalah cerpen yang 'senang tetapi sarat' baik bagi saya.


Cerpen kedua tulisan Zaid Akhtar "OK" bagi saya. Cerpen ini mengutarakan Impian Malaysiana (seperti American Dreams), atau Impian Melayu Malaysia dalam pelbagai sesak dan masalah yang menghantui ummah Melayu sekarang. Seorang 'fallen hero' (kerana tidak mengikut janji-janjinya, sungguh MELAYU) telah diberi peluang untuk 'naik kembali' dan mencapai impiannya walaupun ia perlu melalui darah dan air mata. Cerpen yang sangat sesuai bagi pembaca yang terbiasa dengan perjuangan nasionalisme Melayu Lama tetapi dalam acuan generasi Melayu Baru. Tulisannya mungkin 'puitis' buat pembaca lain. Buat saya, ia satu klon gaya penceritaan novel cinta dengan mesej didaktik dan kebangsaan secara tersirat.


Cerpen ketiga oleh Salman Sulaiman bermula dengan penuh tarikan. Sebuah cerpen yang mengimbau rasa, ekspresi tentang sekolah pondok dan keindahan sekolah itu. Saya menyukai cerpen ini pada awalnya, malah tersenyum dengan 'mesej subtle-sinis' Sulaiman tentang cinta seorang remaja dengan gurunya. Jalinan 'percintaan' ini berfungsi kuat dalam cerpen ini, memaparkan penyindiran kuat terhadap remaja biasa sekarang yang mendewakan artis hiburan lebih daripada ilmu dan agama. Malah, saya agak terlopong dengan intimasi Sulaiman, menggarap (walaupun kita faham, ini adalah kebiasaan rasa cinta seorang murid kepada mursyid dalam ajaran tasawuf) rasa cinta murid itu terhadap guru- ada satu jalur homo-erotik-plutonik yang agak halus, meningkatkan lagi keterujaan bagaimana Sulaiman menjalin cerita ini. Tetapi semua kebaikan ini hancur apabila pada ayat terakhir cerpen ini tertulis, "...ketika orang lain sibuk-sibuk nak jadi penyanyi, kau biarlah menjadi qari.", memaparkan "stating the obvious" yang sudah tentu merundum tujuan cerpen ini ditulis pada awalnya.


Cerpen keempat oleh Ghafirah mempunyai satu mesej didaktik kemanusiaan yang manis dan mencuit perasaan. Gaya penceritaan Ghafirah semacam membikin sebuah filem, Ghafirah lancar dalam membawa kita ke belakang dan depan cerita. Walaupun ceritanya tidak mengundang pemikiran dalam, ia tetapi menarik dan ditulis penuh perasaan.


Cerpen Nisah pula membawa kembali drama tulisan Shakespeare, "Merchant in Vencice" ke dalam ruang intepretasinya sebagai seorang graduan undang-undang. Saya perlu jujur bahawa tidak ada yang menarik tentang cerpen ini atau apa yang saya tidak tahu tentang kisah Shakespeare ini yang mengutuk perangai meniaga orang Yahudi. Jauh daripada menjadi 'intepretasi semula', cerpen ini 'biasa' sahaja dan sekaan dibuat dengan agak tergopoh-gapah.


Cerpen seterusnya oleh Amir Mukriz pula memikat dalam beberapa tempat. Penulis ini mempunyai gaya baharu dalam persembahan ayatnya. Pemilihan katanya adalah yang paling segar di antara penulis baru dekad ini. Gayanya kadang kala mempersendakan kita, kerana ia memaksa kita memikirkan satu persoalan yang besar (penulisan semula sejarah) yang diulit dengan cerita tentang seorang wanita kampung yang menjadi pejuang. Cerpen ini lebih kepada penstrukturan dan gaya daripada tema dan inti cerita. Pada bahagian tengah, cerpen ini agak tersasar, kerana mungkin Amir mahu mempermainkan dan mempermainkan lagi pembacanya. Kita seakan terbaca tulisan Mansasau Gila-gila, maka keinginan serius kita hilang. Pada mulanya kita merasa seakan sesuatu yang pasca moden, atau 'real-magis', tetapi semua ini mungkin buat saya, terpinga-pinga sedikit apabila saya melalui pertengahan cerpen ini. Apa-apa pun, penulis ini mempunyai penggayaan dan penceritaan yang segar dan baharu dan patut dilihat pada masa akan datang.


Cerpen Faisal Tehrani pula, saya perlu berkata dnegan jujur, sebuah cerpen yang paling "pretentious" dan "mengada-ngada" yang pernah saya baca dalam sepanjang saya bernyawa. Cerpen ini semahunya ingin menjadi 'complement' terhadap opus baru Faisal, 'Tuhan Manusia'. Tetapi membaca cerpen ini, bukan saja kita nampak kebongkakan tutur Faisal, tetapi bagaimana seorang penulis yang berwibawa juga boleh kadang-kadang menulis cerita entah apa-apa. Penembakan di akhir babak cerita ini mengingatkan saya tentang "a film that has many potential, but lead in the wrong way, and discerningly dumps itself in a large pile of shitty films made like this". Contoh: Battlefield Earth.


Cerpen Fahd Razy pula mempunyai janji untuk menjadi sebuah cerpen yang hebat, tetapi ia berkahir dengan kesederhanaan. Alunan romantis Fahd kadang kala terlalu, tetapi mungkin mengambil idea 'meromantiskan' era zaman yang dirakamnya di antara dua watak bercinta yang mempunyai pertalian benua yang jauh. Kita merasakan kita bercakap perkara-perkara serius di balik latar drama Cinta Taj Mahal. Motivasi watak yang menerima Islam, dan gaya percakapa watak sebagai seorang 'Mediterrenean European' mungkin dipersoal, kerana kita dapat merasakan bahawa ia tinta yang datang dari roh penulis, dan bukan watak 'orang putih'nya. Konsep terakhir yang memaparkan 'mualaf yang sedikit ragu bagaimana mahu memujuk kekasihnya merasai apa yang dia rasai dalam agama baharunya' agak menarik walaupun latar yang diambil tampak salah (memaparkan kehebatan tentera tidak akan menaikkan keinginan terhadap sesebuah agama) dan hanya dibuat kerana mencapai teknik 'twist' yang dibikin Fahd.


Cerpen terakhir tulisan Saharil Hasrin Sanin adalah 'suprise' terbesar dalam kumpulan cerpen ini. Saya boleh mengaku, membuang RM17.00 anda untuk membaca cerpen ini sudah benar memadai. Saharil adalah penulis eksistensialis dan surealis baharu. Salah, Saharil ialah Haruki Murakami kita. Menelan setiap katanya, setiap bait ayatnya seakan memakan buah yang paling manis. Setiap perasaan, seram, humor, geli, sedih, muak, tersentuh, dapat dirasai- kena dengan judul cerpen ini- "Warna-warni Aidilfitri" (satu kemunculan yang kita tunggu setiap tahun untuk datang, dan bila ia datang, tergarislah pelbagai cantik dan bahaya perayaan paling kita tunggu itu). Apa yang penting, penulis seperti ini, jarang-jarang diperhatikan ada dalam kalangan penulis baharu yang lebih mementingkan 'penyampaian mesej sampai', tetapi lebih mementingkan ceritanya. Paling baik, cerita-ceritanya humanis, dan sangat jujur (walaupun dalam latar-latar yang absurd) tentang perjuangan manusia yang manusia, dan pengetahuan tentang kelemahan mereka sebagai manusia. Saharil tidak pernah meratap watak-wataknya membaurkan emosi. Emosi itu datang sendiri dalam kata-kata tiba-tiba, perlahan, kelakar, lembut dan keras Saharil. Bagi anda yang mahu tahu, siapa penulis sastera Melayu baharu yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa, anda sudah tahu jawapannya.

3 comments:

sinaganaga said...

Tunggu pula 'air tangan' dari peserta-peserta MPH (Minggu Penulis Hansem) Sindiket Sol-Jah!

MPH? ...

Muerekekekekekeee...

Anonymous said...

sapa ek...kalu semua perangai macam FT kirim salamlah. Penulisan itu datang dari dalam. Mulhin yang bertakhta dihati, bukan main-main berangankan pakwe, makwe lama hahaha...

Maksud saya jika mau jadi sasterawan manusia itu mesti seorang yang pengasih, ada rasa mau merubah keadaan, atau seorang pengasih yang hopeless dan merintih akan kebobrokan yang ada pada hari ini bukan penyombong yang fikir semua yang bobrok perlu dibinasakan.

Anonymous said...

Salam pertandangan,
saya baru perasan entri mengenai antologi cerpen 9! terima kasih sesungguhnyakerana menyokong produk alumni kami, MPR.

tentang Elegi Puteri Sa'adong, ya Tuhan...kalau boleh undur waktu saya tak mahu tulis cerpen kelakar macam tu. itu cerpen pertama, malu sungguh bila baca sekarang (saya kira banyak penulis yang malu dengan karya pertama bila membacanya sekarang) heheh...

dan, yang terkini ialah antologi kacak jelita; sudi-sudikan memiliki juga.

moga saudara sukses ya!