Tajuk: Coldheart Canyon
Oleh: Clive Barker
Terbitan: Harper Collins
Tahun: 2001
Sinopsis:
Todd, seorang bintang besar Hollywood sedar bahawa dia sedang mengalami zaman kejatuhan. Mengikut nasihat seorang produser kanan Paramount, dia mengambil keputusan menjalani pembedahan plastik. Tetapi, pembedahan itu tidak berjalan baik dan wajah sempurna Todd berkecai selama-lamanya. Todd dibawa oleh agennya 'menyendiri' di sebuah rumah agam di tepi bukit Hollywood. Rumah yang besar itu menerima Todd dengan tangan terbuka, dan bukan rumah itu sahaja.
Oleh: Clive Barker
Terbitan: Harper Collins
Tahun: 2001
Sinopsis:
Todd, seorang bintang besar Hollywood sedar bahawa dia sedang mengalami zaman kejatuhan. Mengikut nasihat seorang produser kanan Paramount, dia mengambil keputusan menjalani pembedahan plastik. Tetapi, pembedahan itu tidak berjalan baik dan wajah sempurna Todd berkecai selama-lamanya. Todd dibawa oleh agennya 'menyendiri' di sebuah rumah agam di tepi bukit Hollywood. Rumah yang besar itu menerima Todd dengan tangan terbuka, dan bukan rumah itu sahaja.
Rasa:
Saya selesai membaca novel ini selepas hari raya ketiga. Sempena kedatangan Haloween, novel ini akan saya bicarakan.
Apa yang boleh saya katakan jika ianya sebuah kerja Clive Barker? Syaitan dan malaikat (sememangnya, tulisan sebegini melanggar aqidah Islam, dan saya agak geli hati bagaimana pihak KDN terlepas mengharamkan buku ini, memperkuatkan tanggapan saya bahawa pihak penilai buku untuk diharamkan di KDN tidak membaca) bergomol sama, sedang si lelaki dan wanita memaparkan diri mereka tanpa seulit benang dan melakukan perkara yang gerenti membuat mak anda pucat lesi. Tetapi ini semua Hollywood bukan?
Sebenarnya, inilah novel yang paling senang dibaca dalam kebanyakan novel-novel Barker. Ia dibiarkan 'senang' dan 'pop' kerana sindiran Barker terhadap filem Hollywood dan falsafah yang dibawa oleh artis-artisnya. Malah novel ini sebenarnya ciptaan 'fantasi' Barker apabila beliau menelaah Hollywood Babylon tulisan Kenneth Anger (menceritakan kehidupan gelap artis Hollywood yang penuh seks, pembunuhan dan kelakuan luar batasan tanpa simpan-simpan, Babylon di sini bermakna kota Babylon yang memaparkan keburukan umat manusia dalam lapisan martabat yang paling bawah, memaparkan bahawa ia akan jatuh 'the falling Babylon' dan kedatangan kiamat yang dekat kerana 'excessive sin' manusia di kotanya).
Terdapat tiga buah cerita yang kita dapat baca, masing-masing mewakili 'nyawa' Hollywood yang sebenar. Todd ialah si bintang yang sedang jatuh (mewakili para karyawan, pendukung dan pemain filem), Tammy si peminat Todd (mewakili manusia yang menyembah dewa-dewa ciptaan manusia ini) yang mencari Todd yang di dalam buangan, serta Katya si pelakon awal 20-an yang masih hidup dan cantik (mewakili segala cantik dan buruknya Hollywood, segala harapan dan nafsu Hollywood dan segala kemewahan dan ketidakmanusiaannya Hollywood) yang meminati Todd.
Ceritanya nampak senang, malah setengah 'fairy tale' (kita jumpa dengan plot Cinderella, Ice Queen dan Beauty and the Beast di dalam cerita ini, di mana, sekali lagi menjadi sindiran Barker terhadap filem-filem formulaik Hollywood yang mengitar semula cerita lama menjadi sesuatu yang segar dan baru, menipu para penontonnya) dan setengah lagi, hanya tuhan saja yang tahu betapa lazat dan menakutkan dunia yang berjaya Barker cipta ini. Sememangnya novel ini boleh saja jadi sebuah satira terhadap pembikinan filem di Hollywood, atau lukisan Bosch yang hidup dan melawat manusia angkuh, atau sebuah cerita hantu di mana hantu-hantunya tidak mahu 'hilang ditelan zaman' (sekali lagi kiasan sindiran terhadap artis Hollywood yang mencari 'immortality').
Beberapa babak memang mencemaskan, tetapi tidak pernah menakutkan (terserah, kerana saya tidak termuntah dengan adegan erotik yang kadang-kala agak berani, serta adegan ganas yang agak susah dihadam). Lebih dari itu, ia mencipta 'fantastikal' terhadap jalur cerita dan watak-wataknya, sepertimana filem seadanya (membawa keinginan fantastik terhadap penonton). Jika anda senang dengan hantu dan menembusi 'lust' dalam keseraman, novel ini memang sesuai untuk anda. Contohnya seperti watak anak Permaisuri Syaitan yang berbentuk seperti setengah kambing dan setengah manusia, bertanduk dan mempunyai anu yang panjang dan anunya akan sentiasa 'hidup' setiap kali berlakunya kekejaman atau pembunuhan. Kesadisme cerita ini memang melebihi kebiasaan Shahnon Ahmad, malah falsafah S & Mnya boleh membikin pembaca konservatif membuang buku ini dan membakarnya kerana 'terlalu'.
Beberapa tempat di dalam novel ini agak panjang, malah di akhir-akhir cerita, novel ini, seperti buku Arena Wati, mengambil masa untuk menghabiskan ceritanya. Tetapi untuk pembaca yang senang dengan dunia 'sacred and profane' Barker, kesemua ini adalah satu 'delight', seakan menonton sebuah filem bajet rendah dengan produksi tinggi dan falsafah yang nakal. Sebuah novel yang menghiburkan oleh maharaja 'macarbe' moden.
ps: Salam, entri kali ini memang disengajakan kerana saya mahu melihat, berapa ramai pembaca yang menghukum saya 'kebaratan', 'liberalis', 'pluralis', 'jahil', 'jumud', 'anti-Islam', 'kafir' dan 'anti moral' selepas isu emosional mereka terhadap pendapat peribadi (saya mengaku pun, tanpa ilmu, hehehe) saya tentang sebuah cerpen suci lagi tidak boleh dijentik (kelakar, sebab yang menjetik itu saya, seorang pembaca yang kerdil). Saya tidak suka menasihat kerana saya faham, diri saya sendiri yang kecil lagi daif ini yang perlu dinasihatkan. Tetapi saya perlu memberitahu akan tingkah laku biasa yang rata-rata sudah menyelami kebiasaan umat Islam Malaysia sekarang dan termasuk kawan-kawan dekat saya sendiri, seakan mengikut gaya Salafi ekstrem yang abang saya di UK tentang habis-habisan (secara lembut). Saya dapati, ramai antara kita yang suka 'menghukum' (meletakkan hukum terus-menerus), ini boleh dilihat dalam beberapa blog teman-teman kalian. Saya ingin memberitahu, bahawa menghukum itu sebenarnya suatu perkara halus yang patut dikurangkan, kerana ia seburuk-buruk perangai Syaitan. Maafkan saya. Bila Iblis dipinta sujud kepada Adam, Iblis sudah 'menghukum' Adam 'rendah' daripada martabatnya. Menghukum, nauzubillah, ialah perbuatan yang biasa dalam orang kita sekarang dan dibuat tanpa rasa bersalah, kita seakan bermain peranan sebagai Tuhan. Faisal Tehrani melakarkan perkara ini dengan baik sekali di dalam Bila Tuhan Berbicara (saya sedang baca)- "Sahlan: Mereka selalunya sesat. Orang yang suka mengulang-ulang cakap. Macam kau nilah". Dialog sebegitu memang sudah biasa dalam konsensus masyarakat kita. Me'label' dan men'generelisasi' memang makanan umat kita sekarang (sikap menunding ini biasa kita lihat di jalan-jalan raya kita, tetapi itu yang saya pelik umat kita, begitu kuat menunding dan menghukum orang, tetapi bila mengucap "laillahaillAllah" dalam majlis tahlil, aduh, lembut dan tak bermaya). Saya tidak kata kita perlu menjadi malaikat, tetapi, saya faham dengan 'authority' penulis Islam yang diberikan ijazah untuk berbicara dan yang tidak diberi ijazah untuk berbicara (semua bentuk ilmu dalam Islam perlu diberikan Ijazah dan punya salasilah. Maka itu, saya masih persoalkan relevannya sastera Islam jika ia berpaut kepada ilmu, siapakah mursyid/guru/penyambung ilmu di dalam 'sastera Islam' dan punyakah ia turutan salasilah sehingga Rasulullah s.a.w.? Semua ini perlu diteliti dengan betul. Malah kebanyakan pengkaji dan pengeluar teori sastera Islam adalah 'secular scholars based in western Literature'. Oleh kerana itu bagi saya, saya tidak jenguk dan tidak iktiraf penulis sekular kita sebagai sastera Islam tetapi tulisan seperti Lore of Lights, Maknavi, Silatul Anbiya dan termasuk falsafah Ibn Sina sebagai 'sastera Islam'). Oleh itu, saya terang-terang menolak beberapa penulis Islam yang tidak betul-betul berguru dan duduk belajar 'balaghah' (sastera) beberapa tahun dengan seorang guru yang ahli. Saya langsung tidak memanggilnya sastera Islam, tetapi mungkin sastera Murni atau sastera Nasihat, yang bagi saya lebih betul dan kena. Saya lebih akur dengan kata-kata mufti kita atau ulamak yang saya sudah kenal akan latar belakang ilmu Islam mereka. Kerana mereka adalah 'ahli', dan mereka punya tanggungjawab melaksanakan 'hukum', dan bukan saya yang kecil ini. Wallahualam.
1 comment:
Fadz,
KDN baca buku politik Malaysia jer kut... hehe
Post a Comment