Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, September 4, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin



Tajuk: Nama Beta Sultan Alauddin
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: Aberdeen
Tahun: 2007

Sinopsis:
Sebuah karya sejarah Raja Hussein, atau dikenali oleh rakyat Melaka dan sejarah sebagai Sultan Alauddin Riayat Syah, diceritakan oleh seorang datuk kepada tiga cucu lelakinya, membawa mereka kembali ke alam Kesultanan Melaka yang terbilang dan paling di puncaknya.

Rasa:
Jarang-jarang sebuah novel boleh mebuat saya terus membaca sehingga ke penghujung dalam satu hari.

Novel ini berjaya membuat saya menunggu dan membelek ke halaman terakhir dalam masa satu hari kerana kenipisannya dan juga gaya penceritaannya. Sebuah novel kanak-kanak, secara
pendek, novel ini sebuah tangan menarik dari penulis terkenal, Faisal Tehrani (saya agak cemburu, kerana dalam satu masa, beliau mengeluarkan lima buah buku berlainan di pasaran).

Novel ini 'mengangkat kembali' sejarah kegemilangan empayar Melaka dari sudut mata raja yang sangat disayangi oleh penulisnya, Sultan Alauddin, yang terkenal sebagai raja yang menyamar pada waktu malam mengelilingi bandar Melaka dan menangkap pencuri. Cara Faisal membawa cerita ini (walaupun tampak difregmenkan) amat menarik, mengikut gaya 1001 Malam, di mana pencerita membawa 'masuk sama' (di sini, pendengarnya ialah kanak-kanak, dan kita) di dalam sejarah yang sedang berlaku, lalu kita dapat merasa bahawa sejarah yang diceritakan itu benar-benar berlaku. Saya merasakan, novel ini dibikin sebelum Faisal menghasilkan magnum opusnya, 1515, kerana idea 'meneliti kembali sejarah' amat kuat dalam novel ini.

Walaupun ada pelbagai perkara yang boleh dipersoalkan (diketahui dalam sejarah, zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah ialah zaman keemasan Empayar Melaka, maka kenapa pada zaman itu dan selepasnya penuh dengan pencuri - yang membawa maksud gejala kemiskinan dan ketidaksamarataan pembahagian kekayaan? Dan bagaimana Hang Jebat tidak meninggal lagi?), Faisal membuat kita percaya dalam dunia dan intepretasinya bahawa SEJARAH yang diciptainya dalam novel ini satu HAK (sekurang-kurangnya buat kita para pembaca) dan boleh dipercayai ceritanya. Secara tersingkap, Faisal mengatakan, "sejarah ditulis oleh orang-orang yang berkepentingan dan berpengaruh untuk menjaga darjat mereka dari diaib", satu perkara yang banyak kali ditekankan olehnya (satu perkembangan baharu dalam menilai sejarah negara kita sekarang).

Ada banyak perkara yang boleh diPELAJARI daripada novel ini- penjagaan maruah, nilai sahabat, keluarga, kepercayaan, kesetiaan, melakukan tindakan dengan berhemah, menjaga tradisi dan agama dan paling serius, meniti kejatuhan diri sendiri atau kematian orang lain. Perkara-perkara ini memang jauh berat dan matang, tetapi Faisal dengan bersahaja membawa tema-tema ini dalam penceritaan yang boleh ditelan dengan senang. Hanya saya tidak setuju dengan gaya Faisal, perlu memberitahu dan memberitahu sekali lagi bahawa pembaca generasi muda sekarang tidak bodoh. Memang pembaca generasi muda sekarang tidak bodoh, tetapi ia tidak perlu ditekankan di dalam teks, kerana seolah-olah, kalau novel ini masih hidup untuk 50 tahun lagi, generasi muda zaman itu akan persoalkan, "Apakah memang dulu tuk nenek kita betul-betul bodoh sehingga perlu diperkatakan tentang tahap intelektual mereka?" Biarlah 'tahap intelektual' itu menganjur sendiri secara natural, dan bukan dipaksa-paksa.

Ini juga terlihat dalam gaya TV pendidikan Faisal dalam beberapa petikan dalam novel ini seperti si cucu Umar yang 'tidak mahu jadi seperti remaja sekarang', sesuatu yang disuap terang-terang ke dalam mulut pembaca untuk "Ya, saya pun nak jadi macam tu" - yang saya kira agak menjengkelkan. Bukankah elok Faisal biarkan sahaja tahap 'masuk campur' pendengar cerita itu yang lebih natural seperti ayat si cucu Abu Bakar: "Terasa benar kami ini remaja bandar. Tak tahu apa pun pasal silat-bersilat ini...", gaya yang begitu lebih bersahaja dan membawa kesedaran kepada pembaca.
Satu lagi perkara yang saya kira agak menarik dalam novel ini ialah keberanian Faisal dalam mengangkat isu perkauman di antara kaum kerabat Melayu dengan Mamak (Tamil?) dan perjuangan 'etnosentrisme' dalam novel ini. Walaupun orang akan mengambil kira perkara ini sebagai kontreversi, Faisal memaparkan bahawa sudah jadi turun-temurun dalam bangsa Melayu, persoalan darah menjadi penting bila orang luar yang diberi kuasa masuk campur cuba menjatuhkan kedaulatan darah Melayu yang turun-temurun mentadbir Alam Melayu ini. Rencam kosmopolitan-global Sultan Mansur (mengahwini pelbagai bangsa, mengingatkan kita kepada Raja Iskandar Zulkarnain) amat kontra dengan krisis perkauman yang sedang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin (seperti sejarah, Macedonia berpecah selepas kematian Raja Iskandar). Perkiraan bahawa krisis berlaku bukan sahaja kerana kelemahan pentadbirnya, tetapi kerana takdir yang sudah tertulis untuknya. Si pelaku itu hanya perlu melalui jalan dan bilik yang sudah disediakan dengan waspada, dan berserah bahawa hidup dan matinya di tangan Tuhan.

Paling menggembirakan saya ialah, penceritaan Sultan Alauddin belajar tasawuf dengan seorang sufi. Inilah 'hightlight' novel ini buat saya, memaparkan di mana Sultan Alauddin mendapat kebijaksanaannya, keadilannya serta ketinggian adabnya (kaitan sultan waktu mendepani musuhnya dan diracun - sebuah penggambaran yang memang kena untuk seorang sultan berdaulat). Saya tidak tahu di mana Faisal mendapat idea tujuh sin itu dalam segmen tuk guru Nuh Ha Min menguji sultan, tetapi ia sangat menyeronokkan dan kena dengan pengajaran ilmu tasawuf. Kita akan teringat akan Nabi Musa a.s. yang diuji Nabi Khidir a.s. dengan tiga perkara, dan cerita seorang mursyid Sufi menolak anak muridnya ke gaung. Kita akan sedar bahawa, setiap individu yang diuji oleh tuan gurunya mempunyai tahap dan ketelitian peribadi yang berlainan, mengikut tahap keluhuran hati serta penciptaan individu itu. Dan 7 sin dan kereta lembu itu memang 'fit for a king' seperti Sultan Alaudin.

Secara kesimpulan, walaupun novel ini nipis dan agak mahal (RM13.50 untuk 145 halaman), ia agak berbaloi bagi mereka yang mahu mengenal kembali seorang sultan, yang seperti Faisal katakan, disalah tanggap oleh sejarah. Malah saya selepas ini mahu berkunjung juga ke Pagoh, membaca Yasin dan Tahlil kepada seorang sultan yang halus pekertinya, dan mangkat semata-mata untuk rakyat, rasul dan Tuhannya.

5 comments:

Unknown said...

oh, novel kanak-kanak ke? Kulit hadapannya tak nampak begitu!

Tentang isu perkauman yang ini, Faisal ada menyentuhnya 'secara berani' juga dalam 1515.

Anonymous said...

Tengok cover, aku ingat, novel ni boring. Ok, aku akan beli dan baca.

Anonymous said...

Tengok pada cover, aku sangka, novel ini bukan citarasa aku.

Tapi selepas baca ulasan kau, aku akan segera beli novel ini dan baca. Thanx.

fadz said...

salam cik hanum, ohh memang, saya pun ternampak dalam 1515.

amir (rasa janggal dah nama ni, haha), cover tu diminta ubah oleh penerbit. itu yg aku dengar..dan bukan kau sorang tak suka covernya, ramai juga.

Anonymous said...

Kak ingat kak sorang jah yang perasan dia ni suka memaksa, at one point I think sadisnya dia ni, tak sesuai dengan alam sastera yang asyik mahsyok lentok-lentok, jiwang kekarat-karatan hehehe.