Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, October 3, 2007

Politikus Malaysia Bertutur Perkara-perkara Yang Paling Gila


Tajuk: Malaysian Politicians Say the Darndest Things
Oleh: Ahli politik Malaysia (dipilih dan himpun oleh Amir Muhammad)
Terbitan: Mata Hari
Tahun: 2007

Sinopsis:
Buku yang menghimpunkan pelbagai 100 kata-kata pelik, kelakar dan biadab, datang terus daripada mulut-mulut politikus yang kita undi/tak undi.

Rasa:
Saya masih teringat sebuah buku simpanan ayah saya, sebuah buku himpunan kata-kata oleh para politik seluruh dunia (dari abad awal masihi sehinnga 80-an, ya Dr. Mahathir pun masuk) kelolaan K. Das. Buku itu agak menarik, kelakar dan kadang kala membuat satu berfirasat akan kata-katanya. Sebagai satu 'kelengkapan' terhadap buku itu, buku baru ini sudah keluar di pasaran (ya, Dr. Mahathir pun masuk), dan seperti yang sudah kita kenal apa yang akan berlaku jika ia tersembul dari otak Amir Muhammad, buku ini sekali gus pedas (ya, Dr. Mahathir pun terkena), kelakar, panas, menampar dan lebih menghiburkan daripada duduk menonton sebuah filem komedi Prof. Razak Mohaiden.

Ada beberapa tempat dalam buku ini membuat saya ketawa terbahak-bahak dengan kata-kata menteri kita. Ada juga yang membuat saya mempersoal kredibiliti pengundi kita (saya tidak pernah salahkan menteri-menteri itu yang diundi rakyat) mengundi makhluk-makhluk yang pelik untuk mewakili kita dalam sidang politik dan pentadbiran negara kita. Apa yang berjaya buku ini lakukan, tanpa diskriminasi (baik politikus kerajaan dan penentang kerajaan) ialah, menelanjangkan kewalian/ pak pandir/ penipu/ pelawak/ ahli nujum/ alim kucing/ panglima salah zaman/ penggemar filem aksi-romantik-epik para politikus kita yang berlakon dan bergerak persis bintang Hollywood dan Bollywood. Ya, merekalah bintang sebenar Malaysia, kehadiran mereka membuat paparazzi kita tidak duduk (seperti Amir) diam, dan mereka lebih menarik untuk dirakamkan daripada artis-artis kita yang hanya tahu bercerita tentang 'karya', 'kahwin', 'keluarga', 'untung', 'peminat', dan 'Mekkah'.

Apakah perlu saya katakan, politikus juga manusia, mereka juga ada membuat kesilapan dan turut jahil dalam pelbagai perkara? Perkara-perkara sebeginilah yang dapat dikemukakan apabila anda membaca buku ini. Ia mempersoal, berapa jauh kita perlu merasa penerimaan kita sudah selesa terhadap aktiviti dan arus politik tempatan sekarang.

Untuk mengatakan kerja ini 'subversif' adalah satu penghinaan, kerana sejujur-jujurnya, buku ini hanya 'memberi' tanpa mempersoal dan menambah (walaupun cara susunan oleh Amir, dan cara ia dipersembahkan dengan fon, ilustrasi dan nota Amir membuatkan ia memberi 'mesej mencubit' Amir) apa-apa yang dipersembahkan oleh para politik Malaysia (kecuali mungkin Lagu IT yang sememangnya semua orang akan bersetuju kejanggalannya tetapi malas mahu menegur si menteri yang dengan bangga mencipta lirik lagu itu). Saya hanya terfikir, bagaimana perasaan orang asing apabila membaca buku ini dan membuat tanggapan terhadap pelakon industri politik kita dengan kebanggan darah Aryan mereka (Aryan dimengertikan kerana ia tidak tertakluk pada bangsa Melayu). Ilustrasi oleh Shahril Nizam Ahmad yang 'cute' dan mempersenda tanpa terlalu biadap (malah kita terasa akan seorang mak cik yang berseloroh sinis dengan tangan tersipu-sipu menutup mulutnya) turut memperindahkan hasil himpunan Amir Muhammad yang sangat menggelikan hati ini.

Pembacaan buku ini memang laju dan tidak membosankan (walaupun dalam tangan saya, ada beberapa halaman yang tidak ada), dengan cetakannya yang cantik, menggunakan kertas pudar yang berkualiti. Kepada anda yang sayang dengan ahli politik kampung anda, sila beli dua buku ini, satu untuk simpanan anda dan satu lagi untuk simpanan menteri kesayangan anda. Gerenti, menteri itu akan sayang betul pada anda.

2 comments:

Anonymous said...

Fadz, salam Ramadan.
Keseluruhan isi buku ini dalam bahasa Inggeris ke?
Di mana buku ini boleh dibeli?

fadz said...

slm, kesemua MPH di KL boleh dibeli.. Ada dijual di Kinokuniya KLCC..tidak pun, sila lawati laman penulisnya (terletak di sebalah kanan blog ini), Amir Muhammad.