Tajuk: Bapaku P. Ramlee
Oleh: Nasir P. Ramlee
Terbitan: MPH Group Publishing Sdn Bhd.
Oleh: Nasir P. Ramlee
Terbitan: MPH Group Publishing Sdn Bhd.
Tahun: 2007
Sinopsis:
Sinopsis:
Lebih seakan sebuah memoir daripada sebuah biografi, karya yang ditulis oleh anak kandung P. Ramlee menceritakan perit getir, suam manis hidup, kerja dan pencapaian seniman negara P. Ramlee pada waktu penulis masih kecil lagi sehinggalah waktu akhir riwayatnya.
Rasa:
Rasa:
Sebuah buku yang sememangnya patut dijadikan bahan 'memoribilia' peminat-peminat P. Ramlee. Bukunya nipis dan ceritanya pendek-pendek. Mungkin ramai di antara kawan-kawan saya yang mengamati buku ini mengatakan bahawa buku ini agak 'caca merba' kerana tidak mengikut satu struktur yang boleh berkait-kait. Sebenarnya, itulah keunikan buku ini, dan sebenarnya buku ini tidaklah se'kacau' mana, malah boleh diertikan buku ini mengikut 'topik' yang diutarakan dalam satu-satu bab (seperti novel Bintang Bukan Saja di Langit) dalam menjalinkan cerita. Dan cara Nasir menceritakannya sangat mencuit hati, ada 'volume' dalam penceritaannya dan kadang-kala menyentuh perasaan. Hanya, saya tidak berapa setuju dengan Nasir (ini kebiasaan budaya orang timur) yang cuba selindung-selindung tentang beberapa perkara peribadi di dalam buku ini. Jikalau penulis itu tidak mahu mendedahkannya, baik penulis itu tidak sentuh langsung subjek itu atau ditiadakan ungkapan "terlalu peribadi untuk diceritakan di sini".
Ada beberapa tempat di dalam buku ini, jika dihuraikan dengan panjang lebar, lebih menguatkan isi memoir ini. Ini termasuklah cita-cita tidak kesampaian P. Ramlee dan lagu terakhir ciptaan P. Ramlee yang sememangnya memaparkan 'cerita' tentang kegelisahan seniman agung itu dalam mengamati sisa-sisa akhirnya sebagai seorang seniman yang mula dipandang sepi. Perkara ini diluahkan dengan jujur oleh Nasir. Malah, dengan cerita-cerita Nasir ini, terjawab juga beberapa mitos yang mengatakan filem-filem P. Ramlee tidak mendapat sambutan orang ramai. Sebenarnya filem-filem Jalan Ampasnya (diakhiri dengan Tiga Abdul) memang mendapat sambutan tinggi khalayak penonton Melayu. Hanya apabila Allahyarham berpindah ke Studio Merdeka, filem-filemnya mula tidak berjaya di kalangan penonton dan cerita yang didengar seperti pawagam lengang walaupun keraan filem-filem P. Ramlee berlaku waktu itu.
Apa-apa pun, buku ini mungkin bukan biografi terbaik P. Ramlee, jauh sebagai memoir terbaik Nasir P. Ramlee, tetapi buku ini sangat sesuai sebagai 'companion book' terhadap beberapa buku yang ditulis tentang P. Ramlee, dalam mengikuti pintu-pintu tertutup dan peribadi P. Ramlee, dan bagaimana kegeniusan arwah tercetus. Selepas membaca buku ini, anda akan ketahui, bahawa titik kekereatifan dan cetusan budaya kita sentiasa bermula dengan warung kopi- suatu norma yang diambil enteng oleh orang kita, tetapi sebenarnya punca titik penciptaan pelbagai karya agung kita.
Tajuk: Menjadi Penulis Jutawan
Oleh: Nimoiz T Y
Terbitan: Truewealth Publishing
Tahun: 2007
Sinopsis:
Sinopsis:
Buku ini mewar-warkan bahawa dengan membaca buku ini, anda akan mencapai FORMULA HEBAT UNTUK MENJANA KECEMERLANGAN DALAM BIDANG PENULISAN. Ditambah dengan kata-kata Azizi Ali: "Buku ini menceritakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, dan mengaut hasil yang lumayan."
Rasa:
Rasa:
Perkara pertama yang buat saya agak ragu-ragu tentang buku ini ialah: "Jika dengan mengikut formula buku ini sebagai penulis jutawan saya boleh kaya, kenapa penulis buku ini masih tidak jadi jutawan?".
Saya terfikir juga, kenapa Azizi Ali (penerbit buku ini) tidak ambil Ahadiat Akshah atau sekurang-kurangnya Faisal Tehrani (disebut sebagai Siti Nurhaliza Susastera) sebagai penulis buku ini? Kerana, setelah saya menyelami kesemua 249 halaman buku ini, saya tidak yakin bahawa saya boleh menjadi seorang penulis jutawan, ataupun seorang penulis berwibawa.
Sebenarnya, niat penulis buku ini adalah murni; mempersembahkan kepada pembaca, peminat sastera dan penulis yang baru mahu menulis tentang asas-asas, asam garam dan 101 perkara yang perlu ditahu sebelum menjadi penulis TEMPATAN. Di situ sahaja titik kemurniaan buku ini terhenti. Untuk mengaprisiasikan seorang anak menjadi penulis jutawan, Nimoiz mempunyai jalan yang sangat jauh untuk meyakini anak itu untuk berkobar bahawa profesionalisme menulis boleh membawa keuntungan yang besar.
Ini adalah kerana, buku ini lebih sesuai kepada para remaja dan dewasa yang baru saja mahu berjinak-jinak dengan industri pembukuan di Malaysia. Perkara-perkara ini dirumus dan diringkaskan dengan baik oleh Nimoiz. Tetapi, dengan meneliti secara kritikal makna mencari keuntungan, teknik-teknik menulis yang boleh memaut minat pembaca, idea promosi, isi buku ini masih dangkal dan tidak menyelami sehingga ke dasarnya. Kesemua perkara yang ditulis sudah maklum diketahui oleh penulis biasa (regular writer). Malah, saya agak tersedak dalam beberapa bab dalam buku ini yang sangat naif dalam mencirikan penulis yang dibolehkan di Malaysia dan penulis yang tidak dibolehkan di Malaysia. Idea kesusasteraan ini luas, tetapi buku ini sudah awal-awal lagi menggerakkan pembacanya untuk menulis dalam bentuk 'murni-Melayu-kebangsaan', perkara-perkara yang langsung tidak mengambil berat tentang kewujudan penulis Mahua, India, Siam dan bangsa minoriti lain di Malaysia yang menulis dalam bahasa Melayu, tetapi lebih sesuai dengan novel-novel popular Creative dan Alaf 21 (dan kini, DBP juga mahu mencuba formula ini).
Gaya 'self sensorship' atau "mereka, para pembaca Melayu akan sukakah dengan tulisan aku ini?" memang sudah sangat biasa menular dalam penulisan (dan inilah unsur pertama kenapa pengkaji sastera luar sentiasa mencela susastera kita, walaupun akhir-akhir ini susastera kita sudah mula tampak kelainannya) kita, malah beberapa novelis jutawan sebenarnya mengikut penggayaan ini dengan tawaduk (walaupun novel-novel Ahadiat dikatakan tidak mempunyai 'nilai murni', novel-novelnya tetap bersifat didaktik, di mana si nakal akan mencapai satu 'pengajaran' di akhir cerita). Maka pengertian itu sudah diketahui umum. Apa yang kita mahu lihat ialah, bagaimana penulis boleh fikir di luar kotak (tidak semestinya melawan norma masyarakat), dan bagaimana penerbit/pengedar buku boleh menjana sebuah strategi baharu dalam penciptaan seorang penulis jutawan. Perkara-perkara ini yang saya mahu lihat ada di dalam buku ini kerana saya sebetul-betulnya rasa tertipu dengan semangat 'gah' buku ini.
Buku ini, walaupun bukan buku untuk saya, sangat sesuai bagi pembaca dan peminat muda yang ingin tahu betapa siksanya penulis di Malaysia mahu jadi seorang jutawan.
7 comments:
Saya beritahu pelajar2 bahawa buku ini mahu sebaris dengan tulisan Jeniri Amir & Zamri Mohamad dalam konteks Malaysia, manakala melambak2 dijual di Amazon dot com. Penulis jutawan memang ada harapan cerah di sini (termasuk di Indonesia). Saya optimis. Buat masa ini terpaksalah buat kerja lain yang seiring seperti kerja2 yang tak libat banyak pengurusan dan peningkan kepala sebagaimana saranan Andrew Croft dalam Freelance Writer's Handbook. Fasa transisi begini umumnya ambil masa yang lebih singkat di Barat berbanding di sini.
salam, ya, kita mengambil masa yang lama untuk menjadi popular atau di atas. Melainkan membaca buku sastera sudah jadi budaya di dalam masyarakat kita, seperti mana yg berlaku di negara barat (yg kini sedang merundum).
ada suatu perkara yg saya dengar dari beberapa penulis indonesia. beberapa penulis bukan fiksyen di bawah terbitan Gramedia atau penerbit besar selalu saja ditipu. Profesor2 di situ tak pernah kaya2. Kalau mahu buat duit, perlu jadi penulis fiksyen, seperti Ayat-ayat Cinta itu.
Assalam alaikum Tuan yang saya hormati,
Bagi menjadi penulis sepenuh masa, saya berpandangan ia bukan kerja seorang diri. Jika kita memilih penerbit yang mengutamakan gerak kerja secara berjemaah, konsisten dengan R&D bagi memantapkan buku penulis, jelas dengan nilai perjuangan dan mempunyai minda mencipta penulis-penulis yang berkarier sepenuh masa melalui gerak kerja mereka, insya allah ada jalan.
Memilih penerbit juga harus ada ketelitian. Penerbit yang hanya mahu buat duit segera boleh membunuh penulis. Mereka tidak pedulikan kepentingan mendidik penulis mengurus kejayaan dan mengurus bakat.
Artis boleh hidup kerana mereka diajar mengurus bakat oleh kumpulan dalam industri. Bagaimana pula penulis, siapa mahu mengajar dan memimpin.
Pandangan saya, ia bermula dengan penerbit.
ZAMRI MOHAMAD
www.zamrimohamad.com
www.motivasimindamu.blogspot.com
www.motivasiminda.wordpress.com
Assalam alaikum Tuan yang saya hormati,
Bagi menjadi penulis sepenuh masa, saya berpandangan ia bukan kerja seorang diri. Jika kita memilih penerbit yang mengutamakan gerak kerja secara berjemaah, konsisten dengan R&D bagi memantapkan buku penulis, jelas dengan nilai perjuangan dan mempunyai minda mencipta penulis-penulis yang berkarier sepenuh masa melalui gerak kerja mereka, insya allah ada jalan.
Memilih penerbit juga harus ada ketelitian. Penerbit yang hanya mahu buat duit segera boleh membunuh penulis. Mereka tidak pedulikan kepentingan mendidik penulis mengurus kejayaan dan mengurus bakat.
Artis boleh hidup kerana mereka diajar mengurus bakat oleh kumpulan dalam industri. Bagaimana pula penulis, siapa mahu mengajar dan memimpin.
Pandangan saya, ia bermula dengan penerbit.
ZAMRI MOHAMAD
www.zamrimohamad.com
www.motivasimindamu.blogspot.com
www.motivasiminda.wordpress.com
sayang oi! uar-uarla hehe ntah kak pun tak tau, itu hari masa bawa cikgu bahasa, depa dok kecoh pasal perkataan tu.
asal tak cakap sendiri kat nik iznan?
zulikha, i dont really get u
Post a Comment