Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, June 5, 2007

Antara Khinzir Molek di Seksan & Puja-puja di Rumah PENA

nota: Maafkan saya Mat Jan, saya malas mahu muat naik gambar.

Pada 26 May lepas, berlaku sebuah majlis pembacaan yang dianjur oleh Sharon Bakar di Seksan, Bangsar. Acara ini sudah begitu terkenal di kalangan pembaca dan penulis Inggeris Malaysia. Pada 2 Jun lepas pula, sebuah majlis pembacaan anjuran Sindiket Soljah berjudul MASKARA telah dijalankan dengan jayanya.

Kedua-dua majlis ini tampak sama, tapi tidak serupa.

Di Seksan, para penonton (Sharon memanggilnya "readers" [para pembaca]) diberi layanan mesra di dalam sebuah galeri seni bermaskotkan khinzir-khinzir yang comel serta wain dari La Bodega (untuk orang Islam, mereka boleh minum air berkabornat). Gayanya memang keInggerisan (atau kebaratan? entah), dengan pembacaan karya-karya oleh Wong Phui Nam, Balan Moses, Nora Adam, Nicholas Wong, Pey Colborne dan Bernice Chauly. Mereka (walaupun ada yang sesat dari Singapura, tetapi mereka tetap seakan seperti kita) memberi kesungguhan, kejujuran terhadap masa lampau, masa sekarang dan masa depan jati mereka sewaktu berada di Malaysia, baik melihatnya dalam keterasingan, di dalam selimut katil, atau mencebiknya di sempadan Singapura.

Pembacaan yang menjadi kegemaran saya ialah karya Nora Adam, tentang keinginan (dalam siksa batin, tetapi tetap boleh menyindir dan penuh suara seksual) si isterinya meniduri suaminya setelah beberapa tahun mereka berkahwin. Idea Nora Adam, "brilliant"- kita seakan terasa, secara tidak sengaja, perasaan sebenar kita tentang 'jatuh cinta' dan 'hubungan' kita dengan pemimpin-pemimpin kita yang telah membawa kita sejauh ini- dan kini kita rasa tersisih oleh mereka. Kuasa dalaman Nora Adam memang tidak patut disangkal.

Saya juga suka dengan pembacaan karya Balan Moses, tentang nostalgianya pada zaman-zaman muda. Bagaimana, kita dapat rasakan, Malaysia ini kecil, semacam sebuah kampung sahaja, di mana, setiap benda-benda yang berlaku di kota, adalah mainan saudara-mara kita, walaupun ceritanya tentang kedai todi dan rumah pelacur.

Paling menarik ialah sajak-sajak Pey Colborne. Saya suka sajak-sajaknya, senang, pendek dan menyentuh, walaupun ia menggelikan hati, ia tidak lupa menyentuh kita.

Yang lain-lain juga seperti Wong Phui Nam, semacam seorang sasterawan yang sangat gah, walaupun beliau sangat rendah diri. Ucapan yang paling saya tersentuh ialah apabila beliau (walaupun beliau ini seorang Singapura) ikhlas menyukai kehadiran Nicholas Wong sebagai pelopor baharu sastera Inggeris Singapura (ingat, di Singapura, bahasa Malaysia dianak tirikan), menyokong kedatangan barisan muda dalam susastera, baik penulis ataupun pembaca, yang baginya: "manusia berbudaya". Mereka, saya kagumi kerana mereka punya 'wit' yang sangat tajam.

Antara perkara yang patut saya bawa ke hadapan ialah, bagaimana sewaktu hendak Asar, Sharon dengan beradab, meminta acara dihentikan untuk sementera dan berehat sehinggalah azan muazin berkumandang.

Di Rumah PENA pula, kalangan yang datang lebih ramai, 30 lebih orangnya, kebanyakannya Melayu (di Seksan, kebanyakannya Cina berpendidikan Inggeris). Acara dimulakan oleh ucapan alu-aluan Mat Jan. Walaupun Mat Jan kekok pada awalnya, beliau mula 'membenam pentas' dengan celoteh dan karismanya yang membina. Pendek kata, Akademi Fantasia mungkin sudah dapat jawapannya bila mereka membuang Aznil (memang patut dibuang pun), kerana kemachoan Mat Jan memeriahkan aroma dan ruang acara malam itu yang tampak kelam dan syahdu.

Kelam dan syahdu. Begitulah perasaan saya bila awal-awal saya memasuki majlis MASKARA. Semacam roh-roh penyair Melayu lama kita berdentang datang menyeru suara kelam mereka. Kadang-kadang, fikiran saya agak buntu dan melankolik melihat puja-puja mengelilingi pentas, ditambah dengan persembahan gitar akustik oleh dua jejaka bohemian Melayu. Saya terasa, mungkin ini yang menyebabkan pembaca biasa atau pembaca Inggeris lari dari susastera Melayu, kerana sastera Melayu tampak kelam, romantik, syahdu dan melankolik sahaja.

Ditambah pula dengan pembaca-pembacanya yang perlu melontarkan suara mereka dengan lebih keras, perlu lebih bermelodi dan tidak terlalu 'menyimpan' suara mereka di dalam hati (saya faham bahawa orang puteh lebih kasar suaranya dan lebih jauh melontar kerana mereka minum arak, tetapi itu bukan alasan kita untuk tidak lantang seperti pembaca qari kita). Takut pentas yang syahdu jadi hambar. Tetapi keadaan itu berubah selepas beberapa pembaca seperti King Binjai, Panah Arjuna, Daun, Jigo mengambil fokus pendengar dengan karya-karya mereka. Malam itu, saya suka benar dengan beberapa pembacaan karya Sindiket Sol-jah, juga Pink Platun. Ditambah juga dengan semangat 'dinding' King Binjai yang cukup getir bercerita tentang absurdisme dinding yang membelenggunya (atau kita).

Malah kehadiran 'orang besar' seperti SM Zakir dan Saharil, cukup membuatkan majlis pada malam itu begitu berprestij (kemunculan SM Zakir di balik pintu saja sudah cukup memaparkan kuasa kehadirannya begitu 'classy', walaupun beliau sebenarnya malu-malu).

Ucapan akhir Sinaganaga dan diakhiri dengan entri duet 'certot'nya (meminjam daripada istilah ciptaan Saharil) bersama Mat Jan memberi krim kepada sebuah kek yang sedap pada malam itu, yang cukup serba manis-masam-pahit-masinnya.

Paling saya seronok, terdapat penjualan buku-buku 'underground' yang terjual semacam pisang goreng. Siapa kata sastera kita tidak ada yang mahu tahu?

Saya suka benar dengan falsafah MASKARA, satu majlis pertemuan penulis-pembaca di mana, apa-apa lapiasan penulis dengan pelbagai bentuk idealisme atau ilmu (popular juga dialu-alukan!), disatukan, diraikan dan ditatapi pada malam itu, tanpa apa-apa diskriminasi. Saya teringat akan kata-kata abang saya, bahawa ada sebuah pondok di Selangor di mana orang cerdik pandai dan murid daripada pelbagai lapisan mazhab dan pemikiran, boleh duduk bersama-sama dan meninggalkan 'kelainan' mereka untuk beberapa ketika, menolak rasa tidak senang jauh-jauh ke tepi. Malam itu, semacam roh sastera Melayu punya penyambungnya, dan saya harap-harap benar bahawa MASKARA ini akan diteruskan. Ini adalah kerana, seperti majlis pembacaan Sharon Bakar, pada mula-mula ia diperkenalkan, ia tak berapa diketahui ramai. Tetapi orang mula mengikutinya dan ia sudah mula terkenal di kalangan peminat sastera. Saya berharap, begitu juga yang akan berlaku dengan MASKARA. Dengan pengurusan yang dibuat oleh AJKnya, saya beroptimis, MASKARA akan hidup dengan niatnya yang sangat murni- mengaprisiasi susastera Melayu, dan bukan lagi mahu melihat sastera kita dengan mencari 'isu-isu kecoh' dan 'pandangan kontreversi' yang bagi saya, perkara itu sudah memualkan (walaupun ia kebiasaan dalam mana-mana dunia sastera, ia tidak perlu disensasikan).

Dalam pemerhatian saya sebagai kesimpulan, kedua-dua majlis pembacaan ini berjaya dalam menyatukan penulis tua dan muda, teruk dan bagus dalam sebuah meja bulat. Paling suci, mereka telah mengikat majlis ini dengan satu cinta yang memikat: berhibur dalam kecintaan terhadap insan bernama sastera.

7 comments:

hani_san said...

entri yg menarik... :-)

hata said...

entri yg padat dengan info

Anonymous said...

Ohh... canteek!

Tok Rimau said...

Aku teringin tengok kau ber Maskara.

Bulan Julai mungkin.

Amyz! said...

Terima kasih atas sokongan.. :-)

Anonymous said...

I have to disagree sikit lah with audience seksan. I think sekarang audience di seksan sudah reach the perfect balance - semua bangsa ada!

If only MASKARA juga boleh menarik pelbagai bangsa....

fadz said...

nazrulhani, terima kasih..rajinny awak, tiga blog!

hata, terima kasih..

adikyah, haha, cantik!

tok rimau..aku segan, takde kredibiliti..

amyz, tunggu ulasan saya ya, sebab baru habis dua buah buku dna perlu diulas.

to anon, yeah..tapi di seksan, golongan itu juga..aku nak tgk lagi ramai Melayu yang datang..bagi Maskara pun begitu..benda yg aku paling 'malu' ialah, ramai yg tka nak ke PENA sebab 'kat mana tempat tu, susahnya nak cari...', PENA ada laman tak?